Wednesday, 26 February 2014

Pengalaman mengikuti program Nasi Arab Maqlubah di Kolej Komuniti Selayang

As salam,

Sabtu yang lepas, 22 Februari, saya telah mengikuti kursus masakan Nasi Arab Maqlubah di Kolej Komuniti Selayang. Pertama kali saya menghadiri program sedemikian, membuatkan saya tertanya-tanya pada awalnya tentang bagaimanakah program akan dilaksanakan nanti.

Setibanya saya di Kolej Komuniti pada hari tersebut, saya tiba agak lewat. Sedikit trafik jam sebelum memasuki persimpangan Selayang merupakan punca kelewatan saya pada hari tersebut.

Apabila saya tiba di kolej, saya terus menuju ke salah satu bilik yang pernah saya lihat sebelum ini mengendalikan kelas masakan. Rupa-rupanya saya memasuki kelas yang salah. Kelas tersebut merupakan kelas cupcake.

Akhirnya saya menjumpai kelas tersebut dan 5 orang pelajar yang lain telah pun bersedia menunggu kehadiran saya sebagai pelajar yang terakhir. Kelas tersebut diadakan di sebuah kitchen, seperti dapur dewan makan sekolah saya dulu.

Nanti saya akan postkan gambar dan juga resipi Nasi Arab Maqlubah. :)

Thursday, 20 February 2014

Peluang berniaga melalui sistem dropship

As salam,

Terdapat banyak cara untuk memulakan perniagaan, dan kali ini saya ingin mencuba untuk melakukan dropship pula. Bagi saya, kelebihan dropship adalah kita tidak perlu menyimpan stok atau mengeluarkan modal yang besar untuk memulakan dan berterusan dalam perniagaan tersebut. Kita juga tidak menanggung apa-apa kos kerugian atau mungkin untuk kos yang sangat minima sekiranya perniagaan tersebut tidak mendapat sambutan pelanggan.

Namun begitu, ada beberapa perkara yang kita perlu tahu sebelum kita menceburi perniagaan dropship untuk set our mind right sebelum kita bermula:

1) Modal - ada sesetengah bisnes menawarkan program dropship dengan modal yang sangat minima atau tiada langsung modal permulaan.

2) Keuntungan - anda perlu tahu yang keuntungan anda adalah kurang berbanding dengan jika anda membeli secara borong dan jual secara retail. Ini adalah berpatutan kerana anda sebenarnya hanyalah membantu untuk menjual dan risiko kerugian masih lagi ditanggung oleh pembekal. Jadi, pada pendapat saya, jika anda sudah mempunyai permintaan yang banyak terhadap produk dropship tersebut, anda harus cuba jual sebagai pemborong pula. Namun, ini terpulang kepada pembekal jika dia membenarkan anda untuk berbuat demikian.

3) Komitmen - dari segi komitmen untuk penghantaran, anda tidak perlu memikirkannya. Pembekal yang perlu berbuat demikian bagi pihak anda. Namun begitu, disebabkan penghantaran dilakukan oleh pembekal, anda tidak dapat kontrol kualiti barangan yang dipos dan bila penghantaran akan dilakukan. Mungkin pembekal anda tinggal di negeri berlainan jadi anda perlu consider masa penghantaran dan penerimaan produk oleh pelanggan.

4) Masa - masa yang diperlukan hanyalah untuk anda mempromosikan barangan berkenaan sahaja. Anda tidak perlu memikirkan bagaimana untuk mendapatkan atau membuat produk berkenaan. Ini adalah antara kelebihan lain tentang dropship yang saya suka.

5) Minat - pastikan anda menjual barangan yang anda suka, bukan sekadar menjual untuk mendapatkan keuntungan. Ini adalah penting terutamanya jika produk berkenaan dijual oleh ramai orang lain. Pembeli kadangkala bukan sahaja ingin membeli barang, akan tetapi ingin mendapatkan nasihat terlebih dahulu. Jika anda tidak suka barang berkenaan, bagaimana anda ingin memberi nasihat atau pandangan jujur tentang barangan tersebut?

Jika anda sudah memahami bidang perniagaan dan potensi dropship, saya ucapkan selamat maju jaya! Mari kita bersama-sama mencuba dan berjaya dalam bidang ini :)


Tuesday, 18 February 2014

Peluang Bisnes dengan Alpha Lipid

As salam,

Sebenarnya sudah lebih setahun saya menjadi ahli New Image Malaysia, iaitu syarikat yang mengeluarkan produk Alpha Lipid. Sebelum ini, saya pernah menjual kepada seorang customer sahaja, iaitu produk Alpha Lipid SD2. Bagi diri saya sendiri juga, saya juga adalah pengguna untuk produk Alpha Lipid SD2. Tetapi, disebabkan ianya tidak menampakkan apa-apa hasil, kami berdua sepakat untuk tidak lagi meneruskan pembelian Alpha Lipid. Pada ketika itu, saya ingat mungkin produk tersebut tidak menunjukkan sebarang kesan kepada saya kerana saya tidak betul-betul berdisiplin dalam menggunakan produk berkenaan.

Namun begitu, baru-baru ini ibu mertua saya telah datang ke rumah dan mula berbual-bual dengan suami saya tentang produk Alpha Lipid Lifeline. Pada ketika itu, saya mula teringatkan produk SD 2 yang saya telah beli beberapa bulan sebelumnya. Dan saya rasa, disebabkan kenaikan berat badan saya yang tidak terkawal dalam masa beberapa bulan lepas, saya nekad untuk bermula semula dan betul-betul mengikuti program dietnya.

