Sunday, 3 August 2014

Hari Raya 2014

Salam,

Pada hari Isnin yang lepas, umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia baru sahaja menyambut Hari Raya. Pada tahun ni, hari raya kami kurang meriah kerana ibu dan adik saya berada di UK bersama keluarga abang saya untuk berhari raya di sana. Dah agak lama ibu saya berada di sana, sejak bulan 5 tahun ni.

Kami sekeluarga berhari raya pertama di kampung halaman saya di Gombak. Setelah selesai bermaaf-maafan dengan suami dan anak-anak, kami pergi ke kedai gambar untuk mengambil gambar keluarga. Pertama kali lah sepanjang berkahwin sejak tahun 2007, kami mengambil gambar keluarga masa raya pertama.

Selesai bergambar, kami balik ke rumah. Adik-adik saya ada menunggu di rumah, makan makanan yang saya sediakan. Tahun ni saya masak menu yang baru iaitu Lontong Johor dari blog Mat Gebu. Memang menjadilah.. cuma yang kurang, takde tempe. Nak buat macamana dah habis.. mungkin ramai yang borong untuk buat lontong jugak masa hari raya ni. Selain dari lontong, saya ada juga masak rendang.. Tapi rendang ni guna perencah segera Pak Ngah, dan dimasak menggunakan pressure cooker. Memang mudah. Tapi adalah silap sikit dalam penyediaan rendang tu.

Mula-mula, saya setkan pressure cooker untuk masak daging dulu selama 30 minit. Lepas 30 minit, daging dah empuk, saya terus masukkan perencah rendang. Sepatutnya air dikeluarkan dulu, atau buang separuh ke. Tapi saya tak buang dan terus je masukkan perencah. Jadi, memang lama lah masa diambil untuk mengeringkan air tu.. Saya pun masatu terus masukkan santan, jadi kena sentiasa kacau rendang untuk pastikan santan tak pecah. Lagi satu menu istimewa saya, nasi minyak. Cuma ayam masak merah je tak masak sebab dah lama sangat spend masa masak rendang, jadi dah penat nak masak ayam pulak.

Lepas je makan-makan, kami semua pergi beraya ke rumah Mak Usu saya di Kampung Simpang Tiga. Di situ, kami makan nasi minyak jugak, tapi ada ayam masak merah. Jadi saya memang makan lah nasi minyak + ayam masak merah sebab tak dapat makan kat rumah .. hehe.

Habis beraya di rumah Mak Usu, kami menuju ke rumah Mak Ngah di Kampung Changkat. Jalan agak sempit nak masuk ke kampung Changkat. Ada tempat yang cuma muat satu kereta je lalu. Jadi ada kesesakan juga lah di kawasan Changkat haritu.

Selesai di rumah Mak Ngah, kami balik ke rumah ibu saya di Greenwood. Berehat dan solat sekejap. Ada pula budak-budak datang beraya masa tu so layankan aje lah..hehe.. Lepas tu kami cepat-cepat bersiap pergi ke rumah Pak Itam di Greenwood jugak. Borak-borak sekejap je sebab Mak Itam takde kat rumah.

Lepas tu, kami pergi ke kubur di Taman Ibukota, tempat di mana arwah abah disemadikan lebih kurang 19 tahun yang lalu. Lama sangat rasanya arwah pergi meninggalkan kami, tapi ingatan kepadanya masih lagi kekal diingatan.. Kawasan kubur di Taman Ibukota pun dah penuh.. ada kawasan baru pulak sekarang ni berhampiran situ dibuka untuk kubur baru. Alfatihah untuk arwah abah..

Setelah selesai bertahlil ringkas, kami bergerak ke Ampang menuju ke rumah Pak Lang. Pak Lang merupakan satu-satunya adik beradik arwah abah yang masih hidup. Di situ, kami makan ketupat palas, kek batik dan lain-lain. Memang penuh lah meja tu dengan makanan dan kuih raya..Kami di sana pun dah petang. Jadi duduk kat situ lama sikit berborak-borak bertanyakan khabar.

Hampir petang lepas pukul 6, kami balik ke rumah. Solat Asar dan Magrib di rumah sebelum kami hantar adik balik ke rumah. Selesai kami beraya pada hari raya pertama. Memang agak memenatkan tapi demi merapatkan silaturrahim dan ukhuwah antara saudara mara, memanglah kita yang muda ni kena pegi menjenguk yang lebih berusia.. :)

Kenangan Lalu Mengusik Jiwa: Bas Mini 14

Salam,

Untuk warga Gombak terutamanya yang tinggal di sekitar Taman Greenwood pada tahun 80 an - 90 an tentunya mengetahui tentang bas mini 14 yang berhenti di stesen Greenwood. Masa tu, bas 14 ni kami naik untuk ke Chow Kit, Sogo dan stesen akhirnya di Central Market. Rasanya bas ni dulu warnanya merah agaknya, lepas tu ditukar kepada warna merah jambu. Harga tiket bas, rasanya 30 sen untuk kanak-kanak, 50 sen dewasa.

Bas panjang pun ada di Gombak masatu, tapi bas tu cuma lalu di depan Greenwood, dan stesennya di Taman Sri Gombak kalau tak silap la.. Saya agak je sebab bas tu menuju ke arah Sri Gombak. Bas tu nama dia bas Len Seng.

Kenangan saya dengan bas 14 ni memang banyak.. dulu kalau saya naik bas ni, saya takut sangat nak tekan loceng. Sebabnya malu sangat. Takut nanti kalau kita tekan loceng, semua orang tengok kat orang yang menekan loceng tu. Memang konflik dalaman diri la tu, maklumlah, budak sekolah rendah lagi.

Tempat yang saya selalu pergi dulu semestinya area Sogo. Dulu saya juga selalu tengok wayang dengan mak dan adik-adik di pawagam odeon depan Sogo tu. Rasanya masa tu movie Awie- Erra tengah meletup-letup. Filem Pasrah, Maria Mariana.. semuala gi tengok kat wayang masa tu. Naik bas 14 tu lah. Lepas je tengok wayang boleh jalan-jalan ke Sogo sekejap sebelum balik rumah.

Yang ni ada link dari youtube dalam filem Sikit Punya Gila.. haha Bas Mini 14  in action. Yang dalam filem ni versi lagi lama dari yang saya ingat. Yang ni gambar bas dr forum Rapid KL City Shuttle. Bas 14 macam nilah lebih kurang cuma nombornya 14, yang dalam gambar ni nombor 61.





Ada satu kenangan yang agak tragik tentang bas 14 ni. Ada sekali tu, sebuah bas 14 terjunam masuk ke dalam Sungai Gombak dekat dengan masjid Simpang Tiga. Masa tu saya dapat tau pun sebab konduktor bas tu anak jiran rumah saya. Katanya, tak ramai orang dalam bas masatu, dan takde kemalangan jiwa yang berlaku. Tapi, cerita sebenar wallahua'lam lah, cuma mereka yang terlibat je yang tau apa yang berlaku. Maklumlah masa tu takde FB semua, berita tu pun rasanya takde masuk TV atau surat khabar pun..

Bas 14 ni kemudiannya digantikan dengan bas Intrakota. Bas 14 dulu takde aircon, tingkap buka dari tengah. Bas Intrakota tu, ada aircond, jadi lebih selesa. Lepas je bas 14 tu digantikan, dah tak nampak lagi dah kelibat bas tu di mana-mana. Apa agaknya syarikat bas tu buat pada bas tu? Mungkin dijual semula ke pengusaha bas sekolah atau dilupuskan agaknya lah.. Tapi, sememangnya bas 14 tu banyak berjasa, terutamanya kepada penduduk sekitar Taman Greenwood. :)

Wednesday, 23 July 2014

Kek Coklat Bakar akhirnya menjadi

Salam,

Alhamdulillah..setelah percubaan beberapa kali nak buat kek coklat moist, akhirnya semalam menjadi juga.. Sebelum ni saya pernah buat kek harijadi yang tak jadi, then 2 minggu lepas sy buat kek coklat moist kukus pun pecah juga kek tu. Semalam saya cuba jaya lagi lagi sekali dan alhamdulillah kalini menjadi walaupun....bhgn bawah melekat mungkin sebab moist sgt saya buat..

Daripada percubaan yang tak menjadi sebelum ni, ada beberapa tips yg saya boleh kongsingkan. Yang pertama, pastikan loyang tu tak diisi lebih daripada separuh bekas. Saya rasa loyang saya walaupun lebar 8 inci setengah, tapi ketinggian dia tak seberapa.. Tu yang tak boleh tuang semua adunan. Sebelum ni saya memang tuang semua, tu yg kek saya mesti pecah, walaupun kek tu dikukus atas dapur. So kalau tak muat loyang tu pandai-pandai lah ya isi kat loyang lain pulak.

Yang kedua, oven kita. Sebelum saya pernah ada orang bagitau saya, suhu oven tu kita kena cuba beberapa kali baru kita boleh agak-agak yang oven kita ni terlebih panas ke terkurang panas ke.. Dari pengalaman saya, saya suka set suhu kurang sikit dari yang dicadangkan. Test dulu. Pastu kalau tak masak juga maksudnya kita boleh la up kan sikit suhu tu then tambah masa sikit2. Orang pro tak buat camni kot..orang newbie mcm saya je yang kena buat camtu..hehehe..

Yang ketiga, baking paper. Saya rasa, next time saya kenal letak baking paper kat dasar tin untuk elakkan lekat. Bahagian tepi tu takpe, letak marjerin pastu bila kek sejuk, dia mengecut sendiri. So tak lekat. Takpe yang ni saya kena eksperimen sendiri dulu next time..

Oklah, kat bawah ada resipi yang saya salin dari warisan bonda resipi. Terima kasih tuan punya resipi ya,, nak tengok resipi asal, boleh klik di sini Resipi kek coklat bakar


BAHAN-BAHAN:

BAHAN A:



2 cawan tepung gandum
1st baking powder
1st soda bikarbonat - sudu teh leper je. saya rs kalau lebih soda bikarbonat, rasa semacam je..
1 cawan serbuk koko



BAHAN B:

4 biji telur - dikeluarkan dari peti ais, suhu bilik

2 cawan gula halus
1 cawan minyak sayur - saya guna minyak jagung
1 cawan susu pekat - saya tambah 3 sudu mcm warisanbonda buat :)
1 1/2  cawan air panas - pastikan air betul2 panas


CARA:

  1. satukan bahan A dan ayak...kemudian ketepikan
  2. Pukul telur dan gula hingga putih guna high speed
  3. Masukkan susu dan minyak pukul dengan low speed
  4. Masukkan bahan A dan gaul sebati
  5. Last masukkan air panas dan kacau sebati - tak perlu guna mixer
  6. Lenserkan loyang dengan mentega - bahagian tepi saya guna mentega. bhgn bawah, sy rs kena guna baking paper kalau kek moist sgt.
  7. Tuang adunan dan bakar selama 1 jam suhu 140 - 150 celsius hingga masak - kalau tak masak, tambah masa lagi
  8. Sejukkan kek dan salut dengan topping
TOPPING COKLAT BIASA:

1/2 cawan susu cair
3sb susu pekat
200gm coklat masakan ~ 1 bar kecil - saya tambah lagi 100gm nak byk lagi coklat
2 sudu besar butter

CARA:
  • cairkan secara double boiled susu cair dan susu pekat
  • masukkan coklat masakan dan kacau hingga cair
  • padamkan api baru masukkan butter dan kacau hingga butter cair
  • curahkan atas kek yang dah disejukkan tadi
  • Boleh juga tambahkan air panas untuk kurang pekat. 
  • Yang topping ni kalau kita biarkan sejuk sikit, dia akan jadi pekat. Saya curahkan atas kek bila topping dah sejuk supaya lebih pekat.


Friday, 4 July 2014

Kerja baruku

Salam,

Baru-baru ni saya ada apply kerja sebagai Research Assistant di fakulti pengajian saya. Tujuan saya ada dua, satu untuk mendapatkan duit poket dan satu lagi untuk mendapatkan pengalaman dalam bidang research. Saya cuma memilih RA untuk Sains Komputer sahaja, sebab saya nak kerja dalam bidang yang berkaitan dengan pengajian saya. Ada banyak offer sebenarnya, terutamanya dari Fakulti Medic. Ada yang tak layak apply, ada yang layak. Cuma perlu minta sahaja.

