Friday, 14 February 2014

Bertukar status: Dari pekerja kepada pelajar

As salam,

Salah satu sebab mengapa saya mengambil keputusan untuk mengambil cuti dari pekerjaan adalah kerana saya ingin melanjutkan pelajaran.

Bagaimana untuk mengetahui jika kita sudah bersedia?

Mungkin anda diluar juga seperti saya yang ada menyimpan cita-cita untuk terus belajar dan belajar sehingga ke peringkat yang tertinggi. Mungkin juga anda selalu merasakan yang pekerjaan anda, walaupun anda menyukainya tetapi ianya tidak dapat memberikan kepuasan setelah dilakukan selama bertahun-tahun. Ataupun anda merasakan yang priority hidup anda sudah berubah, dan anda memerlukan ruang untuk hidup anda sendiri dan tidak lagi terlibat dengan politik pejabat yang kadang-kalanya memenatkan.

Apa pun alasan yang kita ada, pastinya untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi setelah berkahwin dan mempunyai anak memerlukan satu semangat yakin boleh dalam diri anda. Begitu juga dengan saya. Jika terlalu banyak berfikir tentang kekangan yang saya ada, mungkin saya tidak akan cuba untuk mencapai impian dan cita-cita saya.

Adakah saya mengetahui yang saya telah bersedia? Jawapannya tentu tidak. Terlalu banyak kemungkinan dan risiko yang saya mungkin akan hadapi terutamanya dari segi kewangan dan masa.

Jangan terlalu banyak berfikir

Berfikir itu bagus, tetapi jika terlalu banyak berfikir terutamanya hal negatif yang mungkin kita akan hadapi, ia berkemungkinan besar akan membantutkan kita untuk mencapai impian. Yang penting, saya mendapat sokongan daripada suami dan keluarga. Saya juga percaya yang rezeki itu kesemuanya ketentuan Allah. Kita sebagai hamba Nya, jika kita jaga hubungan dengan yang Maha Kuasa and Pencipta sekelian alam ini, pastinya Allah itu ada di samping kita.

Pendaftaran lancar dan tiada masalah.

Alhamdulillah saya telah selamat mendaftar di Universiti Malaya dalam bidang Kejuruteraan Perisian. Sepanjang tempoh pendaftaran, tiada sebarang kesulitan yang saya hadapi. Dan sekarang saya telah pun diberikan kad matrik sementara untuk sebulan sebelum diberikan kad matriks yang sebenar.

Dan perjalanan baru pun bermula!

Ya, mulai minggu depan, perjalanan baru pun bermula untuk saya menghadiri kelas, menyiapkan assignment dan menduduki peperiksaan. Cuma cabarannya kali ini, saya perlu menguruskan anak-anak dan juga rumahtangga.

Saya berdoa agar dipermudahkan perjalanan saya sebagai pelajar sehingga saya tamat tempoh pembelajaran saya nanti. :)

No comments:

Post a Comment