Hasilnya, saya berjaya mengurangkan berat 1 kg dalam masa 1 hari! Saya gembira dengan perubahan ini kerana sebelum ini, walaupun saya berdiet, (diet yang masih mengambil nasi dalam kuantiti "sedikit") dan bersenam hampir setiap hari, berat saya bukan sahaja tidak turun, tetapi semakin bertambah 1 kg setiap minggu!

Saya akan meneruskan cabaran menurunkan berat badan saya dan berharap saya dapat mencapai berat badan impian saya iaitu 52 kg.

Jika anda berminat untuk mencuba produk ini, anda boleh menghubungi saya untuk keterangan lanjut. Anda juga boleh mengunjungi link di bawah. Ianya merupakan personal website yang disediakan oleh New Image.

http://www.newimageoffice.com/Default.aspx?ID=1317748





Monday, 17 February 2014

Pembelajaran sepanjang hayat di Kolej Komuniti

As salam,

Tahun lepas, saya pernah mengambil kursus UBS accounting software di Kolej Komuniti Hulu Langat. Kelas tersebut diadakan lebih dari satu hari dengan modul yang diajar secara berperingkat-peringkat. Pada keseluruhannya, saya amat berpuas hati dengan kursus yang telah saya ambil kerana:

1) bayarannya murah. Untuk kelas yang saya telah hadiri, yuran kursus cuma RM7 setiap kelas dan RM65 untuk buku dan yuran peperiksaan.
2) Sijil disediakan setelah tamat kursus dan lulus ujian.

Pada tahun ini, saya juga bercadang untuk menghadiri sebanyak mungkin kelas. Saya telah pun mendaftar kursus Nasi Arab Maglubah pada 22 Feb di Kolej Komuniti Selayang. Yuran kursus cuma RM90, dan bahan-bahan disediakan.

Sesiapa yang berminat, bolehlah menghubungi terus Kolej Komuniti Selayang(KKS). Buat masa ini pembayaran hanya diterima di kaunter KKS. Hasilnya saya akan update nanti! :)





Saturday, 15 February 2014

9 tips bagaimana membina network

As salam,

Sesetengah daripada kita seringkali menghadapi masalah terutamanya untuk memulakan perbualan. Mungkin anda berasa pelik, ada sesetengah orang, memang tidak mempunyai masalah untuk bercakap dengan orang yang dia tidak kenali. Sesetengahnya pula seperti saya, memang menghadapi kesukaran untuk membina persahabatan baru.

Berdasarkan buku-buku yang saya baca dan pengalaman diri saya sendiri, selalunya saya menggunakan teknik seperti di bawah:

1) Sentiasa bersedia untuk menghadapi kemungkinan untuk berjumpa orang baru.
Disebabkan saya secara natural bukanlah seorang yang pandai berborak, saya perlu membuat persiapan tentang topik yang saya akan bualkan nanti. Selalunya topik atau hal-hal semasa yang tidak menyentuh peribadi (supaya tidak dianggap mengumpat) dan tidak menyentuh sensitiviti mana-mana agama dan kaum. Selalunya orang suka bercakap tentang hal mereka, jadi cuba tanya soalan tentang orang tersebut dan bukan menumpukan pada diri kita sahaja.


2) Set target untuk mengenali sekurang-kurangnya berapa orang.
Jika saya perlu menghadiri kursus sebagai contoh, adalah sangat mudah untuk saya duduk di suatu sudut dan membuat hal saya sendiri. Tetapi, untuk membina network yang baru, kita mestilah keluar dari comfort zone kita. Selalunya, waktu yang paling sesuai untuk networking adalah waktu rehat atau waktu makan. Saya akan cuba untuk bercakap dengan seberapa ramai mungkin seperti yang telah saya target.

3) Buat catitan tentang kenalan baru
Selepas kita berbual-bual buat pertama kali dengan orang yang baru kita kenali, saya cadangkan supaya kita mengambil catatan tentang nama dan fakta menarik tentang orang tersebut. Cuba untuk menghafal nama dan fakta tersebut dan pastikan kita tidak tersalah orang!

4) Tegur semula rakan baru, sekurang-kurangnya tiga kali selepas kita berkenalan buat kali yang pertama.

Ini adalah sesuatu yang sukar untuk saya lakukan secara konsisten. Saya selalu merasakan yang orang yang saya baru kenali tidak mengambil perhatian kepada saya. Sebenarnya, saya malu jika orang yang baru saya kenali terpinga-pinga jika saya tiba-tiba menegurnya. Ini adalah salah. Baru-baru ini, saya Ada berbual-bual dengan suami tentang tips bagaimana dia boleh mempunyai kawan yang sangat ramai. Dia mengatakan yang dia tidak pernah kisah jika orang yang dia tegur tersebut tidak mengenalinya. Yang penting, orang itu ingat kepadanya.  Mungkin sekali dua orang tersebut akan merasa pelik, tetapi setelah tiga kali kita melakukan perkara yang sama, orang tersebut akan mula mengecam kita. Jadi, pesan saya kepada diri saya juga, jangan malu untuk menegur orang lain.

5) Gunakan teknologi untuk kekal berhubung.

Zaman sekarang, untuk kekal berhubung telah dipermudahkan dengan segala macam teknologi yang ada. Yang paling popular mungkin Facebook dan Whatsapp ataupun email. Dengan adanya teknologi canggih zaman sekarang, tiada sebab untuk orang untuk tidak berhubung dan membina network.

6) Mencari peluang untuk membina lebih ramai network.

Jika sebelum ini kita cuma menghadiri kursus atau majlis yang memerlukan kehadiran kita, apa kata selepas ini kita membuat inisiatif sendiri untuk pergi ke lebih banyak majlis. Jika kita mahu mengenali masyarakat setempat, cuba hadiri majlis di masjid, surau, atau kenduri di kawasan kejiranan kita. Jika kita ingin mengenali orang-orang profesional dalam suatu bidang, carilah seminar atau majlis yang akan mengumpulkan orang-orang tersebut.