Dalam pemikiran saya, saya ingatkan kalau apply RA di fakulti, saya akan bekerja di fakulti saya. Tapi selepas saya submit je application ke pensyarah, rupa-rupanya research tu adalah kerjasama dengan MIMOS Bhd. Jadi, bila saya dipanggil untuk interview, nak tak nak kena pergi juga. Walaupun agak berat hati sebab ofis MIMOS agak jauh dari rumah saya.

Semasa hari interview tempoh hari, ada 3 orang lain lagi yang datang untuk kerja yang sama. Tapi semuanya student UM. 2 Phd dan seorang lagi tu Master student. Kami semua diarahkan untuk mengisi borang. Macam borang mohon pekerjaan yang sebenar pulak. Macam-macam yang perlu diisi.

Dah siap isi borang semua, kami dipanggil ke bilik interview. Seorang demi seorang dipanggil dan yang menunggu giliran, tunggu di bilik sebelah. Giliran saya adalah yang kedua. Bila sampai giliran saya, saya masuk dan nampak ada 3 orang interviewer. Seorang lecturer UM, dan 2 lagi adalah staff MIMOS. Alhamdulillah, proses interview berjalan lancar dan saya diberitahu yang saya kemungkinan besar akan dipanggil untuk second interview.

Tapi semalam saya ada terima email dari staff MIMOS yang mengatakan saya diterima sebagai RA dan tak perlu datang untuk second interview. Alhamdulillah... saya diberi peluang. :) Memang happy sangat memandangkan saya sekarang pun free je kat rumah. Cuma saya tengah bersiap sedia untuk research paper saya untuk semester depan. Tapi oklah.. pengalaman sebagai RA ni boleh digunakan untuk persediaan research paper saya sendiri.. :)

Tuesday, 1 July 2014

Alhamdulillah, dapat biasiswa MyBrain

Salam,

Baru-baru ini saya telah mendapat perkhabaran yang amat menggembirakan hati.. Saya ditawarkan biasiswa MyBrain15 untuk Master program. Yeay Alhamdulillah.. Lega sikit hati ni.. Kalau tak, saya perlu sediakan duit lagi untuk semester depan. Rezeki.. rezeki..

Untuk sesiapa yang tak tahu tentang program MyBrain15 ni, program ni merupakan satu inisiatif dari pihak Kementerian Pengajian Tinggi untuk rakyat Malaysia yang layak melanjutkan pelajaran ke peringkat Master dan Phd. Ada la syarat2 yang dikenakan. Contohnya..

- Warganegara Malaysia sahaja
- Tiada had umur (umur 40-an, 50-an, 60-an pun layak memohon asalkan ada semangat juang yang tinggi untuk belajar)
- Pemohon mestilah:
       - Orang awam yang tidak bekerja atau tidak berpendapatan tetap; atau
      - Kakitangan swasta (tak kisah la gaji berapa layak memohon, tapi mungkin akan di tapis ikut                                       tangga gaji); atau
      - Pensyarah IPTS , atau
      - Kakitangan kerajaan / badan berkanun / IPTA (kontrak, sambilan, sementara), atau
      - Pesara badan kerajaan.

Untuk keterangan lanjut, boleh lah layari website ni https://biasiswa.moe.gov.my/MyBrain15/index.php

lepas tu pilih lah Syarat2 permohonan ikut program pengajian kita.

Pengalaman saya, untuk mengisi borang MyBrain15 buat kali yang pertama, agak susah. Sebabnya saya dah pun on unpaid leave ketika itu. Jadi, untuk berhubung dengan HR syarikat agak lambat prosesnya. Mungkin juga sebab mereka pun tiada pengalaman tentang staff yang apply biasiswa MyBrain15. Lepas tu, saya cuma perlu dapatkan tanda tangan dari bendahari Universiti, kemudian ada lah pihak2 dari Universiti dan kemudian seorang saksi. Proses ni agak mudah, sebabnya saya dah pun mendaftar di Universiti ketika itu. Jadi, yuran untuk semester yang pertama, saya bayar guna duit saya sendiri. Tapi, jangan risau, selepas kita dapat biasiswa, kita boleh minta pihak universiti refund semula duit kita selepas pihak myBrain bayarkan yuran kita.

Pertama kali saya apply, saya perlu menunggu beberapa bulan. Sehinggakan saya sendiri dah terlupa yang saya ada apply biasiswa tu. Sehinggalah satu hari, saya menerima email yang menyuruh saya menyemak email saya. Tapi masa tu, permohonan saya ditolak. Alasannya kerana transkrip akademik saya kurang jelas. (Memang pun kurang jelas, lebih dari 10 tahun usia dia. Memanglah dah kabur). Jadi saya perlu mendapatkan semula transkrip dari pihak universiti. (Kebetulan saya mengambil ijazah dan master di Universiti yang sama. Jadi rekod saya dah ada di universiti). Cuma pada masa tu, saya agak sibuk dengan assignment dan mid semester test. Jadi, apa yang saya buat, saya scan semula transkrip saya, edit contrast, besarkan font dan hantar semula. (Oh ya, proses scanning document agak leceh. Kalau tiada scanner sendiri memang susah. Sebabnya size dokumen yang boleh dimuatnaik ke laman web MyBrain agak kecil. Jadi kita perlu kecilkan size dokumen dulu sebelum hantar). Saya bertawakal dan berharap yang permohonan kali kedua saya akan diterima dan pegawai yang menyemak dokumen akan nampak CGPA saya dengan lebih jelas.

Setelah menunggu beberapa bulan (mungkin sebulan atau dua bulan), saya mendapat jawapan yang positif dari pihak MyBrain15. Alhamdulillah, saya berjaya mendapat tawaran biasiswa. Kali ni, proses yang diperlukan adalah saya perlu mencetak dokumen seperti surat perjanjian, borang permohonan dan surat tawaran biasiswa. Surat tawaran perlu diserahkan kepada pihak bendahari universiti. Kemudian, surat perjanjian memerlukan seorang penjamin. Penjamin boleh dalam kalangan ahli keluarga, tu yang agak mudah. Ibu bapa pun boleh menjadi penjamin anak. Cuma syaratnya penjamin perlulah mempunyai pendapatan RM500.00 ke atas. Surat perjanjian perlu disediakan sebanyak 3 salinan, dan ketiga-tiganya perlu dimatikan dengan stem hasil. Proses ni juga bagi saya agak mudah, cuma masalah untuk mendapatkan tandatangan pegawai kerajaan sebagai saksi dan juga menandatangani salinan perakuan benar beberapa dokumen yang diperlukan. Sejujurnya saya memang tak bersetuju dengan cara ni. Sepatutnya zaman teknologi canggih ni, patut dibuat dengan lebih canggih lagi. Tak perlu diusung ke sana ke mari dokumen dan menagih merayu agar ditandatangani dan disahkan benar. Bukankah maklumat-maklumat kita kebanyakannya ada di LHDN, JPN, KWSP? Lebih senang jika kaunter dibuka setempat di sini untuk urusan pengesahan dokumen dan sebagainya.

Ok, kita tinggalkan cerita hal karenah birokrasi ni. Saya dah pun melalui prosesnya dan dah berjaya menyiapkan dokumen-dokumen yang diperlukan. Tadi saya baru je balik dari kaunter poslaju untuk tujuan pengeposan dokumen. Saya tak pergi sendiri ke Kementerian Pengajian Tinggi sebab tempatnya agak jauh dan dokumen saya pun saya rasa dah lengkap. Tapi perlu follow up semula esok untuk pastikan dokumen dah sampai. Tu kira last step lah tu..

Semoga Allah permudahkan urusan.. Amin..:)




Tuesday, 17 June 2014

Mari masuk pertandingan atau contest di Malaysia

Salam,

Dulu saya pernah terbaca (tak ingat kat mana) tentang individu yang tak bekerja tapi menumpukan perhatian kepada pertandingan atau contest2 di Malaysia. Saya sebenarnya agak skeptikal untuk percaya tentang perkara tersebut. "Takkanlah dengan memasuki pertandingan atau contest seseorang tu boleh menampung kehidupan dia? Banyak sangat ke contest di Malaysia ni sehinggakan ada orang mampu untuk tak bekerja dan mendedikasikan seluruh masa dia untuk cuba menang? Kalau tak menang macamana?" Mungkin saya silap. Mungkin yang buat macam tu bukan rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia biasanya taklah terlalu ekstrim untuk berbuat macam tu kan..

Ok berbalik kepada topik masuk pertandingan atau contest di Malaysia. Kalau penyertaan tak berbayar atau tiada produk yang perlu dibeli, apa salahnya jika kita mencuba kan.. Ada beberapa website atau blog yang ada memberi maklumat tentang peraduan di Malaysia. Contohnya seperti:

http://peraduancontest.blogspot.com/
http://my-peraduan.blogspot.com/
https://www.facebook.com/peraduan4me

Pendek kata, maklumat tentang pertandingan-pertandingan di Malaysia ni kita boleh dapati dengan mudah dengan adanya blog-blog dan website yang membantu mengumpulkan maklumat tersebut. Senang kan? Jadi kita cuma perlu baca, teliti syarat-syarat pertandingan dan hantar borang jawapan.

Lagi satu, jika anda pendengar radio, tentu anda perasan yang radio juga seringkali mengadakan peraduan. Macam-macam jenis peraduan yang ada. Yang menarik bagi saya, ada pertandingan bakat Johara di Era.fm. Sebabnya pertandingan ni tak terhad kepada nyanyian sahaja. Bunyi-bunyi mulut pun boleh. Contohnya macam Raja Syahiran ni..

http://www.era.fm/zon-interaktif/interaktif/gosip-mossip-mak-jemah/lihat-gosip.aspx?arc=439&sec=78

Oklah, jom kita sama-sama cuba masuk pertandingan. Ada rezeki insya Allah.. boleh menang :)

Cuti Semester Sudah pun Bermula..

Salam,

Jumaat lepas 13 Jun merupakan tarikh paper akhir untuk semester saya kali ini. Lega rasanya apabila saya dah berjaya menamatkan semester yang pertama, walaupun sebenarnya untuk exam Software Reusability(SR), soalan yang ditanyakan sangat jauh dari apa yang dah diramalkan.. Dan, yang saya pelik, ada satu link dari UM Library untuk past year exam papers. Entah macamana, saya boleh tak jumpa link tu walaupun berkali-kali saya cuba search. Cuma bila peperiksaan dah berakhir, baru lah saya jumpa semula link tersebut. Jadi dapatlah saya tengok past year paper untuk SR yang saya tak jumpa di hardcopy di library tempoh hari. Soalannya pun lebih kurang sama... hm.. nak buat macamana, takde rezeki. Takpelah, semester depan cuba dengan lebih baik lagi.

Tapi, walaupun cuti semester dah bermula, saya dah contact lecturer untuk start tulis research paper untuk semester depan. Tajuk yang diberikan memang banyak, tapi ada satu yang saya paling berminat iaitu tentang "Big Data".

Kenapa saya memilih tajuk Big Data, adalah kerana tajuk ni merupakan salah satu tajuk yang terkini yang hangat dibincangkan oleh computer society. Jadi memang agak banyak lagi perkara yang kita boleh explore dan fahami tentang topik ni. Kalau kita cuba cari research paper tentang Big Data, kebanyakannya ditulis dalam 2-3 tahun kebelakangan ni.

Dari apa yang saya baca beberapa hari yang lepas, ada 3 perkara penting yang dibincangkan dalam Big Data atau lebih dikenali dengan 3V. Volume, Velocity, Variety. Dari mana datangnya istilah Big Data? Ianya adalah merujuk kepada jumlah data yang sangat besar yang disimpan oleh sesebuah sistem. Cuba teka apakah sistem yang menyimpan data yang sangat besar? Apa lagi kalau bukan Facebook, Twitter, Instagram, Pinterest dan lain-lain. Big Data menumpukan kepada jumlah data yang besar yang didapati dari FB, Twitter dan lain-lain untuk dianalisis dan dikaji trend nya. Data yang macam mana yang dianalisis? Yang dianalisis hanyalah data yang bukan privasi sahaja.

Data yang macam mana dikatakan bukan "privasi"? Kalau kita lihat dari Pinterest, mungkin tentang berapa ramai orang yang "interest" atau telah mengunjungi sesebuah restoran, terutamanya jika orang yang mengunjungi restoran tersebut bukan merupakan orang tempatan. Ini mungkin menunjukkan yang restoran tersebut adalah sangat popular sehingga berjaya menarik perhatian dari rakyat Malaysia. Jadi, jika ada pihak yang membuat satu aplikasi tentang cuti-cuti Malaysia di handphone, dia boleh menggunakan informasi ini di dalam sistemnya.

