Tuesday, 11 February 2014

Serba sedikit perjalanan hidupku

As salam,

Seperti yang telah saya kongsikan sebelum ini, saya telah mengambil cuti tanpa gaji dari majikan saya selama setahun. Di sini saya coretkan serba sedikit perjalanan hidup saya yang membawa saya di mana saya berada sekarang.

Bermulanya kerjaya dan episod baru dalam kehidupan

Sepanjang tempoh saya bekerja semenjak tahun 2002 sehinggalah tahun 2014, pelbagai cabaran dan onak duri yang telah saya jalani sepanjang saya bergelar kakitangan syarikat swasta. Pada awal perkahwinan saya, saya tidak mengalami sebarang masalah untuk menguruskan kerjaya dan rumah tangga saya. Saat apabila lahirnya anak saya yang pertama, pada ketika itu saya tinggal di kawasan apartment. Allah permudahkan hidup saya pada ketika itu kerana saya berjaya mendapatkan khidmat babysitter di kawasan apartment tersebut. Jadi, urusan untuk menghantar anak saya cumalah dari sebuah blok ke blok bersebelahan sahaja. Setiap hari saya masuk kerja pada pukul 9.30 pagi dan pulang pada pukul 6.30 ptg. Pada mulanya semuanya tampak baik sahaja, dan telah dipersetujui antara kami yang kami boleh mengambil anak agak lewat kerana babysitter tersebut faham yang kami bekerja jauh dan masa bermula kerja yang agak lewat.

Namun begitu, krisis berlaku antara kami tidak lama kemudian, ketika anak saya berumur 8 bulan. Suatu hari babysitter kami menelefon dan menyuruh saya agar pulang segera ke rumah mengambil anak saya, tanpa melengah-lengahkan waktu lagi. Pada ketika itu, saya sedang berjalan menuju ke arah kereta, jadi saya bersetuju walaupun di dalam hati berasa amat risau tentang apa yang telah berlaku.

Krisis pun bermula

Apa yang telah saya jangkakan akan berlaku, kini berlaku di dunia nyata saya. Saya telah menjangkakan yang babysitter tersebut akan memarahi saya kerana kerap mengambil anak lewat dan tidak membayar apa-apa wang tambahan atas kelewatan tersebut. Saya tidak menyalahinya 100% atas perkara tersebut, walaupun awal-awal lagi babysitter tersebut yang mengatakan dia tidak akan mengambil caj overtime kerana dia meminta flat rate, lebih dari kebiasaan yang babysitter lain akan caj. Cuma kemungkinan caranya yang berkeras kepada saya membuat saya berjauh hati. Kami terus mengambil keputusan untuk tidak lagi menghantar anak kami ke rumahnya. Malah, saya juga telah membuat kesilapan dengan tidak lagi menegur atau berkunjung ke rumah babysitter tersebut. Namun, yang berlaku telah pun berlalu, cuma ada kalanya saya berharap agar diberi kesempatan untuk menjalinkan semula silaturrahim antara kami.

Bertukar arah ke taska

Disebabkan oleh masalah yang telah ditimbulkan oleh babysitter, kami mengambil keputusan untuk menghantar anak kami ke taska pula. Dari usianya 8 bulan, sehinggalah 2 tahun, Khayra tinggal di taska tersebut. Namun begitu, taska tersebut agak jauh dari rumah kami. Kami akui, kami agak cerewet dalam pemilihan taska tersebut kerana taska tersebut akan mengambil alih peranan kami pada waktu siang untuk menjaga dan mendidik Khayra.

