Salam,
Pada hari Isnin yang lepas, umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia baru sahaja menyambut Hari Raya. Pada tahun ni, hari raya kami kurang meriah kerana ibu dan adik saya berada di UK bersama keluarga abang saya untuk berhari raya di sana. Dah agak lama ibu saya berada di sana, sejak bulan 5 tahun ni.
Kami sekeluarga berhari raya pertama di kampung halaman saya di Gombak. Setelah selesai bermaaf-maafan dengan suami dan anak-anak, kami pergi ke kedai gambar untuk mengambil gambar keluarga. Pertama kali lah sepanjang berkahwin sejak tahun 2007, kami mengambil gambar keluarga masa raya pertama.
Selesai bergambar, kami balik ke rumah. Adik-adik saya ada menunggu di rumah, makan makanan yang saya sediakan. Tahun ni saya masak menu yang baru iaitu Lontong Johor dari blog Mat Gebu. Memang menjadilah.. cuma yang kurang, takde tempe. Nak buat macamana dah habis.. mungkin ramai yang borong untuk buat lontong jugak masa hari raya ni. Selain dari lontong, saya ada juga masak rendang.. Tapi rendang ni guna perencah segera Pak Ngah, dan dimasak menggunakan pressure cooker. Memang mudah. Tapi adalah silap sikit dalam penyediaan rendang tu.
Mula-mula, saya setkan pressure cooker untuk masak daging dulu selama 30 minit. Lepas 30 minit, daging dah empuk, saya terus masukkan perencah rendang. Sepatutnya air dikeluarkan dulu, atau buang separuh ke. Tapi saya tak buang dan terus je masukkan perencah. Jadi, memang lama lah masa diambil untuk mengeringkan air tu.. Saya pun masatu terus masukkan santan, jadi kena sentiasa kacau rendang untuk pastikan santan tak pecah. Lagi satu menu istimewa saya, nasi minyak. Cuma ayam masak merah je tak masak sebab dah lama sangat spend masa masak rendang, jadi dah penat nak masak ayam pulak.
Lepas je makan-makan, kami semua pergi beraya ke rumah Mak Usu saya di Kampung Simpang Tiga. Di situ, kami makan nasi minyak jugak, tapi ada ayam masak merah. Jadi saya memang makan lah nasi minyak + ayam masak merah sebab tak dapat makan kat rumah .. hehe.
Habis beraya di rumah Mak Usu, kami menuju ke rumah Mak Ngah di Kampung Changkat. Jalan agak sempit nak masuk ke kampung Changkat. Ada tempat yang cuma muat satu kereta je lalu. Jadi ada kesesakan juga lah di kawasan Changkat haritu.
Selesai di rumah Mak Ngah, kami balik ke rumah ibu saya di Greenwood. Berehat dan solat sekejap. Ada pula budak-budak datang beraya masa tu so layankan aje lah..hehe.. Lepas tu kami cepat-cepat bersiap pergi ke rumah Pak Itam di Greenwood jugak. Borak-borak sekejap je sebab Mak Itam takde kat rumah.
Lepas tu, kami pergi ke kubur di Taman Ibukota, tempat di mana arwah abah disemadikan lebih kurang 19 tahun yang lalu. Lama sangat rasanya arwah pergi meninggalkan kami, tapi ingatan kepadanya masih lagi kekal diingatan.. Kawasan kubur di Taman Ibukota pun dah penuh.. ada kawasan baru pulak sekarang ni berhampiran situ dibuka untuk kubur baru. Alfatihah untuk arwah abah..
Setelah selesai bertahlil ringkas, kami bergerak ke Ampang menuju ke rumah Pak Lang. Pak Lang merupakan satu-satunya adik beradik arwah abah yang masih hidup. Di situ, kami makan ketupat palas, kek batik dan lain-lain. Memang penuh lah meja tu dengan makanan dan kuih raya..Kami di sana pun dah petang. Jadi duduk kat situ lama sikit berborak-borak bertanyakan khabar.
Hampir petang lepas pukul 6, kami balik ke rumah. Solat Asar dan Magrib di rumah sebelum kami hantar adik balik ke rumah. Selesai kami beraya pada hari raya pertama. Memang agak memenatkan tapi demi merapatkan silaturrahim dan ukhuwah antara saudara mara, memanglah kita yang muda ni kena pegi menjenguk yang lebih berusia.. :)
Selamat Hai Raya ... dan terima kasih kerana sudi singgah di BLOG saya dan tulis message di message box saya.
ReplyDelete