Akan tetapi, Big Data ada beberapa masalah yang perlu kita fikirkan. Sebagai contoh, tentang kesahihan sesuatu data dan juga "data security". Sebagai contoh, bukan semua rakyat Malaysia yang akan berkongsi tentang tempat makan dan sebagainya. Ramai (termasuk saya) yang masih lagi tidak gemar berkongsi tentang perkara-perkara di atas talian. Jadi, sesebuah grup of data tu, sumbernya perlu disemak terlebih dahulu sebelum digunakan atau dianalisis. Data security juga salah satu perkara yang harus difikirkan. Lebih-lebih lagi data sulit yang sepatutnya privasi tetapi tidak disetkan sebagai privasi oleh pengguna.

Oklah, lain kali saya sambung lagi tentang topik Big Data. Saya sebenarnya masih mencari tajuk yang spesifik untuk research paper saya, masih banyak yang perlu saya kaji dan baca :) Insya Allah, lain kali saya akan kongsikan lagi tentang topik Big Data..

Sunday, 25 May 2014

Nukilan Rasa: indahnya kehidupan ini

Kadangkala aku tesedar dari lamunan yang mengkhayalkan
Apa yang kucari?
Apa yang kuinginkan?

Kumencari dari pengalaman lalu
Bercampur baur
Ada sedih ada gembira
Namun tak kutemui jawapannya

Dan di situ kulihat, kuteliti
Bait bait ayat dari Yang Maha Esa
Penuh dengan ingatan
Penuh dengan pedoman 
Yang jelas lagi nyata

Kini dapat kumerasakan
Kemanisan hidup berTuhan
Allah yang Maha Esa...





Wednesday, 21 May 2014

Tips: Untuk mereka yang berasa malas

Salam,

Pernah atau tidak kita rasa penat dan malas untuk melakukan sesuatu? Walaupun sebenarnya kita dah pun cukup rehat, cukup tidur, cukup makan, tetapi kita masih lagi berasa malas untuk melakukan apa-apa kerja sekalipun.

Saya harini mengalami keadaan tersebut. Sindrom "malas tanpa sebab". Saya rasa mungkin sebab sejak beberapa hari yang lepas saya menumpukan perhatian untuk kuiz untuk subjek "Software Reusability" yang berlangsung semalam, jadi hari ini saya jadi malas untuk melakukan apa-apa.

Jadi untuk mereka yang pernah melalui keadaan yang sama, saya berikan tips yang mudah untuk mengatasi masalah tersebut. Saya cuma mengatakan kepada diri saya sendiri "saya rajin, saya rajin, saya rajin. Terus sahaja semangat rajin datang dalam diri saya. "It's all in our mind".. Minda kita boleh diubah dengan perkataan.. Jadi selalu-selalulah menyebut perkataan yang baik. Insya Allah, ia akan menjadi doa untuk kita...

Kenangan Lalu Mengusik Jiwa: Peristiwa Pokok Ceri

Salam,

Harini saya nak mengimbau semula kenangan semasa saya kecik dulu. Saya merupakan seorang anak jati Gombak. Nenek moyang saya memang dah lama menetap di Gombak dan sekarang kebanyakan dari kaum keluarga saya tinggal di Gombak.

Rumah keluarga saya sangat berhampiran dengan stesen bas. Masa tu bas yang berhenti disitu adalah bas 14. Warna pink. Bas mini. Memang mudah urusan nak ke KL. Saya selalu pergi ke KL terutamanya kawasan Sogo dengan ibu saya pada ketika itu. Ada juga bas panjang. Tak ingat apa nombornya. Bas Len Seng kalau tak silap.

Ketika saya kecil saya selalu bermain-main di kawasan sekitar perhentian bas. Kawasan dia bukan besar mana pun, cukuplah untuk 2 -3 buah bas RapidKL berhenti. Oh ye, sekarang bas 14 dah takde, digantikan dengan sistem bas yang baru dari RapidKL. Mungkin nanti saya ceritakan pasal peristiwa bas ni pula.

Berbalik kepada stesen bas tadi. Di kawasan stesen bas tu ada sebatang pokok ceri Malaysia. Ceri Malaysia ni agak berbeza dengan ceri yang diimport, atau mungkin buah ceri yang kita pernah tengok kat atas kek. Buah ceri Malaysia ni warnanya merah, isinya manis tapi ada biji-biji halus. Tak berapa sedap tapi oklah kalau nak rasa sikit-sikit air buah tu.

Nak dijadikan cerita, masa tu dalam bulan puasa pada tahun 1980-an, saya darjah 2 atau 3 agaknya. Saya pergi ke stesen bas tu dengan abang saya, waktu tu tengahari. Kami bermain-main di tepi stesen bas dan pergi kutip buah ceri di situ. Bila dah kutip, apa lagi, kami pun makanlah... Dah lama baru teringat, puasa rupanya! Hehehe.. Terus balik rumah dan sambung puasa semula. Ala.. terlupa tak apa kan..

Tu sajalah catatan memori saya kalini. Lain kali cerita lain pulak :)

Saturday, 17 May 2014

Kuruskan badan

Salam,

Tahun lepas sebenarnya saya dah setkan impian saya untuk tahun 2014. Salah satunya ialah... untuk menguruskan badan. Dah hampir pertengahan tahun, saya cuma mampu mengurangkan sebanyak 4 kg je berat badan saya. Tapi masih tak cukup, sebab saya masih mempunyai berat badan yang berlebihan.

Dari buku yang saya baca sebelum ni, minda kita yang mengawal tubuh badan kita. "We are what we believe".. "We are a feeling being.." Hanya minda yang positif mampu menarik benda yang positif dalam hidup kita. "Like attracts like", Law of Attraction. Jadi persoalannya kenapa saya masih tak kurus? Adakah sebab saya terlalu memikirkan tentang lemak-lemak berlebihan di badan saya? :D Mungkin juga..

Kadang-kadang saya terfikir, susah sangat ke nak menguruskan badan? Ada orang ambil produk A, ada yang makan produk B, ada yang sapu produk C and yang pakai je produk D. Malah kita masuk dalam youtube tentang kisah kejayaan orang yang berjaya menguruskan berat badan, lain pulak tips yang diberikan. Jadi saya rasa, setiap manusia tu berbeza.. Kalau produk A berkesan untuk individu X, produk A mungkin tak berkesan langsung kat individu Y.

Kalau nak fikirkan produk-produk yang saya dah cuba, saya rasa saya bukanlah seorang yang terlalu mempercayai produk. Kenapa? Sebab saya risau tentang kesan sampingan. Terutamanya yang berbentuk pil berserbuk. Mungkin sebelum ni ada banyak cerita "fatal" yang berkaitan dengan penggunaan pil-pil perlangsingan badan, jadi saya pun terikut jadi trauma. Produk minuman saya ada cuba beberapa jenama. Tapi yang saya kurang berkenan, sebab saya perlu diet jugak. Saya tak suka perkataan "diet" tu sebab ia macam satu kekangan untuk saya. Saya nak hidup gembira, boleh makan apa yang saya suka tetapi dalam kuantiti yang terkawal. Tapi kalau makan nasi sesenduk tu, minda saya tak boleh terima. Macam "what?? satu senduk je? Abis kalau makan sesenduk tu kenyang ke? Kalau tak kenyang tu yang carik makanan junk food tu" Jadi.. walaupun saya tahu pakar-pakar diet mcm Kevin Zahri pun kata macam tu, saya rasa saya nak cuba alternatif lain dulu..

Ok apa nak buat sekarang? Menurut apa yang saya baca dan diberitahu sebelum ni, kalau nak kuruskan badan, 80% kena kawal makanan dan 20% kena bersenam. Ok, keywordnya adalah kawal makan. Lagi satu, detoks pun penting untuk keluarkan toksin-toksin dalam badan sebelum badan kita dapat berfungsi dengan baik. Puasa bagus untuk detoks. Green tea pun bagus untuk detoks. Air lemon, limau dll pun baik untuk detoks. Saya cuba resipi dari link kat facebook. Photo credit to page Flawlessbeautyandskin.



Proses perkumuhan pun perlu berlaku setiap hari, khususnya penyahtinjaan :D Minum susu kultur atau makan yogurt boleh tambah bakteria baik dalam badan dan memudahkan proses nyah tinja berlaku. Pendek kata, dengan badan yang sihat baru lebih mudah untuk menguruskan badan.

Kalau tentang senaman, saya skrg dah cuba bersenam setiap pagi. Senaman mudah kacang je.. asal peluh sikit cukupla. Kalau tak senaman pun, saya berkemas rumah ke. Menyapu, cuci pinggan, kemas barang mainan pun dah cukup buat saya mengah.. tulah masalahnya. Badan yang berat buat kita rasa susah nak bergerak dan cepat penat.

Jadi target saya untuk minggu depan, saya nak kurangkan 2 kg berat badan saya. Tapi saya tak nak berdiet keterlaluan dan ambil apa-apa produk. Saya nak makan seperti biasa, kuantiti kurangkan sikit dan kurangkan pengambilan snek, kek dan minuman manis. (Baru tadi beli brownies 1/2 kilo, order kat parent kat tadika anak saya..)

Oklah, saya akan update kemajuan saya dari semasa ke semasa. Saya cuba sedaya upaya ok..:) Doakan saya berjaya insya Allah..

Tuesday, 8 April 2014

Study week sebelum Mid Sem exam

Salam,

Minggu ni, saya takde kelas sepanjang minggu. Sebabnya adalah minggu depan kami bakal menduduki peperiksaan pertengahan tahun.

Subjek yang saya ambil pada semester kali ni ialah Software Reusability dan Software Development Management. Pada saya, subjek Software Development Management amatlah mencabar. Sebab utamanya adalah subjek ni ada terlalu banyak assignment yang perlu disiapkan. Dalam pada masa saya perlu mengulangkaji pelajaran dalam minggu ni, saya perlu menghantar assignment individu untuk tajuk Software Liability, Waranty, Patent vs Copyright dan CMMI. Semuanya memerlukan masa untuk saya membaca, mencari maklumat dan membuat summary dari pembacaan saya.

Namun begitu, subjek SDM memang sangat menarik kerana subjek ini merupakan asas kepada Project Management. Saya berminat nak jadi Project Manager satu hari nanti.. Jadi memang berbaloilah dengan penat lelah dan usaha yang perlu saya buat sekarang.

Untuk subjek Software reusability pula, saya memang agak ketinggalan. Sebabnya adalah subjek ni kurang assignment, jadi kurang tumpuan diperlukan. Namun begitu, subjek ni tak boleh dipandang ringan sebabnya banyak konsep yang saya kurang faham dan perlu lebih banyak membaca.

Tetapi, walaupun saya sibuk mentelaah pelajaran, saya masih lagi memikirkan tentang online bisnes saya. Saya masih mencari-cari produk yang ingin saya letakkan di online store saya.. Semoga Allah memberikan saya ilham untuk mencari produk yang sesuai.. Amin.. :)

Thursday, 3 April 2014

Pengaktifan semula - http://khayrazoutlet.my1stop.com.my/

Salam,

Baru-baru ni saya dah mengaktifkan semula online store saya. Sebelum ni, saya gunakan online store tersebut untuk menjual tudung-tudung keluaran Hajra, kali ni saya nak menjual sesuatu yang lain pulak. Mungkin barangan "rare", atau barangan wholesale, ataupun barangan berharga RM5 dan ke bawah. Saya tak pasti lagi.

Doakan saya berjaya ya :)

Jemputlah cuci mata di kedai online saya http://khayrazoutlet.my1stop.com.my/. Barang memang tak ada lagi setakat ni. Hehe..

Oh ye, saya pun dah mengaktifkan semula akaun twitter saya. Kalau nak follow, nama akaun saya ialah sitiazrina.

:)

Sunday, 30 March 2014

Ujian kelayakan masa di Litar GP Sepang

Salam,

Semalam, 29 Mac, kami sekeluarga telah pergi ke Litar GP Sepang. Suami saya dapat tiket free dari ofisnya. :) Kami pergi lebig kurang pukul 11.00 pagi dan sampai di sana dalam pukul 12.00 tengahari.

Sebenarnya semalam hanyalah ujian kelayakan, untuk menentukan siapa yang mendapat kedudukan petak pertama, kedua dan seterusnya. Kami mendapat tiket yang agak bagus, di dalam Corporate Suite. Jadi, kami tak perlu berpanas dan bersesak-sesak. Tempatnya ber"air-cond" dan lebih bagus, ada makanan disediakan. Makanan bukan sahaja untuk lunch, tetapi untuk minum petang jugak.