7) Bersedia dengan kad nama

Memang kad nama yang kita berikan kepada orang, kadangkala orang tidak menghargainya. Mungkin juga orang itu cuma mengambil kad kita sekadar menjaga air muka kita sahaja. Tetapi, dengan adanya namecard, kita akan dilihat lebih professional berbanding dengan orang lain.  Jika anda bekerja di syarikat yang terkenal, kenalan baru anda akan mengingati anda sebagai salah seorang pekerja dari syarikat tersebut. First impression adalah penting, namun kad nama perlulah diberikan selepas perbualan serba sedikit dengan kenalan baru kita. Ini adalah supaya impaknya lebih besar untuk orang tersebut mengingati kita.

8) Bergerak dari satu meja ke satu meja.

Taktik ini seringkali saya lihat ketika majlis di syarikat saya dulu. Bos-bos selalunya akan pergi satu satu meja ke satu meja untuk berbual dengan sesiapa sahaja yang duduk di meja berkenaan. Jadi jika anda bersedia, anda boleh cuba cara ini. Jika bukan ke semua meja sekalipun, mungkin anda boleh target 2 atau 3 meja. Lebih mudah jika ada rakan anda yang duduk di meja berlainan. Sambil berborak dengan rakan anda, anda boleh berbual dengan orang bersebelahan dengannya.

9) Kurangkan penggunaan chatting di ofis.

Jika anda bekerja di pejabat, mungkin lebih mudah anda berchatting dengan rakan anda dari bergerak ke mejanya. Namun, untuk sesiapa yang anda baru chatting buat pertama kali mungkin atas sebab kerja, anda haruslah mengambil kesempatan untuk berjumpa dengan orang berkenan in-person untuk membina hubungan kerjaya yang lebih erat.

Diharap tips yang diberikan dapat memberi idea kepada anda untuk bermula untuk membina network anda!

Friday, 14 February 2014

Bagaimana hendak memulakan bisnes?

As salam,

Seringkali saya sendiri tertanya-tanya, bagaimanakah caranya untuk saya memulakan bisnes? Dari pemerhatian, pembacaan, kursus yang telah saya hadiri selama ini, saya akui saya bukanlah seorang yang ekspert, tapi dengan sedikit ilmu yang saya ada, saya harap ianya sedikit sebanyak akan memberi manfaat kepada orang lain.

Tuliskan impian anda

Mana-mana buku yang saya baca, audiobook yang telah saya dengar dan kursus yang saya telah hadiri, semuanya mengatakan perkara yang sama. Tulis impian anda sejelas-jelasnya disekeping kertas. Kemudian berimaginasilah, seolah-olah anda telah mendapat/mencapai impian tersebut. Jika pengarang buku yang saya baca adalah bukan seorang muslim, dia akan mengatakan yang "Universe" mendengar apa yang kita minta. Yang penting percaya, bersikap positif dan bersyukur (Gratitude). Tapi sebagai seorang muslim, kita wajib menyandarkan segala-galanya pada Allah yang Maha Esa. Berdoalah dan bertawakkal.

Kenali diri sendiri dahulu

Tujuan untuk kita kenali diri kita sendiri adalah untuk mengetahui apakah potensi yang ada dalam diri kita. Apa yang saya buat sebelum ni, saya telah mengambil seberapa banyak personality test yang ada di dalam internet untuk mengetahui serba sedikit tentang diri saya. Saya juga kerap berfikir dan bertanyakan soalan dalam diri saya, apa yang akan buat saya gembira.

Saya juga percaya yang kita boleh menentukan hala tuju hidup kita sendiri tanpa perlu menjadi orang lain. Majoriti tak semestinya betul, dan jika kita kaji dan baca tentang kisah kejayaan multimillionaire yang dulu, mereka adalah golongan yang tahu apa mereka nak dan tidak takut untuk mencapai impian walaupun mereka tahu yang mereka impikan itu tidak wujud pada zaman mereka. Contohnya, adik beradik Wright yang mencipta kapal terbang dan Thomas Alva Edison yang mencipta bulb lampu yang menerangi rumah kita pada waktu sekarang.

Allah telah menjadikan setiap manusia itu ada kecendurannya masing-masing, dan masing-masing itu telah ditentukan rezekinya oleh Allah. Seperti yang telah saya baca dari buku "Mudahnya Menjemput Rezeki", jika semua orang itu kaya, siapa pula yang akan menjadi petani yang akan menanam padi?

Jual barang orang atau barang sendiri?

Sesetengah orang berfikir, kalau mereka hendak menjual barang, mereka hendak menjual barang yang dihasilkan oleh mereka sendiri. Mereka tidak mahu menjual barang orang lain. Tetapi, risikonya di sini ialah anda perlu mengeluarkan modal sendiri 100%, membuat plan marketing sendiri dan menjual sendiri barangan anda. Jadi, jika anda rugi, anda akan mengalami kerugian 100%. Malah lebih teruk jika anda bermula dengan menyewa premis kedai dan mengambil pekerja. Kerugian yang bakal anda tanggung adalah lebih besar lagi. Jika anda ingin menjual barang anda sendiri, saya berpendapat yang anda haruslah memilih untuk menjual barangan keperluan asas manusia seperti makanan dan pakaian. Barangan seperti ini, insya Allah permintaannya sentiasa ada, bukan bermusim.

Tetapi jika anda benar-benar baru dalam dunia perniagaan seperti saya, saya berpendapat yang lebih baik jika kita mulakan dengan menjual barang orang lain. Terutamanya, barangan yang kita tahu ramai pengguna dan mempunyai pelan pemasaran yang baik. Contohnya seperti Amway. Ataupun zaman sekarang ada istilah "Dropship". Dengan dropship, anda boleh memulakan perniagaan dengan modal yang sedikit ataupun tanpa perlu modal langsung. Cuma, anda perlu juga kaji dengan berapa pulangan yang anda akan dapat jika anda dapat mempromosi dan menjual barang tersebut kepada pelanggan anda.

