Friday, 14 February 2014

Bagaimana hendak memulakan bisnes?

As salam,

Seringkali saya sendiri tertanya-tanya, bagaimanakah caranya untuk saya memulakan bisnes? Dari pemerhatian, pembacaan, kursus yang telah saya hadiri selama ini, saya akui saya bukanlah seorang yang ekspert, tapi dengan sedikit ilmu yang saya ada, saya harap ianya sedikit sebanyak akan memberi manfaat kepada orang lain.

Tuliskan impian anda

Mana-mana buku yang saya baca, audiobook yang telah saya dengar dan kursus yang saya telah hadiri, semuanya mengatakan perkara yang sama. Tulis impian anda sejelas-jelasnya disekeping kertas. Kemudian berimaginasilah, seolah-olah anda telah mendapat/mencapai impian tersebut. Jika pengarang buku yang saya baca adalah bukan seorang muslim, dia akan mengatakan yang "Universe" mendengar apa yang kita minta. Yang penting percaya, bersikap positif dan bersyukur (Gratitude). Tapi sebagai seorang muslim, kita wajib menyandarkan segala-galanya pada Allah yang Maha Esa. Berdoalah dan bertawakkal.

Kenali diri sendiri dahulu

Tujuan untuk kita kenali diri kita sendiri adalah untuk mengetahui apakah potensi yang ada dalam diri kita. Apa yang saya buat sebelum ni, saya telah mengambil seberapa banyak personality test yang ada di dalam internet untuk mengetahui serba sedikit tentang diri saya. Saya juga kerap berfikir dan bertanyakan soalan dalam diri saya, apa yang akan buat saya gembira.

Saya juga percaya yang kita boleh menentukan hala tuju hidup kita sendiri tanpa perlu menjadi orang lain. Majoriti tak semestinya betul, dan jika kita kaji dan baca tentang kisah kejayaan multimillionaire yang dulu, mereka adalah golongan yang tahu apa mereka nak dan tidak takut untuk mencapai impian walaupun mereka tahu yang mereka impikan itu tidak wujud pada zaman mereka. Contohnya, adik beradik Wright yang mencipta kapal terbang dan Thomas Alva Edison yang mencipta bulb lampu yang menerangi rumah kita pada waktu sekarang.

Allah telah menjadikan setiap manusia itu ada kecendurannya masing-masing, dan masing-masing itu telah ditentukan rezekinya oleh Allah. Seperti yang telah saya baca dari buku "Mudahnya Menjemput Rezeki", jika semua orang itu kaya, siapa pula yang akan menjadi petani yang akan menanam padi?

Jual barang orang atau barang sendiri?

Sesetengah orang berfikir, kalau mereka hendak menjual barang, mereka hendak menjual barang yang dihasilkan oleh mereka sendiri. Mereka tidak mahu menjual barang orang lain. Tetapi, risikonya di sini ialah anda perlu mengeluarkan modal sendiri 100%, membuat plan marketing sendiri dan menjual sendiri barangan anda. Jadi, jika anda rugi, anda akan mengalami kerugian 100%. Malah lebih teruk jika anda bermula dengan menyewa premis kedai dan mengambil pekerja. Kerugian yang bakal anda tanggung adalah lebih besar lagi. Jika anda ingin menjual barang anda sendiri, saya berpendapat yang anda haruslah memilih untuk menjual barangan keperluan asas manusia seperti makanan dan pakaian. Barangan seperti ini, insya Allah permintaannya sentiasa ada, bukan bermusim.

Tetapi jika anda benar-benar baru dalam dunia perniagaan seperti saya, saya berpendapat yang lebih baik jika kita mulakan dengan menjual barang orang lain. Terutamanya, barangan yang kita tahu ramai pengguna dan mempunyai pelan pemasaran yang baik. Contohnya seperti Amway. Ataupun zaman sekarang ada istilah "Dropship". Dengan dropship, anda boleh memulakan perniagaan dengan modal yang sedikit ataupun tanpa perlu modal langsung. Cuma, anda perlu juga kaji dengan berapa pulangan yang anda akan dapat jika anda dapat mempromosi dan menjual barang tersebut kepada pelanggan anda.

Mulakan dengan apa yang anda tahu

Menurut kata mentor saya, Dr Azizan Osman, adalah lebih mudah untuk memulakan perniagaan dengan apa yang anda tahu, bukan dengan apa yang anda tidak tahu. Anda harus menyoal diri anda sendiri, jika anda berhenti kerja pada hari ini, apa yang anda boleh buat serta merta untuk menambah pendapatan anda. Sebagai contoh, jika anda mempunyai skil memasak, pastinya anda akan memilih untuk menjadi tukang masak ataupun menjual kuih di tepi jalan.