Memandangkan semalam kami telah berjanji kepada Khayra untuk pergi membeli hadiah "Barbie" untuknya, kami beredar agak awal dari litar tersebut. Tapi, tiba-tiba hari hujan dengan sangat lebatnya. Yang membuatkan keadaan agak susah ialah tempat parking kereta dengan kedudukan litar agak jauh dan tiada laluan berbumbung.

Lagi satu, parking di kawasan berhampiran dengan litar adalah sangat mahal bagi saya. Tempat yang kami parking semalam adalah RM200 untuk 3 hari (dari hari Jumaat hingga Ahad). Tapi, yang parking pun kami dapat percuma, jadi takde masalah :)

Makanan dari luar juga tidak dibenarkan masuk. Jadi, kita dah boleh agak yang makanan dijual di dalam kawasan litar adalah sangat mahal. Contohnya untuk keropok Twisties, etc, dijual pada harga RM5 sebungkus. Aiskrim juga mahal, kalau tak silap RM5 jugak 1 scoop.

Cuma, satu yang saya rasa tak suka dan tak berkenan ialah Carlsberg dijual merata-rata tanpa kawalan di kawasan legar litar. Mungkin targetnya adalah untuk pengunjung asing, tetapi tak perlulah diletakkan "menggunung" untuk semua orang lihat. Malah, semasa kami di dalam corporate suite, waiter yang mengambil pesanan air bertanya sama ada kami inginkan beer atau tidak. Dan, waiter tersebut adalah seorang Melayu! Kalau dia datang bertanyakan pada saya soalan yang sama, mungkin saya akan "sekolahkan" dia. Dia cuma bertanyakan pada suami saya sahaja.

Gambar-gambar sekitar litar, insya Allah saya akan uploadkan kemudian :)

Konvokesyen adik - Kolej UIA Gombak

Salam,

Beberapa minggu yang lepas saya telah menghadiri pesta konvokesyen (betul ke ejaan ni?) untuk kolej UIA, Gombak di UIA Gombak. Kolej UIA merupakan cawangan kolej swasta untuk UIA, dan kolej ni menawarkan program pengajian dari peringkat sijil hingga diploma.

Adik saya yang bongsu telah berjaya menamatkan pengajian di koleh tersebut dan berjaya memperoleh Diploma. ( Tapi nama programnya saya lupa.. Mungkin lain kali saya boleh update ).

Gambar-gambar akan menyusul kemudian..:)

Friday, 14 March 2014

Mac - Memori demi memori

As salam,

Sudah agak lama saya tidak meng"update" blog saya. Bukan sebab saya sudah hilang minat menulis, tetapi terdapat byk komitmen dalam kehidupan seharian saya sekarang yang menghalang saya untuk selalu mengupdate blog saya seperti biasa.

Sebenarnya bulan Mac tahun ni, banyak perkara yang telah berlaku. Antara highlights yang penting dalam bulan ini:

1) Harijadi saya 1 Mac - Kami pergi berjalan ke Hello Kitty, Johor
2) Kehilangan pesawat MH370 - 8 Mac
3) Jadi Project Manager untuk group assignment...
4) Projek menanam pokok

So detail untuk highlights tu saya akan update dalam post yang lain. Buat masa ni, yang saya boleh katakan, saya sangat sibuk dengan assignment dan ulangkaji pelajaran. Subject yang saya daftar untuk semester ni adalah Software Reusability dan Software Development Management. Yang boleh saya katakan, pembelajaran di peringkat Sarjana bukan lagi sekadar membaca dan memberi jawapan. Tetapi lebih research, kajian perlu dilakukan dan setiap pendapat seharusnya disertakan dengan bukti.

Saya teringat kata-kata pensyarah saya semalam semasa kami melakukan perbentangan assignment, "I don't want this class to have the Asian culture. Asian usually will never ask anything during group assignment". Dan sememangnya kami tidak bertanyakan walau satu soalan sekalipun. Saya tak pasti bagi pelajar yang lain, tapi bagi saya topik perbincangan agak asing bagi saya. Jadi bukannya saya tak mahu bertanyakan soalan, tetapi saya sendiri tak tahu apa bentuk soalan yang patut ditanya.

Jadi plan saya selepas ini adalah untuk membaca buku teks subject tersebut dan cuba memahami dengan lebih mendalam tentang subjek tersebut. Ini membuatkan saya terfikir, jika saya bekerja, bagaimana saya hendak mencari masa untuk membaca dan mengulangkaji pelajaran. Saya juga ada perancangan untuk memohon kerja sebagai RA di Universiti Malaya, namun saya masih berfikir jika saya mampu untuk mengimbangkan masa antara pelajaran dan kerja.

Hm.. buat masa sekarang, saya tumpukan pada subjek saya dulu. Tentang kerja, bisnes, dropship etc, saya letak ketepi sekejap sehingga saya rasa stabil dalam pelajaran saya, Insya Allah...

Wednesday, 5 March 2014

Resipi : Nasi Arab Maqlubah

As salam,

Seperti yang telah saya tulis dalam post saya sebelum ni, saya telah mengikuti kursus Nasi Arab Maqlubah di Kolej Komuniti Selayang. Maqlubah bermaksud terbalik, maksudnya lauknya diletakkan di bahagian bawah dan nasi di bahagian atas semasa proses memasaknya. Lepas siap, periuk akan diterbalikkan supaya lauk pula berada di bahagian atas, dan nasi di bahagian bawah.

Berikut merupakan resipi Nasi Arab Terbalik ( Maqlubah) - credit to cikgu di Kolej Komuniti Selayang

** Resipi untuk 3-4 Pot Beras ( Hidangan bagi 6 orang makan )

Bahan untuk rebusan

Ayam ( dipotong 8, 10 atau 12, mengikut keperluan )
Rempah 5 Spice - boleh dibeli di pasaraya seperti Giant
Garam  / Serbuk Perasa secukup rasa.
Minyak Zaitun

Cara memasaknya:

Ayam direbus dengan air yang disukat secukupnya ( 1 pot beras untuk 1 1/2 pot air) sehingga separuh masak dan masukkan rempah dalam lebih kurang 2 sudu atau secukupnya.

Tambah minyak zaitun dalam air rebusan dalam 2 sudu besar.

Sayur

Kobis bunga, kentang dan terung panjang.

Cara memasaknya:

Goreng dalam minyak yang banyak setelah dipotong mengikut saiz sederhana. Tips dari cikgu: Lebihkan terung dan kobis bunga berbanding kentang. Tapi untuk tips saya sendiri, saya tak berapa suka kan rasa sayur deep fried. :)

Nasi:

Gunakan air rebusan ayam tadi dan masukkan sayur-sayur yang telah digoreng di bahagian bawah diikuti dengan ayam dan kemudian beras. (terpulang sama ada beras biasa atau Basmathi ).

Sup / Syurbah

Bahan-bahan

Tomato - 1 - 2 biji
Labu Air - suku biji
Lobak - 1 - 2 biji
Satu tin kecil - Baked bean

Cara memasak:

Rebus semua bahan sekaligus dan masukkan garam / serbuk perisa secukupnya apabila semua bahan telah empuk. Boleh tambah tulang ayam / daging sebagai tambahan.

Acar / Salatah


1 biji timun
2 biji tomato
1 biji limau nipis (diperah airnya)
1 sudu minyak zaitun

Semua bahan dipotong dadu dan digaul sekali bersama perahan air limau.
Sebagai tambahan boleh ditambah kobis bunga / salad dalam acar.


Ok tu je ;) selamat mencuba!







Wednesday, 26 February 2014

Pengalaman mengikuti program Nasi Arab Maqlubah di Kolej Komuniti Selayang

As salam,

Sabtu yang lepas, 22 Februari, saya telah mengikuti kursus masakan Nasi Arab Maqlubah di Kolej Komuniti Selayang. Pertama kali saya menghadiri program sedemikian, membuatkan saya tertanya-tanya pada awalnya tentang bagaimanakah program akan dilaksanakan nanti.

Setibanya saya di Kolej Komuniti pada hari tersebut, saya tiba agak lewat. Sedikit trafik jam sebelum memasuki persimpangan Selayang merupakan punca kelewatan saya pada hari tersebut.

Apabila saya tiba di kolej, saya terus menuju ke salah satu bilik yang pernah saya lihat sebelum ini mengendalikan kelas masakan. Rupa-rupanya saya memasuki kelas yang salah. Kelas tersebut merupakan kelas cupcake.

Akhirnya saya menjumpai kelas tersebut dan 5 orang pelajar yang lain telah pun bersedia menunggu kehadiran saya sebagai pelajar yang terakhir. Kelas tersebut diadakan di sebuah kitchen, seperti dapur dewan makan sekolah saya dulu.

Nanti saya akan postkan gambar dan juga resipi Nasi Arab Maqlubah. :)

Thursday, 20 February 2014

Peluang berniaga melalui sistem dropship

As salam,

Terdapat banyak cara untuk memulakan perniagaan, dan kali ini saya ingin mencuba untuk melakukan dropship pula. Bagi saya, kelebihan dropship adalah kita tidak perlu menyimpan stok atau mengeluarkan modal yang besar untuk memulakan dan berterusan dalam perniagaan tersebut. Kita juga tidak menanggung apa-apa kos kerugian atau mungkin untuk kos yang sangat minima sekiranya perniagaan tersebut tidak mendapat sambutan pelanggan.

Namun begitu, ada beberapa perkara yang kita perlu tahu sebelum kita menceburi perniagaan dropship untuk set our mind right sebelum kita bermula:

1) Modal - ada sesetengah bisnes menawarkan program dropship dengan modal yang sangat minima atau tiada langsung modal permulaan.

2) Keuntungan - anda perlu tahu yang keuntungan anda adalah kurang berbanding dengan jika anda membeli secara borong dan jual secara retail. Ini adalah berpatutan kerana anda sebenarnya hanyalah membantu untuk menjual dan risiko kerugian masih lagi ditanggung oleh pembekal. Jadi, pada pendapat saya, jika anda sudah mempunyai permintaan yang banyak terhadap produk dropship tersebut, anda harus cuba jual sebagai pemborong pula. Namun, ini terpulang kepada pembekal jika dia membenarkan anda untuk berbuat demikian.

3) Komitmen - dari segi komitmen untuk penghantaran, anda tidak perlu memikirkannya. Pembekal yang perlu berbuat demikian bagi pihak anda. Namun begitu, disebabkan penghantaran dilakukan oleh pembekal, anda tidak dapat kontrol kualiti barangan yang dipos dan bila penghantaran akan dilakukan. Mungkin pembekal anda tinggal di negeri berlainan jadi anda perlu consider masa penghantaran dan penerimaan produk oleh pelanggan.

4) Masa - masa yang diperlukan hanyalah untuk anda mempromosikan barangan berkenaan sahaja. Anda tidak perlu memikirkan bagaimana untuk mendapatkan atau membuat produk berkenaan. Ini adalah antara kelebihan lain tentang dropship yang saya suka.

5) Minat - pastikan anda menjual barangan yang anda suka, bukan sekadar menjual untuk mendapatkan keuntungan. Ini adalah penting terutamanya jika produk berkenaan dijual oleh ramai orang lain. Pembeli kadangkala bukan sahaja ingin membeli barang, akan tetapi ingin mendapatkan nasihat terlebih dahulu. Jika anda tidak suka barang berkenaan, bagaimana anda ingin memberi nasihat atau pandangan jujur tentang barangan tersebut?

Jika anda sudah memahami bidang perniagaan dan potensi dropship, saya ucapkan selamat maju jaya! Mari kita bersama-sama mencuba dan berjaya dalam bidang ini :)


Tuesday, 18 February 2014

Peluang Bisnes dengan Alpha Lipid

As salam,

Sebenarnya sudah lebih setahun saya menjadi ahli New Image Malaysia, iaitu syarikat yang mengeluarkan produk Alpha Lipid. Sebelum ini, saya pernah menjual kepada seorang customer sahaja, iaitu produk Alpha Lipid SD2. Bagi diri saya sendiri juga, saya juga adalah pengguna untuk produk Alpha Lipid SD2. Tetapi, disebabkan ianya tidak menampakkan apa-apa hasil, kami berdua sepakat untuk tidak lagi meneruskan pembelian Alpha Lipid. Pada ketika itu, saya ingat mungkin produk tersebut tidak menunjukkan sebarang kesan kepada saya kerana saya tidak betul-betul berdisiplin dalam menggunakan produk berkenaan.