Mulakan dengan apa yang anda tahu

Menurut kata mentor saya, Dr Azizan Osman, adalah lebih mudah untuk memulakan perniagaan dengan apa yang anda tahu, bukan dengan apa yang anda tidak tahu. Anda harus menyoal diri anda sendiri, jika anda berhenti kerja pada hari ini, apa yang anda boleh buat serta merta untuk menambah pendapatan anda. Sebagai contoh, jika anda mempunyai skil memasak, pastinya anda akan memilih untuk menjadi tukang masak ataupun menjual kuih di tepi jalan.

Mungkin ada yang merasakan yang anda tidak mempunyai skil yang tertentu yang boleh menjana pendapatan serta merta. Saya juga ada merasakan begitu. Jadi apa yang saya buat, saya mula memikirkan apa yang saya minat dan cuba membina skil dalam bidang tersebut. Contohnya, saya minat bidang penulisan dan masakan, jadi saya cuba membina skil saya dengan lebih banyak menulis dan memasak. Saya juga mempunyai perancangan untuk menghadiri bengkel penulisan dan kelas masakan suatu masa nanti. Saya juga telah biasa menggunakan laptop, jadi saya boleh menaip dengan agak cepat. Skil ini berguna untuk saya menulis dan menjalankan perniagaan berasaskan internet.

Bersikap positif dan sentiasa re-charge tenaga anda

Jika anda benar-benar mempunyai impian untuk memulakan bisnes, anda mesti mula untuk sentiasa bersikap positif dalam apa jua keadaan. Malah jika anda ada membaca buku "The Power" karya Rhonda Bryne, anda akan mendapati yang feeling anda adalah sangat penting dalam menentukan kejayaan anda. Dengan memastikan perasaan positif dalam diri anda, anda bakal menarik benda-benda positif kepada diri anda (Law of Attraction).

Pastinya, bila anda menyatakan hasrat untuk memulakan bisnes, ada antara kalangan rakan-rakan atau saudara-mara anda yang akan membangkang atau merendah-rendahkan impian anda. Apa yang saya lakukan, dan juga seperti salah seorang rakan saya telah buat, iaitu anda hanyalah berkongsi impian anda dengan orang yang anda tahu akan sentiasa menyokong anda. Jika anda dapati ada rakan yang tidak menyokong anda, tidak mengapa. Maafkanlah dia kerana mungkin pemikirannya berbeza dari anda. Sebaliknya cari rakan-rakan yang sentiasa positif dan memberi kata-kata semangat untuk anda agar terus berusaha selagi impian anda belum tercapai.

Mencari Guru / Mentor yang telah berjaya dalam bidang tersebut

Saya suka dengan pepatah yang mengatakan, "A wise man learns by the mistakes of others, a fool by his own". Tidak salah untuk anda bermula dari bawah, mengharungi segala onak duri untuk berjaya, tetapi bukankah lebih mudah jika anda belajar dari orang yang telah berjaya dalam bidang tersebut? Ini jugalah yang ditekankan oleh mentor saya Dr Azizan Osman untuk kita mencari orang yang berjaya dalam bidang yang kita baru nak ceburi. Ketepikan jauh-jauh perasaan malu atau sombong yang ada dalam diri anda. Pada pendapat saya, kita harus letak diri kita lebih rendah dari orang yang telah berjaya, walaupun orang tersebut lebih muda dari kita. Ini akan memudahkan proses pembelajaran dengan mentor yang telah kita pilih.

Buat bisnes plan, ikuti dan tukar apabila perlu.

Dari audiobook "Think and Grow Rich" yang telah saya dengar dulu, Napoleon Hill mencadangkan agar kita mula membuat bisnes plan kita, dan bermula untuk mengikuti bisnes plan tersebut walaupun kita masih lagi tak bersedia untuk bermula. Kemajuan harian yang sedikit-sedikit adalah penting daripada tiada kemajuan langsung! Dan menurutnya, orang yang berjaya pada zamannya adalah orang yang fokus dan tidak mudah bertukar fikiran. Setiap satu yang disenaraikan dalam bisnes plan tersebut akan dilaksanakan walaupun sukar dan ianya cuma ditukar sekali sekala apabila perlu sahaja. Namun begitu, walaupun bisnes plan ditukar, matlamat atau objektif bisnes tersebut tidak bertukar sama sekali. Cuma mungkin kaedah pelaksanaannya sahaja yang perlu dibaikpulih.

Mulakan dari sekarang!

Menurut prinsip "The Power of Now", anda hidup pada masa sekarang, bukan masa lepas atau yang akan datang. Buang jauh-jauh perasaan takut dan tidak bersedia dan mulakan sahaja langkah anda dengan yakin. Selain itu, dekatkanlah diri anda dengan Allah, kerana dengan memenuhi kewajipan kita sebagai hamba kepada Nya, Allah akan penuhi impian kita. Oleh itu, sentiasa cuba untuk solat di awal waktu, berzakat, sedekah, solat Dhuha, berzikir, berdoa dan sebagainya jangan dilupakan. Anda boleh mengetahui dengan lebih lanjut jika anda membaca buku "Mudahnya Menjemput Rezeki".

Bertukar status: Dari pekerja kepada pelajar

As salam,

Salah satu sebab mengapa saya mengambil keputusan untuk mengambil cuti dari pekerjaan adalah kerana saya ingin melanjutkan pelajaran.

Bagaimana untuk mengetahui jika kita sudah bersedia?