Antara ciri-ciri yang kami tekankan adalah taska tersebut haruslah
1) berdaftar dgn Jabatan Kebajikan Masyarakat
2) mestilah corner house (mempunyai ruang yang sewajarnya untuk mengasingkan kanak-kanak
3) pengasingan antara kanak-kanak berusia 3tahun ke bawah dengan 4 tahun dan ke atas
4) pengasuh yang mengasuh bayi, cuma akan menjaga maksimum 3 orang sahaja. Ini penting agar pengasuh boleh menumpukan perhatian terhadap bayi tersebut.
5) tidak menggunakan buaian biasa atau buaian elektrik untuk menidurkan anak.
6) memangku bayi semasa menyusukan atau memberi makanan kepada bayi. Ini penting untuk mengelakkan kejadian tersedak susu dan sebagainya.
7) mempunyai pengetua yang sentiasa mengambil tahu tentang anak didikan dan juga pekerjanya sama ada guru atau pun pengasuh.

Alhamdulillah, kami berjaya menemukan taska yang kami cari yang memenuhi ciri-ciri tersebut. Jadi bermula dari tahun 2009 - 2010, Khayra tinggal di taska berkenaan.


Bermulalah Era Pembantu Rumah

Pada tahun 2010, saya bertuah apabila bertemu dengan seseorang yang ingin menjadi pembantu rumah saya. Kami mengenali pembantu rumah tersebut melalui pembantu rumah kakak ipar saya. Pada ketika itu, Allah permudahkan kerana pembantu rumah tersebut boleh menjalankan tanggung jawabnya untuk menjaga Khayra seperti mana yang kami harapkan. (Dan harapan kami hanyalah supaya Khayra dimandikan, diberi makan dan susu secukupnya). Keadaan rumah saya pada ketika itu juga agak bersih dan kemas. Setelah tamat tempoh 2 tahun dia bekerja dengan kami, pembantu rumah tersebut berhasrat untuk pulang ke negara asalnya iaitu Indonesia. Kami tidak mahu memaksa, walaupun pada ketika itu, saya telah pun disahkan mengandung buat kali kedua.

Setelah ketiadaan pembantu rumah tersebut, Khayra dihantar semula ke tadika yang sama sebelumnya. Cuma bezanya Khayra kini memasuki tadika di rumah yang berlainan. Perkembangan Khayra pada ketika itu agak baik, walaupun kami agak risau kerana setiap kali ketika kami menjemput Khayra pulang, dia hanyalah duduk di satu tempat sahaja di kawasan ruang tamu rumah berkenaan. (kami melihatnya melalui pintu sliding door rumah tersebut sebelum memanggil guru taska). Pernah juga suatu ketika, kami ingin mengambil Khayra pulang awal pada sebelah tengahari. Kami memberi salam kepada guru taska namun tiada jawapan. Kami lihat, guru-guru sedang nyenyak tidur di kawasan ruang tamu rumah tersebut. Agak lama kami di luar rumah menunggu jawapan dari guru taska berkenaan.

Sebulan sebelum saya melahirkan anak yang kedua, suami sahaja berjaya mendapatkan pembantu rumah baru dari ejen yang tidak bertauliah. Dengan bayaran perkhidmatan sebanyak RM2000, kami mendapat seorang pembantu rumah yang sudah terlebih had umurnya. Suami pada ketika itu juga tidak melakukan pertanyaan yang terperinci sebelum membuat keputusan mengambil pembantu rumah berkenaan. Dia cuma diberi tahun yang pembantu rumah itu berusia dalam lingkungan 40-an, namun hakikatnya, pembantu rumah berkenaan sudah pun berusia 46 tahun. Lebih memburukkan keadaan, pembantu rumah tersebut merupakan PATI (pendatang asing tanpa izin) dan tidak memiliki passport.

Namun, atas keadaan yang agak mendesak pada ketika itu dan suami juga telah membawa pulang pembantu rumah berkenaan, kami terpaksa meneruskan perkhidmatan pembantu rumah tersebut. Suami menghubungi ejen pembantu rumah tersebut, tetapi seperti yang dijangkakan, mereka cuma boleh berjanji untuk mencari pengganti untuk pembantu rumah tersebut. Cuma tempoh menunggu tidak dapat dipastikan untuk berapa lama.