Namun begitu, baru-baru ini ibu mertua saya telah datang ke rumah dan mula berbual-bual dengan suami saya tentang produk Alpha Lipid Lifeline. Pada ketika itu, saya mula teringatkan produk SD 2 yang saya telah beli beberapa bulan sebelumnya. Dan saya rasa, disebabkan kenaikan berat badan saya yang tidak terkawal dalam masa beberapa bulan lepas, saya nekad untuk bermula semula dan betul-betul mengikuti program dietnya.

Hasilnya, saya berjaya mengurangkan berat 1 kg dalam masa 1 hari! Saya gembira dengan perubahan ini kerana sebelum ini, walaupun saya berdiet, (diet yang masih mengambil nasi dalam kuantiti "sedikit") dan bersenam hampir setiap hari, berat saya bukan sahaja tidak turun, tetapi semakin bertambah 1 kg setiap minggu!

Saya akan meneruskan cabaran menurunkan berat badan saya dan berharap saya dapat mencapai berat badan impian saya iaitu 52 kg.

Jika anda berminat untuk mencuba produk ini, anda boleh menghubungi saya untuk keterangan lanjut. Anda juga boleh mengunjungi link di bawah. Ianya merupakan personal website yang disediakan oleh New Image.

http://www.newimageoffice.com/Default.aspx?ID=1317748





Monday, 17 February 2014

Pembelajaran sepanjang hayat di Kolej Komuniti

As salam,

Tahun lepas, saya pernah mengambil kursus UBS accounting software di Kolej Komuniti Hulu Langat. Kelas tersebut diadakan lebih dari satu hari dengan modul yang diajar secara berperingkat-peringkat. Pada keseluruhannya, saya amat berpuas hati dengan kursus yang telah saya ambil kerana:

1) bayarannya murah. Untuk kelas yang saya telah hadiri, yuran kursus cuma RM7 setiap kelas dan RM65 untuk buku dan yuran peperiksaan.
2) Sijil disediakan setelah tamat kursus dan lulus ujian.

Pada tahun ini, saya juga bercadang untuk menghadiri sebanyak mungkin kelas. Saya telah pun mendaftar kursus Nasi Arab Maglubah pada 22 Feb di Kolej Komuniti Selayang. Yuran kursus cuma RM90, dan bahan-bahan disediakan.

Sesiapa yang berminat, bolehlah menghubungi terus Kolej Komuniti Selayang(KKS). Buat masa ini pembayaran hanya diterima di kaunter KKS. Hasilnya saya akan update nanti! :)





Saturday, 15 February 2014

9 tips bagaimana membina network

As salam,

Sesetengah daripada kita seringkali menghadapi masalah terutamanya untuk memulakan perbualan. Mungkin anda berasa pelik, ada sesetengah orang, memang tidak mempunyai masalah untuk bercakap dengan orang yang dia tidak kenali. Sesetengahnya pula seperti saya, memang menghadapi kesukaran untuk membina persahabatan baru.

Berdasarkan buku-buku yang saya baca dan pengalaman diri saya sendiri, selalunya saya menggunakan teknik seperti di bawah:

1) Sentiasa bersedia untuk menghadapi kemungkinan untuk berjumpa orang baru.
Disebabkan saya secara natural bukanlah seorang yang pandai berborak, saya perlu membuat persiapan tentang topik yang saya akan bualkan nanti. Selalunya topik atau hal-hal semasa yang tidak menyentuh peribadi (supaya tidak dianggap mengumpat) dan tidak menyentuh sensitiviti mana-mana agama dan kaum. Selalunya orang suka bercakap tentang hal mereka, jadi cuba tanya soalan tentang orang tersebut dan bukan menumpukan pada diri kita sahaja.


2) Set target untuk mengenali sekurang-kurangnya berapa orang.
Jika saya perlu menghadiri kursus sebagai contoh, adalah sangat mudah untuk saya duduk di suatu sudut dan membuat hal saya sendiri. Tetapi, untuk membina network yang baru, kita mestilah keluar dari comfort zone kita. Selalunya, waktu yang paling sesuai untuk networking adalah waktu rehat atau waktu makan. Saya akan cuba untuk bercakap dengan seberapa ramai mungkin seperti yang telah saya target.

3) Buat catitan tentang kenalan baru
Selepas kita berbual-bual buat pertama kali dengan orang yang baru kita kenali, saya cadangkan supaya kita mengambil catatan tentang nama dan fakta menarik tentang orang tersebut. Cuba untuk menghafal nama dan fakta tersebut dan pastikan kita tidak tersalah orang!

4) Tegur semula rakan baru, sekurang-kurangnya tiga kali selepas kita berkenalan buat kali yang pertama.

Ini adalah sesuatu yang sukar untuk saya lakukan secara konsisten. Saya selalu merasakan yang orang yang saya baru kenali tidak mengambil perhatian kepada saya. Sebenarnya, saya malu jika orang yang baru saya kenali terpinga-pinga jika saya tiba-tiba menegurnya. Ini adalah salah. Baru-baru ini, saya Ada berbual-bual dengan suami tentang tips bagaimana dia boleh mempunyai kawan yang sangat ramai. Dia mengatakan yang dia tidak pernah kisah jika orang yang dia tegur tersebut tidak mengenalinya. Yang penting, orang itu ingat kepadanya.  Mungkin sekali dua orang tersebut akan merasa pelik, tetapi setelah tiga kali kita melakukan perkara yang sama, orang tersebut akan mula mengecam kita. Jadi, pesan saya kepada diri saya juga, jangan malu untuk menegur orang lain.

5) Gunakan teknologi untuk kekal berhubung.

Zaman sekarang, untuk kekal berhubung telah dipermudahkan dengan segala macam teknologi yang ada. Yang paling popular mungkin Facebook dan Whatsapp ataupun email. Dengan adanya teknologi canggih zaman sekarang, tiada sebab untuk orang untuk tidak berhubung dan membina network.

6) Mencari peluang untuk membina lebih ramai network.

Jika sebelum ini kita cuma menghadiri kursus atau majlis yang memerlukan kehadiran kita, apa kata selepas ini kita membuat inisiatif sendiri untuk pergi ke lebih banyak majlis. Jika kita mahu mengenali masyarakat setempat, cuba hadiri majlis di masjid, surau, atau kenduri di kawasan kejiranan kita. Jika kita ingin mengenali orang-orang profesional dalam suatu bidang, carilah seminar atau majlis yang akan mengumpulkan orang-orang tersebut.

7) Bersedia dengan kad nama

Memang kad nama yang kita berikan kepada orang, kadangkala orang tidak menghargainya. Mungkin juga orang itu cuma mengambil kad kita sekadar menjaga air muka kita sahaja. Tetapi, dengan adanya namecard, kita akan dilihat lebih professional berbanding dengan orang lain.  Jika anda bekerja di syarikat yang terkenal, kenalan baru anda akan mengingati anda sebagai salah seorang pekerja dari syarikat tersebut. First impression adalah penting, namun kad nama perlulah diberikan selepas perbualan serba sedikit dengan kenalan baru kita. Ini adalah supaya impaknya lebih besar untuk orang tersebut mengingati kita.

8) Bergerak dari satu meja ke satu meja.

Taktik ini seringkali saya lihat ketika majlis di syarikat saya dulu. Bos-bos selalunya akan pergi satu satu meja ke satu meja untuk berbual dengan sesiapa sahaja yang duduk di meja berkenaan. Jadi jika anda bersedia, anda boleh cuba cara ini. Jika bukan ke semua meja sekalipun, mungkin anda boleh target 2 atau 3 meja. Lebih mudah jika ada rakan anda yang duduk di meja berlainan. Sambil berborak dengan rakan anda, anda boleh berbual dengan orang bersebelahan dengannya.

9) Kurangkan penggunaan chatting di ofis.

Jika anda bekerja di pejabat, mungkin lebih mudah anda berchatting dengan rakan anda dari bergerak ke mejanya. Namun, untuk sesiapa yang anda baru chatting buat pertama kali mungkin atas sebab kerja, anda haruslah mengambil kesempatan untuk berjumpa dengan orang berkenan in-person untuk membina hubungan kerjaya yang lebih erat.

Diharap tips yang diberikan dapat memberi idea kepada anda untuk bermula untuk membina network anda!

Friday, 14 February 2014

Bagaimana hendak memulakan bisnes?

As salam,

Seringkali saya sendiri tertanya-tanya, bagaimanakah caranya untuk saya memulakan bisnes? Dari pemerhatian, pembacaan, kursus yang telah saya hadiri selama ini, saya akui saya bukanlah seorang yang ekspert, tapi dengan sedikit ilmu yang saya ada, saya harap ianya sedikit sebanyak akan memberi manfaat kepada orang lain.

Tuliskan impian anda

Mana-mana buku yang saya baca, audiobook yang telah saya dengar dan kursus yang saya telah hadiri, semuanya mengatakan perkara yang sama. Tulis impian anda sejelas-jelasnya disekeping kertas. Kemudian berimaginasilah, seolah-olah anda telah mendapat/mencapai impian tersebut. Jika pengarang buku yang saya baca adalah bukan seorang muslim, dia akan mengatakan yang "Universe" mendengar apa yang kita minta. Yang penting percaya, bersikap positif dan bersyukur (Gratitude). Tapi sebagai seorang muslim, kita wajib menyandarkan segala-galanya pada Allah yang Maha Esa. Berdoalah dan bertawakkal.

Kenali diri sendiri dahulu

Tujuan untuk kita kenali diri kita sendiri adalah untuk mengetahui apakah potensi yang ada dalam diri kita. Apa yang saya buat sebelum ni, saya telah mengambil seberapa banyak personality test yang ada di dalam internet untuk mengetahui serba sedikit tentang diri saya. Saya juga kerap berfikir dan bertanyakan soalan dalam diri saya, apa yang akan buat saya gembira.

Saya juga percaya yang kita boleh menentukan hala tuju hidup kita sendiri tanpa perlu menjadi orang lain. Majoriti tak semestinya betul, dan jika kita kaji dan baca tentang kisah kejayaan multimillionaire yang dulu, mereka adalah golongan yang tahu apa mereka nak dan tidak takut untuk mencapai impian walaupun mereka tahu yang mereka impikan itu tidak wujud pada zaman mereka. Contohnya, adik beradik Wright yang mencipta kapal terbang dan Thomas Alva Edison yang mencipta bulb lampu yang menerangi rumah kita pada waktu sekarang.

Allah telah menjadikan setiap manusia itu ada kecendurannya masing-masing, dan masing-masing itu telah ditentukan rezekinya oleh Allah. Seperti yang telah saya baca dari buku "Mudahnya Menjemput Rezeki", jika semua orang itu kaya, siapa pula yang akan menjadi petani yang akan menanam padi?

Jual barang orang atau barang sendiri?

Sesetengah orang berfikir, kalau mereka hendak menjual barang, mereka hendak menjual barang yang dihasilkan oleh mereka sendiri. Mereka tidak mahu menjual barang orang lain. Tetapi, risikonya di sini ialah anda perlu mengeluarkan modal sendiri 100%, membuat plan marketing sendiri dan menjual sendiri barangan anda. Jadi, jika anda rugi, anda akan mengalami kerugian 100%. Malah lebih teruk jika anda bermula dengan menyewa premis kedai dan mengambil pekerja. Kerugian yang bakal anda tanggung adalah lebih besar lagi. Jika anda ingin menjual barang anda sendiri, saya berpendapat yang anda haruslah memilih untuk menjual barangan keperluan asas manusia seperti makanan dan pakaian. Barangan seperti ini, insya Allah permintaannya sentiasa ada, bukan bermusim.

Tetapi jika anda benar-benar baru dalam dunia perniagaan seperti saya, saya berpendapat yang lebih baik jika kita mulakan dengan menjual barang orang lain. Terutamanya, barangan yang kita tahu ramai pengguna dan mempunyai pelan pemasaran yang baik. Contohnya seperti Amway. Ataupun zaman sekarang ada istilah "Dropship". Dengan dropship, anda boleh memulakan perniagaan dengan modal yang sedikit ataupun tanpa perlu modal langsung. Cuma, anda perlu juga kaji dengan berapa pulangan yang anda akan dapat jika anda dapat mempromosi dan menjual barang tersebut kepada pelanggan anda.