Mungkin anda diluar juga seperti saya yang ada menyimpan cita-cita untuk terus belajar dan belajar sehingga ke peringkat yang tertinggi. Mungkin juga anda selalu merasakan yang pekerjaan anda, walaupun anda menyukainya tetapi ianya tidak dapat memberikan kepuasan setelah dilakukan selama bertahun-tahun. Ataupun anda merasakan yang priority hidup anda sudah berubah, dan anda memerlukan ruang untuk hidup anda sendiri dan tidak lagi terlibat dengan politik pejabat yang kadang-kalanya memenatkan.

Apa pun alasan yang kita ada, pastinya untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi setelah berkahwin dan mempunyai anak memerlukan satu semangat yakin boleh dalam diri anda. Begitu juga dengan saya. Jika terlalu banyak berfikir tentang kekangan yang saya ada, mungkin saya tidak akan cuba untuk mencapai impian dan cita-cita saya.

Adakah saya mengetahui yang saya telah bersedia? Jawapannya tentu tidak. Terlalu banyak kemungkinan dan risiko yang saya mungkin akan hadapi terutamanya dari segi kewangan dan masa.

Jangan terlalu banyak berfikir

Berfikir itu bagus, tetapi jika terlalu banyak berfikir terutamanya hal negatif yang mungkin kita akan hadapi, ia berkemungkinan besar akan membantutkan kita untuk mencapai impian. Yang penting, saya mendapat sokongan daripada suami dan keluarga. Saya juga percaya yang rezeki itu kesemuanya ketentuan Allah. Kita sebagai hamba Nya, jika kita jaga hubungan dengan yang Maha Kuasa and Pencipta sekelian alam ini, pastinya Allah itu ada di samping kita.

Pendaftaran lancar dan tiada masalah.

Alhamdulillah saya telah selamat mendaftar di Universiti Malaya dalam bidang Kejuruteraan Perisian. Sepanjang tempoh pendaftaran, tiada sebarang kesulitan yang saya hadapi. Dan sekarang saya telah pun diberikan kad matrik sementara untuk sebulan sebelum diberikan kad matriks yang sebenar.

Dan perjalanan baru pun bermula!

Ya, mulai minggu depan, perjalanan baru pun bermula untuk saya menghadiri kelas, menyiapkan assignment dan menduduki peperiksaan. Cuma cabarannya kali ini, saya perlu menguruskan anak-anak dan juga rumahtangga.

Saya berdoa agar dipermudahkan perjalanan saya sebagai pelajar sehingga saya tamat tempoh pembelajaran saya nanti. :)

openSAP site: untuk mereka yang ingin mempelajari teknologi terkini dari SAP

As salam,

Apakah itu SAP?

SAP merupakan produk off-the-shelf yang telah diusahakan dan dibangunkan oleh sebuah syarikat dari Jerman. Maksud SAP ialah System, Application and Products.

SAP dari pandangan mata saya

Sepanjang tempoh saya bekerja dari tahun 2002 sehinggalah sekarang, lebih dari 10 tahun saya telah bekerja berkaitan dengan produk SAP. Dan sepanjang lebih kurang 10 tahun, saya bekerja sebagai pengaturcara SAP, atau lebih dikenali sebagai SAP ABAP developer.

Bagi saya, kelebihan SAP yang sukar ditandingi oleh produk-produk yang memberikan perkhidmatan yang sama ialah SAP adalah sebuah perisian yang sangat highly integrated. Produk SAP pula saya lihat ianya membantu sesebuah syarikat untuk menguruskan perniagaan mereka iaitu Enterprise Resource Management. Bukan itu sahaja, produk SAP boleh di configure untuk bidang perniagaan yang khusus. Sebagai contoh, bidang Oil & Gas, Fast Moving Goods, Automotive dan sebagainya. Ini menunjukkan yang syarikat SAP telah pun mengkaji bidang-bidang tersebut, dan ianya bukanlah aplikasi yang terlalu umum dan memerlukan terlalu banyak customization.

Mengapa anda perlu mengetahui tentang SAP?

Jika anda merupakan seorang pelajar dalam bidang IT, mungkin anda pernah dengar tentang kerjaya yang ditawarkan oleh SAP. Daripada seorang yang teknikal seperti Basis, ABAP developer ataupun lebih ke arah business functional seperti Business Functional, Security, Integration Manager malahan sebagai SAP Expert User, peluang kerjaya anda adalah cerah. Sudah tentu SAP mempunyai pesaing-pesaing mereka seperti Microsoft, Oracle dan sebagainya, namun begitu SAP masih mempunyai pasarannya yang tersendiri.

Berminat untuk mengetahui teknologi terkini dari SAP? Kini anda boleh!

Jika anda berminat untuk mengetahui tentang teknologi terkini dari SAP, anda boleh mengikuti e-learning yang disediakan secara percuma! Anda cuma perlu mendaftar username dan password, seterusnya anda boleh memilih mana-mana tajuk yang anda inginkan.

Klik sahaja link di bawah:
https://open.sap.com/

Apakah kelebihan openSAP.com?

Selain daripada akses yang diberikan secara percuma kepada sesiapa yang mendaftar, openSAP menggunakan konsep pembelajaran seperti di university. Setiap kursus yang ditawarkan akan dibahagikan kepada durasi yang tertentu dan setiap minggu anda akan diberikan tutorial dan assignment yang memerlukan anda menjawab beberapa soalan. Anda juga boleh menduduki final exam untuk topik tersebut untuk melayakkan anda menerima sijil kehadiran. Yang penting pembelajaran semuanya adalah secara online atau virtual learning. Anda boleh setkan sendiri berapa jam anda ingin belajar pada setiap minggu.