Konflik pembantu rumah

Pembantu rumah kami yang kedua ini, sejajar dengan usianya yang agak lanjut, agak kurang cekap dengan pekerjaan dan kurang mesra dengan Khayra. Oleh itu, Khayra masih lagi meneruskan persekolahannya di tadika. Pembantu rumah cuma perlu membuat kerja rumah dan saya pula pada ketika itu sudah mengambil cuti awal dari majikan saya.

Setelah saya selamat melahirkan anak kedua saya, Qaireen, saya menjalani tempoh berpantang selama 3 bulan. Malangnya pembantu rumah saya terus menghilangkan diri selepas tempoh berpantang saya berakhir dengan alasan suaminya tidak membenarkan dia bekerja lagi. Dipendekkan cerita, saya mendapat tahu yang pembantu rumah tersebut sebenarnya mendapat tawaran pekerjaan di rumah lain dengan gaji sebanyak RM1000 sebulan.

Setelah ketiadaan pembantu rumah, kami berulang alik ke rumah ibu saya untuk menghantar anak. Rumah saya pada ketika itu di Kajang, dan rumah ibu pula di Gombak. Kami menginap di rumah ibu bermula dari Isnin pagi (kami bertolak dari Kajang dalam pukul 5 pagi) dan pulang ke Kajang pada setiap hari Jumaat selepas bekerja. Begitulah rutin kami untuk sebulan dua.

Tidak lama kemudian, kami mendapat pula pembantu rumah yang ketiga, namun atas sebab peribadi dia hanya bekerja di rumah kami selama tiga hari sahaja.

Berhijrah ke kampung halaman

Setelah mempunyai 3 orang pembantu rumah, kami mengambil keputusan untuk tidak lagi mengambil pembantu rumah baru. Saya sebenarnya agak serik dengan masalah yang telah ditimbulkan sepanjang tempoh tersebut. Jadi, kami mengambil keputusan untuk berpindah ke kampong halaman saya di Gombak. Kami menyewa sebuah rumah yang berhampiran dengan rumah ibu saya untuk memudahkan saya menghantar Qaireen ke rumah ibu saya pada hari bekerja. Khayra pula bertukar sekolah di tadika cawangan UIA Sri Gombak. Alhamdulillah, setelah berpindah, kami dapat menyesuaikan diri dan jadual kami untuk menghantar dan mengambil anak-anak setiap hari dan menguruskan rumah.

Beri Masa dan Peluang Kepada Diri Sendiri

Setelah bekerja dan menjalani rutin hidup yang sama selama beberapa tahun kebelakangan ini, saya merasakan yang kehidupan saya agak monotonous. Rutin harian yang saya jalankan membuatkan saya terfikir untuk keluar dari alam pekerjaan yang saya adakala rasakan seperti rat race.  Saya ingin mengejar impian-impian saya, tapi pada masa yang sama saya perlukan lebih masa untuk anak-anak dan menguruskan hal rumahtangga. Setelah berfikir panjang, maka saya mengambil keputusan untuk berhenti mengejar impian orang lain dan mula mengejar impian-impian saya sendiri. Saya juga ingin membuat sesuatu yang saya selalu fikir-fikirkan selama ini dan tidak mempunyai keyakinan untuk membuatnya. Saya akan bina keyakinan dan cuba mencapainya dengan izin Allah.

Dalam perjalanan saya untuk mencapai impian-impian saya, saya harap perkongsian saya ini dapat dimanfaatkan oleh orang lain juga yang mungkin mempunyai impian yang sama seperti saya. Bahkan mungkin kita juga berada di situasi yang sama - ibu beranak dua yang bekerja di syarikat swasta dan tidak mempunyai pembantu rumah  :)

Akhir kata dari saya,
Jangan takut, tapi mulakan!

No comments:

Post a Comment