Mulakan dengan apa yang anda tahu

Menurut kata mentor saya, Dr Azizan Osman, adalah lebih mudah untuk memulakan perniagaan dengan apa yang anda tahu, bukan dengan apa yang anda tidak tahu. Anda harus menyoal diri anda sendiri, jika anda berhenti kerja pada hari ini, apa yang anda boleh buat serta merta untuk menambah pendapatan anda. Sebagai contoh, jika anda mempunyai skil memasak, pastinya anda akan memilih untuk menjadi tukang masak ataupun menjual kuih di tepi jalan.

Mungkin ada yang merasakan yang anda tidak mempunyai skil yang tertentu yang boleh menjana pendapatan serta merta. Saya juga ada merasakan begitu. Jadi apa yang saya buat, saya mula memikirkan apa yang saya minat dan cuba membina skil dalam bidang tersebut. Contohnya, saya minat bidang penulisan dan masakan, jadi saya cuba membina skil saya dengan lebih banyak menulis dan memasak. Saya juga mempunyai perancangan untuk menghadiri bengkel penulisan dan kelas masakan suatu masa nanti. Saya juga telah biasa menggunakan laptop, jadi saya boleh menaip dengan agak cepat. Skil ini berguna untuk saya menulis dan menjalankan perniagaan berasaskan internet.

Bersikap positif dan sentiasa re-charge tenaga anda

Jika anda benar-benar mempunyai impian untuk memulakan bisnes, anda mesti mula untuk sentiasa bersikap positif dalam apa jua keadaan. Malah jika anda ada membaca buku "The Power" karya Rhonda Bryne, anda akan mendapati yang feeling anda adalah sangat penting dalam menentukan kejayaan anda. Dengan memastikan perasaan positif dalam diri anda, anda bakal menarik benda-benda positif kepada diri anda (Law of Attraction).

Pastinya, bila anda menyatakan hasrat untuk memulakan bisnes, ada antara kalangan rakan-rakan atau saudara-mara anda yang akan membangkang atau merendah-rendahkan impian anda. Apa yang saya lakukan, dan juga seperti salah seorang rakan saya telah buat, iaitu anda hanyalah berkongsi impian anda dengan orang yang anda tahu akan sentiasa menyokong anda. Jika anda dapati ada rakan yang tidak menyokong anda, tidak mengapa. Maafkanlah dia kerana mungkin pemikirannya berbeza dari anda. Sebaliknya cari rakan-rakan yang sentiasa positif dan memberi kata-kata semangat untuk anda agar terus berusaha selagi impian anda belum tercapai.

Mencari Guru / Mentor yang telah berjaya dalam bidang tersebut

Saya suka dengan pepatah yang mengatakan, "A wise man learns by the mistakes of others, a fool by his own". Tidak salah untuk anda bermula dari bawah, mengharungi segala onak duri untuk berjaya, tetapi bukankah lebih mudah jika anda belajar dari orang yang telah berjaya dalam bidang tersebut? Ini jugalah yang ditekankan oleh mentor saya Dr Azizan Osman untuk kita mencari orang yang berjaya dalam bidang yang kita baru nak ceburi. Ketepikan jauh-jauh perasaan malu atau sombong yang ada dalam diri anda. Pada pendapat saya, kita harus letak diri kita lebih rendah dari orang yang telah berjaya, walaupun orang tersebut lebih muda dari kita. Ini akan memudahkan proses pembelajaran dengan mentor yang telah kita pilih.

Buat bisnes plan, ikuti dan tukar apabila perlu.

Dari audiobook "Think and Grow Rich" yang telah saya dengar dulu, Napoleon Hill mencadangkan agar kita mula membuat bisnes plan kita, dan bermula untuk mengikuti bisnes plan tersebut walaupun kita masih lagi tak bersedia untuk bermula. Kemajuan harian yang sedikit-sedikit adalah penting daripada tiada kemajuan langsung! Dan menurutnya, orang yang berjaya pada zamannya adalah orang yang fokus dan tidak mudah bertukar fikiran. Setiap satu yang disenaraikan dalam bisnes plan tersebut akan dilaksanakan walaupun sukar dan ianya cuma ditukar sekali sekala apabila perlu sahaja. Namun begitu, walaupun bisnes plan ditukar, matlamat atau objektif bisnes tersebut tidak bertukar sama sekali. Cuma mungkin kaedah pelaksanaannya sahaja yang perlu dibaikpulih.

Mulakan dari sekarang!

Menurut prinsip "The Power of Now", anda hidup pada masa sekarang, bukan masa lepas atau yang akan datang. Buang jauh-jauh perasaan takut dan tidak bersedia dan mulakan sahaja langkah anda dengan yakin. Selain itu, dekatkanlah diri anda dengan Allah, kerana dengan memenuhi kewajipan kita sebagai hamba kepada Nya, Allah akan penuhi impian kita. Oleh itu, sentiasa cuba untuk solat di awal waktu, berzakat, sedekah, solat Dhuha, berzikir, berdoa dan sebagainya jangan dilupakan. Anda boleh mengetahui dengan lebih lanjut jika anda membaca buku "Mudahnya Menjemput Rezeki".

Bertukar status: Dari pekerja kepada pelajar

As salam,

Salah satu sebab mengapa saya mengambil keputusan untuk mengambil cuti dari pekerjaan adalah kerana saya ingin melanjutkan pelajaran.

Bagaimana untuk mengetahui jika kita sudah bersedia?

Mungkin anda diluar juga seperti saya yang ada menyimpan cita-cita untuk terus belajar dan belajar sehingga ke peringkat yang tertinggi. Mungkin juga anda selalu merasakan yang pekerjaan anda, walaupun anda menyukainya tetapi ianya tidak dapat memberikan kepuasan setelah dilakukan selama bertahun-tahun. Ataupun anda merasakan yang priority hidup anda sudah berubah, dan anda memerlukan ruang untuk hidup anda sendiri dan tidak lagi terlibat dengan politik pejabat yang kadang-kalanya memenatkan.

Apa pun alasan yang kita ada, pastinya untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi setelah berkahwin dan mempunyai anak memerlukan satu semangat yakin boleh dalam diri anda. Begitu juga dengan saya. Jika terlalu banyak berfikir tentang kekangan yang saya ada, mungkin saya tidak akan cuba untuk mencapai impian dan cita-cita saya.

Adakah saya mengetahui yang saya telah bersedia? Jawapannya tentu tidak. Terlalu banyak kemungkinan dan risiko yang saya mungkin akan hadapi terutamanya dari segi kewangan dan masa.

Jangan terlalu banyak berfikir

Berfikir itu bagus, tetapi jika terlalu banyak berfikir terutamanya hal negatif yang mungkin kita akan hadapi, ia berkemungkinan besar akan membantutkan kita untuk mencapai impian. Yang penting, saya mendapat sokongan daripada suami dan keluarga. Saya juga percaya yang rezeki itu kesemuanya ketentuan Allah. Kita sebagai hamba Nya, jika kita jaga hubungan dengan yang Maha Kuasa and Pencipta sekelian alam ini, pastinya Allah itu ada di samping kita.

Pendaftaran lancar dan tiada masalah.

Alhamdulillah saya telah selamat mendaftar di Universiti Malaya dalam bidang Kejuruteraan Perisian. Sepanjang tempoh pendaftaran, tiada sebarang kesulitan yang saya hadapi. Dan sekarang saya telah pun diberikan kad matrik sementara untuk sebulan sebelum diberikan kad matriks yang sebenar.

Dan perjalanan baru pun bermula!

Ya, mulai minggu depan, perjalanan baru pun bermula untuk saya menghadiri kelas, menyiapkan assignment dan menduduki peperiksaan. Cuma cabarannya kali ini, saya perlu menguruskan anak-anak dan juga rumahtangga.

Saya berdoa agar dipermudahkan perjalanan saya sebagai pelajar sehingga saya tamat tempoh pembelajaran saya nanti. :)

openSAP site: untuk mereka yang ingin mempelajari teknologi terkini dari SAP

As salam,

Apakah itu SAP?

SAP merupakan produk off-the-shelf yang telah diusahakan dan dibangunkan oleh sebuah syarikat dari Jerman. Maksud SAP ialah System, Application and Products.

SAP dari pandangan mata saya

Sepanjang tempoh saya bekerja dari tahun 2002 sehinggalah sekarang, lebih dari 10 tahun saya telah bekerja berkaitan dengan produk SAP. Dan sepanjang lebih kurang 10 tahun, saya bekerja sebagai pengaturcara SAP, atau lebih dikenali sebagai SAP ABAP developer.

Bagi saya, kelebihan SAP yang sukar ditandingi oleh produk-produk yang memberikan perkhidmatan yang sama ialah SAP adalah sebuah perisian yang sangat highly integrated. Produk SAP pula saya lihat ianya membantu sesebuah syarikat untuk menguruskan perniagaan mereka iaitu Enterprise Resource Management. Bukan itu sahaja, produk SAP boleh di configure untuk bidang perniagaan yang khusus. Sebagai contoh, bidang Oil & Gas, Fast Moving Goods, Automotive dan sebagainya. Ini menunjukkan yang syarikat SAP telah pun mengkaji bidang-bidang tersebut, dan ianya bukanlah aplikasi yang terlalu umum dan memerlukan terlalu banyak customization.

Mengapa anda perlu mengetahui tentang SAP?

Jika anda merupakan seorang pelajar dalam bidang IT, mungkin anda pernah dengar tentang kerjaya yang ditawarkan oleh SAP. Daripada seorang yang teknikal seperti Basis, ABAP developer ataupun lebih ke arah business functional seperti Business Functional, Security, Integration Manager malahan sebagai SAP Expert User, peluang kerjaya anda adalah cerah. Sudah tentu SAP mempunyai pesaing-pesaing mereka seperti Microsoft, Oracle dan sebagainya, namun begitu SAP masih mempunyai pasarannya yang tersendiri.

Berminat untuk mengetahui teknologi terkini dari SAP? Kini anda boleh!

Jika anda berminat untuk mengetahui tentang teknologi terkini dari SAP, anda boleh mengikuti e-learning yang disediakan secara percuma! Anda cuma perlu mendaftar username dan password, seterusnya anda boleh memilih mana-mana tajuk yang anda inginkan.

Klik sahaja link di bawah:
https://open.sap.com/

Apakah kelebihan openSAP.com?

Selain daripada akses yang diberikan secara percuma kepada sesiapa yang mendaftar, openSAP menggunakan konsep pembelajaran seperti di university. Setiap kursus yang ditawarkan akan dibahagikan kepada durasi yang tertentu dan setiap minggu anda akan diberikan tutorial dan assignment yang memerlukan anda menjawab beberapa soalan. Anda juga boleh menduduki final exam untuk topik tersebut untuk melayakkan anda menerima sijil kehadiran. Yang penting pembelajaran semuanya adalah secara online atau virtual learning. Anda boleh setkan sendiri berapa jam anda ingin belajar pada setiap minggu.

Jadi jika anda berminat, anda bolehlah mendaftar. Semoga anda akan memperoleh manfaat dari website tersebut. :)


Thursday, 13 February 2014

Tips menyimpan buah durian

As salam,

Tahun lepas jika tak silap saya, saya telah menghadiri majlis perkahwinan saudara kepada suami saya yang tinggal di Johor. Tempatnya di kawasan Felda Tenggaroh, sebuah perkampungan Felda yang juga penuh dengan kawasan dusun buah-buahan juga.

Sebelum kami pulang ke kampung suami saya di Nenasi, kami bersama dgn ibu mertua telah singgah di rumah salah sebuah kenalan ibu mertua saya. Tuan rumah tersebut amat berbesar hati menerima kedatangan kami sekeluarga dan kami telah dijamu dengan pelbagai buah-buahan tempatan seperti rambutan, duku dan langsat. (Saya masih lagi sukar membezakan antara duku, langsat dan keluarga mereka..heheh)

Diberikan bekalan raja buah

Sebelum kami berangkat pulang, kami dibekalkan dengan seguni buah rambutan dan langsat. Mereka juga memberitahu kepada kami yang mereka ingin memberi durian juga kepada kami. Suami saya agak risau kerana perjalanan dari Felda Tenggaroh ke Nenasi akan mengambil masa yang agak lama, lebih dari satu jam. Namun rezeki jangan ditolak, kami bersedia menerimanya walaupun kami akan bergelumang dengan bau durian sepanjang lebih sejam perjalanan.

Kami diberikan dengan beberapa bekas tupperware bersaiz besar. Rupa-rupanya mereka telah membekukan isi-isi durian tersebut. Barulah saya mendapat tahu begitulah caranya orang di kampung berkenaan menyimpan durian mereka supaya durian lebih tahan lama dan tidak bertukar menjadi tempoyak.

