As salam,
Sesetengah daripada kita seringkali menghadapi masalah terutamanya untuk memulakan perbualan. Mungkin anda berasa pelik, ada sesetengah orang, memang tidak mempunyai masalah untuk bercakap dengan orang yang dia tidak kenali. Sesetengahnya pula seperti saya, memang menghadapi kesukaran untuk membina persahabatan baru.
Berdasarkan buku-buku yang saya baca dan pengalaman diri saya sendiri, selalunya saya menggunakan teknik seperti di bawah:
1) Sentiasa bersedia untuk menghadapi kemungkinan untuk berjumpa orang baru.
Disebabkan saya secara natural bukanlah seorang yang pandai berborak, saya perlu membuat persiapan tentang topik yang saya akan bualkan nanti. Selalunya topik atau hal-hal semasa yang tidak menyentuh peribadi (supaya tidak dianggap mengumpat) dan tidak menyentuh sensitiviti mana-mana agama dan kaum. Selalunya orang suka bercakap tentang hal mereka, jadi cuba tanya soalan tentang orang tersebut dan bukan menumpukan pada diri kita sahaja.
2) Set target untuk mengenali sekurang-kurangnya berapa orang.
Jika saya perlu menghadiri kursus sebagai contoh, adalah sangat mudah untuk saya duduk di suatu sudut dan membuat hal saya sendiri. Tetapi, untuk membina network yang baru, kita mestilah keluar dari comfort zone kita. Selalunya, waktu yang paling sesuai untuk networking adalah waktu rehat atau waktu makan. Saya akan cuba untuk bercakap dengan seberapa ramai mungkin seperti yang telah saya target.
3) Buat catitan tentang kenalan baru
Selepas kita berbual-bual buat pertama kali dengan orang yang baru kita kenali, saya cadangkan supaya kita mengambil catatan tentang nama dan fakta menarik tentang orang tersebut. Cuba untuk menghafal nama dan fakta tersebut dan pastikan kita tidak tersalah orang!
4) Tegur semula rakan baru, sekurang-kurangnya tiga kali selepas kita berkenalan buat kali yang pertama.
Ini adalah sesuatu yang sukar untuk saya lakukan secara konsisten. Saya selalu merasakan yang orang yang saya baru kenali tidak mengambil perhatian kepada saya. Sebenarnya, saya malu jika orang yang baru saya kenali terpinga-pinga jika saya tiba-tiba menegurnya. Ini adalah salah. Baru-baru ini, saya Ada berbual-bual dengan suami tentang tips bagaimana dia boleh mempunyai kawan yang sangat ramai. Dia mengatakan yang dia tidak pernah kisah jika orang yang dia tegur tersebut tidak mengenalinya. Yang penting, orang itu ingat kepadanya. Mungkin sekali dua orang tersebut akan merasa pelik, tetapi setelah tiga kali kita melakukan perkara yang sama, orang tersebut akan mula mengecam kita. Jadi, pesan saya kepada diri saya juga, jangan malu untuk menegur orang lain.
5) Gunakan teknologi untuk kekal berhubung.
Zaman sekarang, untuk kekal berhubung telah dipermudahkan dengan segala macam teknologi yang ada. Yang paling popular mungkin Facebook dan Whatsapp ataupun email. Dengan adanya teknologi canggih zaman sekarang, tiada sebab untuk orang untuk tidak berhubung dan membina network.
6) Mencari peluang untuk membina lebih ramai network.
Jika sebelum ini kita cuma menghadiri kursus atau majlis yang memerlukan kehadiran kita, apa kata selepas ini kita membuat inisiatif sendiri untuk pergi ke lebih banyak majlis. Jika kita mahu mengenali masyarakat setempat, cuba hadiri majlis di masjid, surau, atau kenduri di kawasan kejiranan kita. Jika kita ingin mengenali orang-orang profesional dalam suatu bidang, carilah seminar atau majlis yang akan mengumpulkan orang-orang tersebut.
7) Bersedia dengan kad nama
Memang kad nama yang kita berikan kepada orang, kadangkala orang tidak menghargainya. Mungkin juga orang itu cuma mengambil kad kita sekadar menjaga air muka kita sahaja. Tetapi, dengan adanya namecard, kita akan dilihat lebih professional berbanding dengan orang lain. Jika anda bekerja di syarikat yang terkenal, kenalan baru anda akan mengingati anda sebagai salah seorang pekerja dari syarikat tersebut. First impression adalah penting, namun kad nama perlulah diberikan selepas perbualan serba sedikit dengan kenalan baru kita. Ini adalah supaya impaknya lebih besar untuk orang tersebut mengingati kita.
8) Bergerak dari satu meja ke satu meja.
Taktik ini seringkali saya lihat ketika majlis di syarikat saya dulu. Bos-bos selalunya akan pergi satu satu meja ke satu meja untuk berbual dengan sesiapa sahaja yang duduk di meja berkenaan. Jadi jika anda bersedia, anda boleh cuba cara ini. Jika bukan ke semua meja sekalipun, mungkin anda boleh target 2 atau 3 meja. Lebih mudah jika ada rakan anda yang duduk di meja berlainan. Sambil berborak dengan rakan anda, anda boleh berbual dengan orang bersebelahan dengannya.
9) Kurangkan penggunaan chatting di ofis.
Jika anda bekerja di pejabat, mungkin lebih mudah anda berchatting dengan rakan anda dari bergerak ke mejanya. Namun, untuk sesiapa yang anda baru chatting buat pertama kali mungkin atas sebab kerja, anda haruslah mengambil kesempatan untuk berjumpa dengan orang berkenan in-person untuk membina hubungan kerjaya yang lebih erat.
Diharap tips yang diberikan dapat memberi idea kepada anda untuk bermula untuk membina network anda!
No comments:
Post a Comment