Jadi jika anda berminat, anda bolehlah mendaftar. Semoga anda akan memperoleh manfaat dari website tersebut. :)


Thursday, 13 February 2014

Tips menyimpan buah durian

As salam,

Tahun lepas jika tak silap saya, saya telah menghadiri majlis perkahwinan saudara kepada suami saya yang tinggal di Johor. Tempatnya di kawasan Felda Tenggaroh, sebuah perkampungan Felda yang juga penuh dengan kawasan dusun buah-buahan juga.

Sebelum kami pulang ke kampung suami saya di Nenasi, kami bersama dgn ibu mertua telah singgah di rumah salah sebuah kenalan ibu mertua saya. Tuan rumah tersebut amat berbesar hati menerima kedatangan kami sekeluarga dan kami telah dijamu dengan pelbagai buah-buahan tempatan seperti rambutan, duku dan langsat. (Saya masih lagi sukar membezakan antara duku, langsat dan keluarga mereka..heheh)

Diberikan bekalan raja buah

Sebelum kami berangkat pulang, kami dibekalkan dengan seguni buah rambutan dan langsat. Mereka juga memberitahu kepada kami yang mereka ingin memberi durian juga kepada kami. Suami saya agak risau kerana perjalanan dari Felda Tenggaroh ke Nenasi akan mengambil masa yang agak lama, lebih dari satu jam. Namun rezeki jangan ditolak, kami bersedia menerimanya walaupun kami akan bergelumang dengan bau durian sepanjang lebih sejam perjalanan.

Kami diberikan dengan beberapa bekas tupperware bersaiz besar. Rupa-rupanya mereka telah membekukan isi-isi durian tersebut. Barulah saya mendapat tahu begitulah caranya orang di kampung berkenaan menyimpan durian mereka supaya durian lebih tahan lama dan tidak bertukar menjadi tempoyak.

Percubaan yang menjadi.

Baru-baru ini, kami ada membeli 2 biji durian bersaiz besar dan sederhana. Oleh kerana durian tersebut bersaiz besar dan mempunyai isi yang tebal, kami tidak dapat menghabiskannya. Jadi saya menggunakan teknik durian sejuk beku untuk menyimpan lebiha durian tersebut.

Beginilah rupa durian yang telah disejukbeku. Setelah dibiarkan seketika di luar, durian tersebut kembali lembut dan bolehlah dimakan! :)


Wednesday, 12 February 2014

Resipi puding roti Gardenia

As salam,

Pada hari Sabtu minggu yang lepas, bapa saudara saya telah mengadakan majlis meraikan anak yatim di rumahnya yang terletak di Gombak. Alhamdulillah, walaupun saya tidak dapat menghadirkan diri atas sebab urusan keluarga, saya diberitahu yang majlis berjalan dengan lancar dan meriah. Saya harap majlis sebegini dapat diteruskan untuk masa yang akan datang.

Untuk majlis tersebut, saya telah mencuba resipi yang telah diajar oleh ibu saudara suami saya yang berasal dari Temerloh. Memang resipinya nampak mudah, tetapi rasanya sedap. Terima kasih kepada tuan guru yang mengajar :)

Jadi di sini saya sertakan resipi Puding Roti Gardenia dari Temerloh untuk tatapan semua.

Bahan-bahannya:
2 plastik agar-agar
1 1/2 cawan gula
Pewarna kuning
8 keping roti Gardenia
Perasa koko
2 atau 3 biji telur ayam
1 sudu teh esen vanilla
2 tin susu cair
Air


Cara-cara membuatnya
1) Agar-agar dicairkan di dalam periuk berisi 8 cawan air (lebih kurang)
2) Masukkan roti, susu cair dan telur ke dalam blender. Kisarkan kesemua sekali sehingga sebati.
3) Masukkan bahan yang telah dikisar ke dalam periuk bersama-sama agar-agar tadi.
4) Masukkan gula. Lebihkan gula jika ingin lebih manis
5) Masukkan esen vanilla. Kacau sehingga menggelegak.
6) Asingkan agar-agar kepada 2 bekas. Satu bekas diisikan dengan perisa coklat, satu lagi diisi dengan pewarna kuning.
7) Tuangkan agar-agar ke dalam bekas secara berselang-seli kuning dan coklat.
8) Biarkan sejuk sebelum dimasukkan ke dalam peti ais. Sejukkan untuk beberapa jam.

Apabila dah sejuk dan keras, agar-agar bolehla dipotong untuk dimakan. :)

Kek harijadi yang tak jadi

As salam,

Seperti post saya yang sebelum ini, saya juga ada membuat sebiji kek harijadi sempena harijadi anak saya. Resipi kek coklat moist kukus tersebut saya telah salin dari blog Cikgu Suraya
http://inibelogcikgusuraya.blogspot.com/2013/07/resipi-kek-coklat-kukus-lembab-mudah.html

Resipi yang diberikan memang mudah dan saya telah pun mencubanya. Tetapi malangnya, kek saya tidak menjadi! Kek tersebut mempunyai rasa pahit dari koko yang hangit semasa dipanaskan! Dan, selepas siap kek tersebut saya baru teringat yang saya tidak memasukkan butter ataupun minyak!

Kek coklat hangit tersebut walaupun tidak menjadi, saya masih lagi menggunakannya sekadar "prop" untuk anak saya potong. Hehehe..