Percubaan yang menjadi.

Baru-baru ini, kami ada membeli 2 biji durian bersaiz besar dan sederhana. Oleh kerana durian tersebut bersaiz besar dan mempunyai isi yang tebal, kami tidak dapat menghabiskannya. Jadi saya menggunakan teknik durian sejuk beku untuk menyimpan lebiha durian tersebut.

Beginilah rupa durian yang telah disejukbeku. Setelah dibiarkan seketika di luar, durian tersebut kembali lembut dan bolehlah dimakan! :)


Wednesday, 12 February 2014

Resipi puding roti Gardenia

As salam,

Pada hari Sabtu minggu yang lepas, bapa saudara saya telah mengadakan majlis meraikan anak yatim di rumahnya yang terletak di Gombak. Alhamdulillah, walaupun saya tidak dapat menghadirkan diri atas sebab urusan keluarga, saya diberitahu yang majlis berjalan dengan lancar dan meriah. Saya harap majlis sebegini dapat diteruskan untuk masa yang akan datang.

Untuk majlis tersebut, saya telah mencuba resipi yang telah diajar oleh ibu saudara suami saya yang berasal dari Temerloh. Memang resipinya nampak mudah, tetapi rasanya sedap. Terima kasih kepada tuan guru yang mengajar :)

Jadi di sini saya sertakan resipi Puding Roti Gardenia dari Temerloh untuk tatapan semua.

Bahan-bahannya:
2 plastik agar-agar
1 1/2 cawan gula
Pewarna kuning
8 keping roti Gardenia
Perasa koko
2 atau 3 biji telur ayam
1 sudu teh esen vanilla
2 tin susu cair
Air


Cara-cara membuatnya
1) Agar-agar dicairkan di dalam periuk berisi 8 cawan air (lebih kurang)
2) Masukkan roti, susu cair dan telur ke dalam blender. Kisarkan kesemua sekali sehingga sebati.
3) Masukkan bahan yang telah dikisar ke dalam periuk bersama-sama agar-agar tadi.
4) Masukkan gula. Lebihkan gula jika ingin lebih manis
5) Masukkan esen vanilla. Kacau sehingga menggelegak.
6) Asingkan agar-agar kepada 2 bekas. Satu bekas diisikan dengan perisa coklat, satu lagi diisi dengan pewarna kuning.
7) Tuangkan agar-agar ke dalam bekas secara berselang-seli kuning dan coklat.
8) Biarkan sejuk sebelum dimasukkan ke dalam peti ais. Sejukkan untuk beberapa jam.

Apabila dah sejuk dan keras, agar-agar bolehla dipotong untuk dimakan. :)

Kek harijadi yang tak jadi

As salam,

Seperti post saya yang sebelum ini, saya juga ada membuat sebiji kek harijadi sempena harijadi anak saya. Resipi kek coklat moist kukus tersebut saya telah salin dari blog Cikgu Suraya
http://inibelogcikgusuraya.blogspot.com/2013/07/resipi-kek-coklat-kukus-lembab-mudah.html

Resipi yang diberikan memang mudah dan saya telah pun mencubanya. Tetapi malangnya, kek saya tidak menjadi! Kek tersebut mempunyai rasa pahit dari koko yang hangit semasa dipanaskan! Dan, selepas siap kek tersebut saya baru teringat yang saya tidak memasukkan butter ataupun minyak!

Kek coklat hangit tersebut walaupun tidak menjadi, saya masih lagi menggunakannya sekadar "prop" untuk anak saya potong. Hehehe..

Setelah saya teliti "hasil kerja" saya pada hari tersebut, saya membuat kesimpulan yang:

1) Minyak masak atau butter saya lupa masukkan sebab terlalu kelam kabut semasa membuat kek.
2) Koko perlu dipanaskan dengan api yang paling perlahan. Jangan biarkan ianya hangit.
3) Kalau kek dah tak menjadi, tak perlu buat topping lagi. ( Saya tak buat pun :) )

Tetapi takpelah. Saya akan cuba lagi resipi kek chocolate moist lain kali. :)




- Kek coklat ini keras, kering dan terasa hangit-

Sambutan harijadi adik yang ke-2

As salam,

Baru-baru ini saya ada membeli sebuah periuk pelbagai guna jenama NOXXA dari Amway. Pada mulanya upline saya sekadar menunjukkan cara-cara menggunakannya semasa saya berkunjung ke rumahnya tempoh hari. Saya dan suami pada ketika itu datang untuk mendengar penerangan lebih lanjut tentang bisnes plan Amway. Jadi, alang-alang upline saya tunjukkan selagi demo untuk beberapa jenis barangan di rumahnya.

Jadi, sempena harijadi Qaireen yang ke-2, saya telah membuat perancangan untuk memasak sendiri makanan untuk diberikan kepada jiran-jiran dan saudara mara terdekat. Pada mulanya saya merancang untuk memasak nasi Arab, tetapi disebabkan saya tak jumpa dengan perencah tersebut, maka plan terpaksa ditukar dengan menu nasi beriyani ayam dan kambing. Sebenarnya, saya bukanlah seorang yang pakar dalam masakan, cuma saya minat dan suka untuk bagi orang makan. Saya pun sebenarnya tidak pernah memasak nasi arab atau nasi beriani sebelum ni, jadi ini adalah percubaan pertama saya. :)

Di sini saya kongsikan resipi dan cara memasak nasi beriyani yang saya cuba menggunakan periuk tersebut. Mungkin banyak yang saya perlu perbaiki, tetapi tak mengapa, asalkan boleh dimakan. :)


Resipi Beriyani Kambing / Ayam dengan menggunakan periuk NOXXA

400 gm daging kambing (saya beli yang berbentuk kiub dan size sederhana)
2 Perencah Brahim's Nasi Beriani
Beras Basmathi 4 pot ( kalau ikut perencah, 1 perencah untuk 2 pot)

Bahan tumisan:
Bawang putih 2 ulas
Bawang merah 3 biji
Bawang besar 2 biji
Rempah campur 2 peket . (kalau saiz peket kecil. Dalamnya ada bunga cengkih, bunga lawang, kayu manis etc)

Cara membuatnya
1) Beras Basmathi disukat dan direndam dalam air lebih kurang setengah jam. (tapi saya rendam lama lebih kurang satu jam.) Kemudian, toskan airnya dan biar seketika sehingga beras nampak seperti kering.
2) Menggunakan periuk NOXXA, setkan pada mode 'stir fry' untuk menggoreng seketika bahan tumisan.
3) Masukkan daging ayam / kambing ke dalam periuk. Kacau seketika.
4) Masukkan perencah Brahim's Nasi Briyani.
5) Sukat beras Basmathi ke dalam periuk. Tips yang diberikan kepada saya sebelum ni adalah beras basmathi akan mengembang. Jadi jumlah air yang perlu dimasukkan adalah sama seperti jumlah sukatan beras selepas direndam. Tetapi, berhati-hati semasa menyukat kerana jika kita tidak memadatkan beras ke dalam penyukat, ia akan mempunyai ruang udara. Ini akan menyebabkan kita terlebih sukatan beras. Cara saya, saya kurangkan jumlah sukatan beras supaya air yang saya masukkan tidak berlebihan.
6) Tukar mode memasak kepada high pressure. Set timer selama 20 minit.


Alhamdulillah siap dimasak dan bolehlah dimakan. :)

Ni adalah perencah Brahim's yang saya gunakan. Yang kanan, bawah.


Selamat mencuba! :)

Tuesday, 11 February 2014

Memulakan bisnes dengan Amway

As salam,

Salah satu bidang yang saya ceburi buat masa sekarang adalah bidang bisnes networking. Ataupun lebih dikenali sebagai MLM (Multilevel Marketing). Salah satu sebab mengapa saya memilih bidang ini adalah kerana billionaire Donald Trump pernah mengatakan bahawa jika dia perlu memulakan semula bisnesnya dari bawah, dia pasti akan mencuba perniagaan menggunakan network marketing.

Memulakan bisnes dengan Amway

Sebenarnya saya sudah menjadi ahli Amway sejak tahun lepas, tetapi pada ketika itu hanyalah sebagai pengguna barang saya. Dengan masa saya luang saya yang terhad, saya merasakan yang adalah agak mencabar untuk menghadiri kelas pada setiap Jumaat dan juga hujung minggu. Namun begitu, setelah saya membuat kajian serba sedikit tentang business plan Amway, saya merasakan yang saya patut beri peluang kepada diri saya untuk mencuba.

Mengapa Amway?

Ada beberapa sebab mengapa saya memilih Amway. Sebab yang paling utama ialah:
 - saya sendiri adalah pengguna barangan Amway. Saya juga sendiri telah merasakan kelebihan barangan-barangan yang saya gunakan tersebut.
- banyak pilihan barangan di kedai Amway. Untuk MLM yang bagus, pastinya ia harus mempunyai barang yang bermutu dan berkualiti. Wang yang dilaburkan bukanlah semata-mata untuk mendapatkan untung atas angin sahaja.
- bisnes Amway telah lama bertapak dan telah ramai yang berjaya. Dengan ini, terdapat banyak mentor-mentor yang boleh menjadi rujukan untuk ahli baru seperti saya.
- barangan kesihatan mendapat pengesahan dari Kementerian Kesihatan Malaysia dan mendapat status halal dari Jakim.
- bisnes plan yang telus dan mudah difahami.

Sukarnya mencari orang bawah

Sebagai orang baru dalam dunia MLM, pastinya ini adalah cabaran terbesar yang saya hadapi. Mungkin ada juga MLM yang menyatakan kita tak perlu mencari orang bawah. Pesan saya, anda haruslah meneliti bisnes plan MLM tersebut terlebih dahulu. Pastikan tiada manipulasi wang berlaku yang mungkin mengakibatkan kita mengalami kerugian.

Bagi diri saya sendiri, setelah berniat untuk menjalankan bisnes ini dengan serius, saya masih lagi tidak dapat mencari orang lain yang berminat untuk bersama-sama saya dalam bisnes ini. Yang paling utama saya merasakan yang saya perlu belajar mengenai produk terlebih dahulu sebelum saya boleh me"rekrut" orang lain dengan berkesan.

Hadiri kelas formal dan tidak formal

Untuk menambahkan ilmu mengenai produk-produk Amway serta bisnes plan mereka, saya telah menghadiri beberapa kelas informal dengan upline saya. Upline saya telah menunjukkan cara-cara penggunaan produk Amway dengan lebih berkesan. Rupa-rupanya, ada beberapa produk yang tidak digunakan dengan betul, oleh itu keberkesanannya tidak seperti yang diharapkan.

Saya juga telah menghadiri satu kelas di pejabat Amway untuk Direct Dealer kumpulan saya. Perkongsian ilmu yang diberikan oleh DD tersebut amatlah membantu dan memberikan saya suatu pandangan yang berbeza tentang bisnes di Amway.

Berkongsi untuk manfaat bersama

Saya akan berkongsi tentang barangan-barangan Amway yang saya telah beli dan kelebihan barangan
tersebut dalam post saya yang akan datang.

Serba sedikit perjalanan hidupku

As salam,

Seperti yang telah saya kongsikan sebelum ini, saya telah mengambil cuti tanpa gaji dari majikan saya selama setahun. Di sini saya coretkan serba sedikit perjalanan hidup saya yang membawa saya di mana saya berada sekarang.

Bermulanya kerjaya dan episod baru dalam kehidupan

Sepanjang tempoh saya bekerja semenjak tahun 2002 sehinggalah tahun 2014, pelbagai cabaran dan onak duri yang telah saya jalani sepanjang saya bergelar kakitangan syarikat swasta. Pada awal perkahwinan saya, saya tidak mengalami sebarang masalah untuk menguruskan kerjaya dan rumah tangga saya. Saat apabila lahirnya anak saya yang pertama, pada ketika itu saya tinggal di kawasan apartment. Allah permudahkan hidup saya pada ketika itu kerana saya berjaya mendapatkan khidmat babysitter di kawasan apartment tersebut. Jadi, urusan untuk menghantar anak saya cumalah dari sebuah blok ke blok bersebelahan sahaja. Setiap hari saya masuk kerja pada pukul 9.30 pagi dan pulang pada pukul 6.30 ptg. Pada mulanya semuanya tampak baik sahaja, dan telah dipersetujui antara kami yang kami boleh mengambil anak agak lewat kerana babysitter tersebut faham yang kami bekerja jauh dan masa bermula kerja yang agak lewat.