Mungkin ada yang merasakan yang anda tidak mempunyai skil yang tertentu yang boleh menjana pendapatan serta merta. Saya juga ada merasakan begitu. Jadi apa yang saya buat, saya mula memikirkan apa yang saya minat dan cuba membina skil dalam bidang tersebut. Contohnya, saya minat bidang penulisan dan masakan, jadi saya cuba membina skil saya dengan lebih banyak menulis dan memasak. Saya juga mempunyai perancangan untuk menghadiri bengkel penulisan dan kelas masakan suatu masa nanti. Saya juga telah biasa menggunakan laptop, jadi saya boleh menaip dengan agak cepat. Skil ini berguna untuk saya menulis dan menjalankan perniagaan berasaskan internet.

Bersikap positif dan sentiasa re-charge tenaga anda

Jika anda benar-benar mempunyai impian untuk memulakan bisnes, anda mesti mula untuk sentiasa bersikap positif dalam apa jua keadaan. Malah jika anda ada membaca buku "The Power" karya Rhonda Bryne, anda akan mendapati yang feeling anda adalah sangat penting dalam menentukan kejayaan anda. Dengan memastikan perasaan positif dalam diri anda, anda bakal menarik benda-benda positif kepada diri anda (Law of Attraction).

Pastinya, bila anda menyatakan hasrat untuk memulakan bisnes, ada antara kalangan rakan-rakan atau saudara-mara anda yang akan membangkang atau merendah-rendahkan impian anda. Apa yang saya lakukan, dan juga seperti salah seorang rakan saya telah buat, iaitu anda hanyalah berkongsi impian anda dengan orang yang anda tahu akan sentiasa menyokong anda. Jika anda dapati ada rakan yang tidak menyokong anda, tidak mengapa. Maafkanlah dia kerana mungkin pemikirannya berbeza dari anda. Sebaliknya cari rakan-rakan yang sentiasa positif dan memberi kata-kata semangat untuk anda agar terus berusaha selagi impian anda belum tercapai.

Mencari Guru / Mentor yang telah berjaya dalam bidang tersebut

Saya suka dengan pepatah yang mengatakan, "A wise man learns by the mistakes of others, a fool by his own". Tidak salah untuk anda bermula dari bawah, mengharungi segala onak duri untuk berjaya, tetapi bukankah lebih mudah jika anda belajar dari orang yang telah berjaya dalam bidang tersebut? Ini jugalah yang ditekankan oleh mentor saya Dr Azizan Osman untuk kita mencari orang yang berjaya dalam bidang yang kita baru nak ceburi. Ketepikan jauh-jauh perasaan malu atau sombong yang ada dalam diri anda. Pada pendapat saya, kita harus letak diri kita lebih rendah dari orang yang telah berjaya, walaupun orang tersebut lebih muda dari kita. Ini akan memudahkan proses pembelajaran dengan mentor yang telah kita pilih.

Buat bisnes plan, ikuti dan tukar apabila perlu.

Dari audiobook "Think and Grow Rich" yang telah saya dengar dulu, Napoleon Hill mencadangkan agar kita mula membuat bisnes plan kita, dan bermula untuk mengikuti bisnes plan tersebut walaupun kita masih lagi tak bersedia untuk bermula. Kemajuan harian yang sedikit-sedikit adalah penting daripada tiada kemajuan langsung! Dan menurutnya, orang yang berjaya pada zamannya adalah orang yang fokus dan tidak mudah bertukar fikiran. Setiap satu yang disenaraikan dalam bisnes plan tersebut akan dilaksanakan walaupun sukar dan ianya cuma ditukar sekali sekala apabila perlu sahaja. Namun begitu, walaupun bisnes plan ditukar, matlamat atau objektif bisnes tersebut tidak bertukar sama sekali. Cuma mungkin kaedah pelaksanaannya sahaja yang perlu dibaikpulih.

Mulakan dari sekarang!

Menurut prinsip "The Power of Now", anda hidup pada masa sekarang, bukan masa lepas atau yang akan datang. Buang jauh-jauh perasaan takut dan tidak bersedia dan mulakan sahaja langkah anda dengan yakin. Selain itu, dekatkanlah diri anda dengan Allah, kerana dengan memenuhi kewajipan kita sebagai hamba kepada Nya, Allah akan penuhi impian kita. Oleh itu, sentiasa cuba untuk solat di awal waktu, berzakat, sedekah, solat Dhuha, berzikir, berdoa dan sebagainya jangan dilupakan. Anda boleh mengetahui dengan lebih lanjut jika anda membaca buku "Mudahnya Menjemput Rezeki".

No comments:

Post a Comment