Setelah saya teliti "hasil kerja" saya pada hari tersebut, saya membuat kesimpulan yang:

1) Minyak masak atau butter saya lupa masukkan sebab terlalu kelam kabut semasa membuat kek.
2) Koko perlu dipanaskan dengan api yang paling perlahan. Jangan biarkan ianya hangit.
3) Kalau kek dah tak menjadi, tak perlu buat topping lagi. ( Saya tak buat pun :) )

Tetapi takpelah. Saya akan cuba lagi resipi kek chocolate moist lain kali. :)




- Kek coklat ini keras, kering dan terasa hangit-

Sambutan harijadi adik yang ke-2

As salam,

Baru-baru ini saya ada membeli sebuah periuk pelbagai guna jenama NOXXA dari Amway. Pada mulanya upline saya sekadar menunjukkan cara-cara menggunakannya semasa saya berkunjung ke rumahnya tempoh hari. Saya dan suami pada ketika itu datang untuk mendengar penerangan lebih lanjut tentang bisnes plan Amway. Jadi, alang-alang upline saya tunjukkan selagi demo untuk beberapa jenis barangan di rumahnya.

Jadi, sempena harijadi Qaireen yang ke-2, saya telah membuat perancangan untuk memasak sendiri makanan untuk diberikan kepada jiran-jiran dan saudara mara terdekat. Pada mulanya saya merancang untuk memasak nasi Arab, tetapi disebabkan saya tak jumpa dengan perencah tersebut, maka plan terpaksa ditukar dengan menu nasi beriyani ayam dan kambing. Sebenarnya, saya bukanlah seorang yang pakar dalam masakan, cuma saya minat dan suka untuk bagi orang makan. Saya pun sebenarnya tidak pernah memasak nasi arab atau nasi beriani sebelum ni, jadi ini adalah percubaan pertama saya. :)

Di sini saya kongsikan resipi dan cara memasak nasi beriyani yang saya cuba menggunakan periuk tersebut. Mungkin banyak yang saya perlu perbaiki, tetapi tak mengapa, asalkan boleh dimakan. :)


Resipi Beriyani Kambing / Ayam dengan menggunakan periuk NOXXA

400 gm daging kambing (saya beli yang berbentuk kiub dan size sederhana)
2 Perencah Brahim's Nasi Beriani
Beras Basmathi 4 pot ( kalau ikut perencah, 1 perencah untuk 2 pot)

Bahan tumisan:
Bawang putih 2 ulas
Bawang merah 3 biji
Bawang besar 2 biji
Rempah campur 2 peket . (kalau saiz peket kecil. Dalamnya ada bunga cengkih, bunga lawang, kayu manis etc)

Cara membuatnya
1) Beras Basmathi disukat dan direndam dalam air lebih kurang setengah jam. (tapi saya rendam lama lebih kurang satu jam.) Kemudian, toskan airnya dan biar seketika sehingga beras nampak seperti kering.
2) Menggunakan periuk NOXXA, setkan pada mode 'stir fry' untuk menggoreng seketika bahan tumisan.
3) Masukkan daging ayam / kambing ke dalam periuk. Kacau seketika.
4) Masukkan perencah Brahim's Nasi Briyani.
5) Sukat beras Basmathi ke dalam periuk. Tips yang diberikan kepada saya sebelum ni adalah beras basmathi akan mengembang. Jadi jumlah air yang perlu dimasukkan adalah sama seperti jumlah sukatan beras selepas direndam. Tetapi, berhati-hati semasa menyukat kerana jika kita tidak memadatkan beras ke dalam penyukat, ia akan mempunyai ruang udara. Ini akan menyebabkan kita terlebih sukatan beras. Cara saya, saya kurangkan jumlah sukatan beras supaya air yang saya masukkan tidak berlebihan.
6) Tukar mode memasak kepada high pressure. Set timer selama 20 minit.


Alhamdulillah siap dimasak dan bolehlah dimakan. :)

Ni adalah perencah Brahim's yang saya gunakan. Yang kanan, bawah.


Selamat mencuba! :)

Tuesday, 11 February 2014

Memulakan bisnes dengan Amway

As salam,

Salah satu bidang yang saya ceburi buat masa sekarang adalah bidang bisnes networking. Ataupun lebih dikenali sebagai MLM (Multilevel Marketing). Salah satu sebab mengapa saya memilih bidang ini adalah kerana billionaire Donald Trump pernah mengatakan bahawa jika dia perlu memulakan semula bisnesnya dari bawah, dia pasti akan mencuba perniagaan menggunakan network marketing.

Memulakan bisnes dengan Amway

Sebenarnya saya sudah menjadi ahli Amway sejak tahun lepas, tetapi pada ketika itu hanyalah sebagai pengguna barang saya. Dengan masa saya luang saya yang terhad, saya merasakan yang adalah agak mencabar untuk menghadiri kelas pada setiap Jumaat dan juga hujung minggu. Namun begitu, setelah saya membuat kajian serba sedikit tentang business plan Amway, saya merasakan yang saya patut beri peluang kepada diri saya untuk mencuba.

Mengapa Amway?

Ada beberapa sebab mengapa saya memilih Amway. Sebab yang paling utama ialah:
 - saya sendiri adalah pengguna barangan Amway. Saya juga sendiri telah merasakan kelebihan barangan-barangan yang saya gunakan tersebut.
- banyak pilihan barangan di kedai Amway. Untuk MLM yang bagus, pastinya ia harus mempunyai barang yang bermutu dan berkualiti. Wang yang dilaburkan bukanlah semata-mata untuk mendapatkan untung atas angin sahaja.
- bisnes Amway telah lama bertapak dan telah ramai yang berjaya. Dengan ini, terdapat banyak mentor-mentor yang boleh menjadi rujukan untuk ahli baru seperti saya.
- barangan kesihatan mendapat pengesahan dari Kementerian Kesihatan Malaysia dan mendapat status halal dari Jakim.
- bisnes plan yang telus dan mudah difahami.

Sukarnya mencari orang bawah

Sebagai orang baru dalam dunia MLM, pastinya ini adalah cabaran terbesar yang saya hadapi. Mungkin ada juga MLM yang menyatakan kita tak perlu mencari orang bawah. Pesan saya, anda haruslah meneliti bisnes plan MLM tersebut terlebih dahulu. Pastikan tiada manipulasi wang berlaku yang mungkin mengakibatkan kita mengalami kerugian.