Namun begitu, krisis berlaku antara kami tidak lama kemudian, ketika anak saya berumur 8 bulan. Suatu hari babysitter kami menelefon dan menyuruh saya agar pulang segera ke rumah mengambil anak saya, tanpa melengah-lengahkan waktu lagi. Pada ketika itu, saya sedang berjalan menuju ke arah kereta, jadi saya bersetuju walaupun di dalam hati berasa amat risau tentang apa yang telah berlaku.

Krisis pun bermula

Apa yang telah saya jangkakan akan berlaku, kini berlaku di dunia nyata saya. Saya telah menjangkakan yang babysitter tersebut akan memarahi saya kerana kerap mengambil anak lewat dan tidak membayar apa-apa wang tambahan atas kelewatan tersebut. Saya tidak menyalahinya 100% atas perkara tersebut, walaupun awal-awal lagi babysitter tersebut yang mengatakan dia tidak akan mengambil caj overtime kerana dia meminta flat rate, lebih dari kebiasaan yang babysitter lain akan caj. Cuma kemungkinan caranya yang berkeras kepada saya membuat saya berjauh hati. Kami terus mengambil keputusan untuk tidak lagi menghantar anak kami ke rumahnya. Malah, saya juga telah membuat kesilapan dengan tidak lagi menegur atau berkunjung ke rumah babysitter tersebut. Namun, yang berlaku telah pun berlalu, cuma ada kalanya saya berharap agar diberi kesempatan untuk menjalinkan semula silaturrahim antara kami.

Bertukar arah ke taska

Disebabkan oleh masalah yang telah ditimbulkan oleh babysitter, kami mengambil keputusan untuk menghantar anak kami ke taska pula. Dari usianya 8 bulan, sehinggalah 2 tahun, Khayra tinggal di taska tersebut. Namun begitu, taska tersebut agak jauh dari rumah kami. Kami akui, kami agak cerewet dalam pemilihan taska tersebut kerana taska tersebut akan mengambil alih peranan kami pada waktu siang untuk menjaga dan mendidik Khayra.

Antara ciri-ciri yang kami tekankan adalah taska tersebut haruslah
1) berdaftar dgn Jabatan Kebajikan Masyarakat
2) mestilah corner house (mempunyai ruang yang sewajarnya untuk mengasingkan kanak-kanak
3) pengasingan antara kanak-kanak berusia 3tahun ke bawah dengan 4 tahun dan ke atas
4) pengasuh yang mengasuh bayi, cuma akan menjaga maksimum 3 orang sahaja. Ini penting agar pengasuh boleh menumpukan perhatian terhadap bayi tersebut.
5) tidak menggunakan buaian biasa atau buaian elektrik untuk menidurkan anak.
6) memangku bayi semasa menyusukan atau memberi makanan kepada bayi. Ini penting untuk mengelakkan kejadian tersedak susu dan sebagainya.
7) mempunyai pengetua yang sentiasa mengambil tahu tentang anak didikan dan juga pekerjanya sama ada guru atau pun pengasuh.

Alhamdulillah, kami berjaya menemukan taska yang kami cari yang memenuhi ciri-ciri tersebut. Jadi bermula dari tahun 2009 - 2010, Khayra tinggal di taska berkenaan.


Bermulalah Era Pembantu Rumah

Pada tahun 2010, saya bertuah apabila bertemu dengan seseorang yang ingin menjadi pembantu rumah saya. Kami mengenali pembantu rumah tersebut melalui pembantu rumah kakak ipar saya. Pada ketika itu, Allah permudahkan kerana pembantu rumah tersebut boleh menjalankan tanggung jawabnya untuk menjaga Khayra seperti mana yang kami harapkan. (Dan harapan kami hanyalah supaya Khayra dimandikan, diberi makan dan susu secukupnya). Keadaan rumah saya pada ketika itu juga agak bersih dan kemas. Setelah tamat tempoh 2 tahun dia bekerja dengan kami, pembantu rumah tersebut berhasrat untuk pulang ke negara asalnya iaitu Indonesia. Kami tidak mahu memaksa, walaupun pada ketika itu, saya telah pun disahkan mengandung buat kali kedua.

Setelah ketiadaan pembantu rumah tersebut, Khayra dihantar semula ke tadika yang sama sebelumnya. Cuma bezanya Khayra kini memasuki tadika di rumah yang berlainan. Perkembangan Khayra pada ketika itu agak baik, walaupun kami agak risau kerana setiap kali ketika kami menjemput Khayra pulang, dia hanyalah duduk di satu tempat sahaja di kawasan ruang tamu rumah berkenaan. (kami melihatnya melalui pintu sliding door rumah tersebut sebelum memanggil guru taska). Pernah juga suatu ketika, kami ingin mengambil Khayra pulang awal pada sebelah tengahari. Kami memberi salam kepada guru taska namun tiada jawapan. Kami lihat, guru-guru sedang nyenyak tidur di kawasan ruang tamu rumah tersebut. Agak lama kami di luar rumah menunggu jawapan dari guru taska berkenaan.

Sebulan sebelum saya melahirkan anak yang kedua, suami sahaja berjaya mendapatkan pembantu rumah baru dari ejen yang tidak bertauliah. Dengan bayaran perkhidmatan sebanyak RM2000, kami mendapat seorang pembantu rumah yang sudah terlebih had umurnya. Suami pada ketika itu juga tidak melakukan pertanyaan yang terperinci sebelum membuat keputusan mengambil pembantu rumah berkenaan. Dia cuma diberi tahun yang pembantu rumah itu berusia dalam lingkungan 40-an, namun hakikatnya, pembantu rumah berkenaan sudah pun berusia 46 tahun. Lebih memburukkan keadaan, pembantu rumah tersebut merupakan PATI (pendatang asing tanpa izin) dan tidak memiliki passport.

Namun, atas keadaan yang agak mendesak pada ketika itu dan suami juga telah membawa pulang pembantu rumah berkenaan, kami terpaksa meneruskan perkhidmatan pembantu rumah tersebut. Suami menghubungi ejen pembantu rumah tersebut, tetapi seperti yang dijangkakan, mereka cuma boleh berjanji untuk mencari pengganti untuk pembantu rumah tersebut. Cuma tempoh menunggu tidak dapat dipastikan untuk berapa lama.


Konflik pembantu rumah

Pembantu rumah kami yang kedua ini, sejajar dengan usianya yang agak lanjut, agak kurang cekap dengan pekerjaan dan kurang mesra dengan Khayra. Oleh itu, Khayra masih lagi meneruskan persekolahannya di tadika. Pembantu rumah cuma perlu membuat kerja rumah dan saya pula pada ketika itu sudah mengambil cuti awal dari majikan saya.

Setelah saya selamat melahirkan anak kedua saya, Qaireen, saya menjalani tempoh berpantang selama 3 bulan. Malangnya pembantu rumah saya terus menghilangkan diri selepas tempoh berpantang saya berakhir dengan alasan suaminya tidak membenarkan dia bekerja lagi. Dipendekkan cerita, saya mendapat tahu yang pembantu rumah tersebut sebenarnya mendapat tawaran pekerjaan di rumah lain dengan gaji sebanyak RM1000 sebulan.

Setelah ketiadaan pembantu rumah, kami berulang alik ke rumah ibu saya untuk menghantar anak. Rumah saya pada ketika itu di Kajang, dan rumah ibu pula di Gombak. Kami menginap di rumah ibu bermula dari Isnin pagi (kami bertolak dari Kajang dalam pukul 5 pagi) dan pulang ke Kajang pada setiap hari Jumaat selepas bekerja. Begitulah rutin kami untuk sebulan dua.

Tidak lama kemudian, kami mendapat pula pembantu rumah yang ketiga, namun atas sebab peribadi dia hanya bekerja di rumah kami selama tiga hari sahaja.

Berhijrah ke kampung halaman

Setelah mempunyai 3 orang pembantu rumah, kami mengambil keputusan untuk tidak lagi mengambil pembantu rumah baru. Saya sebenarnya agak serik dengan masalah yang telah ditimbulkan sepanjang tempoh tersebut. Jadi, kami mengambil keputusan untuk berpindah ke kampong halaman saya di Gombak. Kami menyewa sebuah rumah yang berhampiran dengan rumah ibu saya untuk memudahkan saya menghantar Qaireen ke rumah ibu saya pada hari bekerja. Khayra pula bertukar sekolah di tadika cawangan UIA Sri Gombak. Alhamdulillah, setelah berpindah, kami dapat menyesuaikan diri dan jadual kami untuk menghantar dan mengambil anak-anak setiap hari dan menguruskan rumah.

Beri Masa dan Peluang Kepada Diri Sendiri

Setelah bekerja dan menjalani rutin hidup yang sama selama beberapa tahun kebelakangan ini, saya merasakan yang kehidupan saya agak monotonous. Rutin harian yang saya jalankan membuatkan saya terfikir untuk keluar dari alam pekerjaan yang saya adakala rasakan seperti rat race.  Saya ingin mengejar impian-impian saya, tapi pada masa yang sama saya perlukan lebih masa untuk anak-anak dan menguruskan hal rumahtangga. Setelah berfikir panjang, maka saya mengambil keputusan untuk berhenti mengejar impian orang lain dan mula mengejar impian-impian saya sendiri. Saya juga ingin membuat sesuatu yang saya selalu fikir-fikirkan selama ini dan tidak mempunyai keyakinan untuk membuatnya. Saya akan bina keyakinan dan cuba mencapainya dengan izin Allah.

Dalam perjalanan saya untuk mencapai impian-impian saya, saya harap perkongsian saya ini dapat dimanfaatkan oleh orang lain juga yang mungkin mempunyai impian yang sama seperti saya. Bahkan mungkin kita juga berada di situasi yang sama - ibu beranak dua yang bekerja di syarikat swasta dan tidak mempunyai pembantu rumah  :)

Akhir kata dari saya,
Jangan takut, tapi mulakan!

2014.. Satu perubahan dalam kehidupanku

As salam,

Tahun 2014 menyaksikan perubahan yang drastik dalam kehidupan saya. Setelah puas saya menilik, menilai, memikirkan dan menimbangtara tentang kehidupan yang saya sendiri nak, saya telah membuat keputusan untuk mengambil cuti tanpa gaji selama setahun lamanya.

Ada yang menempelak akan keputusan diri ini, tetapi tak mengapalah. Why? Why? Why? Soal mereka yang kurang yakin dengan keputusan saya.Yang penting diri saya sendiri tahu apa yang saya buat, dan ianya mendapat sokongan padu dari suami dan keluarga saya.

Tak sayang kerjaya ke?
Memang ramai yang bertanyakan saya tentang hal ni. Kerjaya yang saya ada sekarang, saya dah bina lebih dari sepuluh tahun dan saya sejujurnya suka dengan kerja saya. Tetapi.. ada kekurangannya. Terutamanya dari segi masa. Kalau waktu duduk di pejabat, saya selalu rasa rindukan anak-anak. Terutamanya anak saya yang berusia 2 tahun. Masa yang diberikan di pejabat dah dirasakan tak berbaloi dengan waktu berjauhan dengan anak-anak.

Jadi saya mula merangka-rangka untuk kehidupan saya sendiri. Life is a CHOICE kan. Kalau diberi pilihan untuk bekerja di pejabat berbanding dengan meluangkan masa dengan keluarga, pastilah keluarga menjadi pilihan utama saya. Jadi di sini saya sekarang, duduk di rumah dengan anak, sambil memikirkan cara untuk menambahkan pendapatan saya. Saya sebenarnya telah mempunyai beberapa perancangan sepanjang tempoh satu tahun ini, tapi biarlah saya kongsikannya dalam post2 saya yang seterusnya.

Menulis bukan kerna nama
Ya, saya menulis bukanlah untuk mencapai populariti, tetapi saya sememangnya berminat dengan bidang penulisan. Di harap dengan nukilan dari hati saya ini, dapatlah ianya memberi manfaat kepada sesiapa sahaja yang sudi mengunjungi blog saya. Saya juga berharap agar dapat menyimpan liku-liku perjalanan hidup saya sebagai SAHM (Stay At Home Mom) dan berjaya merealisasikan impian saya iaitu mempunyai sebuah perniagaan sendiri yang berjaya.

Kepada Allah kita bertawakkal dan berserah.. sebagai hamba Nya kita hanya mampu berusaha dan terus berusaha tanpa rasa putus asa.