Bagi diri saya sendiri, setelah berniat untuk menjalankan bisnes ini dengan serius, saya masih lagi tidak dapat mencari orang lain yang berminat untuk bersama-sama saya dalam bisnes ini. Yang paling utama saya merasakan yang saya perlu belajar mengenai produk terlebih dahulu sebelum saya boleh me"rekrut" orang lain dengan berkesan.

Hadiri kelas formal dan tidak formal

Untuk menambahkan ilmu mengenai produk-produk Amway serta bisnes plan mereka, saya telah menghadiri beberapa kelas informal dengan upline saya. Upline saya telah menunjukkan cara-cara penggunaan produk Amway dengan lebih berkesan. Rupa-rupanya, ada beberapa produk yang tidak digunakan dengan betul, oleh itu keberkesanannya tidak seperti yang diharapkan.

Saya juga telah menghadiri satu kelas di pejabat Amway untuk Direct Dealer kumpulan saya. Perkongsian ilmu yang diberikan oleh DD tersebut amatlah membantu dan memberikan saya suatu pandangan yang berbeza tentang bisnes di Amway.

Berkongsi untuk manfaat bersama

Saya akan berkongsi tentang barangan-barangan Amway yang saya telah beli dan kelebihan barangan
tersebut dalam post saya yang akan datang.

Serba sedikit perjalanan hidupku

As salam,

Seperti yang telah saya kongsikan sebelum ini, saya telah mengambil cuti tanpa gaji dari majikan saya selama setahun. Di sini saya coretkan serba sedikit perjalanan hidup saya yang membawa saya di mana saya berada sekarang.

Bermulanya kerjaya dan episod baru dalam kehidupan

Sepanjang tempoh saya bekerja semenjak tahun 2002 sehinggalah tahun 2014, pelbagai cabaran dan onak duri yang telah saya jalani sepanjang saya bergelar kakitangan syarikat swasta. Pada awal perkahwinan saya, saya tidak mengalami sebarang masalah untuk menguruskan kerjaya dan rumah tangga saya. Saat apabila lahirnya anak saya yang pertama, pada ketika itu saya tinggal di kawasan apartment. Allah permudahkan hidup saya pada ketika itu kerana saya berjaya mendapatkan khidmat babysitter di kawasan apartment tersebut. Jadi, urusan untuk menghantar anak saya cumalah dari sebuah blok ke blok bersebelahan sahaja. Setiap hari saya masuk kerja pada pukul 9.30 pagi dan pulang pada pukul 6.30 ptg. Pada mulanya semuanya tampak baik sahaja, dan telah dipersetujui antara kami yang kami boleh mengambil anak agak lewat kerana babysitter tersebut faham yang kami bekerja jauh dan masa bermula kerja yang agak lewat.

Namun begitu, krisis berlaku antara kami tidak lama kemudian, ketika anak saya berumur 8 bulan. Suatu hari babysitter kami menelefon dan menyuruh saya agar pulang segera ke rumah mengambil anak saya, tanpa melengah-lengahkan waktu lagi. Pada ketika itu, saya sedang berjalan menuju ke arah kereta, jadi saya bersetuju walaupun di dalam hati berasa amat risau tentang apa yang telah berlaku.

Krisis pun bermula

Apa yang telah saya jangkakan akan berlaku, kini berlaku di dunia nyata saya. Saya telah menjangkakan yang babysitter tersebut akan memarahi saya kerana kerap mengambil anak lewat dan tidak membayar apa-apa wang tambahan atas kelewatan tersebut. Saya tidak menyalahinya 100% atas perkara tersebut, walaupun awal-awal lagi babysitter tersebut yang mengatakan dia tidak akan mengambil caj overtime kerana dia meminta flat rate, lebih dari kebiasaan yang babysitter lain akan caj. Cuma kemungkinan caranya yang berkeras kepada saya membuat saya berjauh hati. Kami terus mengambil keputusan untuk tidak lagi menghantar anak kami ke rumahnya. Malah, saya juga telah membuat kesilapan dengan tidak lagi menegur atau berkunjung ke rumah babysitter tersebut. Namun, yang berlaku telah pun berlalu, cuma ada kalanya saya berharap agar diberi kesempatan untuk menjalinkan semula silaturrahim antara kami.

Bertukar arah ke taska

Disebabkan oleh masalah yang telah ditimbulkan oleh babysitter, kami mengambil keputusan untuk menghantar anak kami ke taska pula. Dari usianya 8 bulan, sehinggalah 2 tahun, Khayra tinggal di taska tersebut. Namun begitu, taska tersebut agak jauh dari rumah kami. Kami akui, kami agak cerewet dalam pemilihan taska tersebut kerana taska tersebut akan mengambil alih peranan kami pada waktu siang untuk menjaga dan mendidik Khayra.

Antara ciri-ciri yang kami tekankan adalah taska tersebut haruslah
1) berdaftar dgn Jabatan Kebajikan Masyarakat
2) mestilah corner house (mempunyai ruang yang sewajarnya untuk mengasingkan kanak-kanak
3) pengasingan antara kanak-kanak berusia 3tahun ke bawah dengan 4 tahun dan ke atas
4) pengasuh yang mengasuh bayi, cuma akan menjaga maksimum 3 orang sahaja. Ini penting agar pengasuh boleh menumpukan perhatian terhadap bayi tersebut.
5) tidak menggunakan buaian biasa atau buaian elektrik untuk menidurkan anak.
6) memangku bayi semasa menyusukan atau memberi makanan kepada bayi. Ini penting untuk mengelakkan kejadian tersedak susu dan sebagainya.
7) mempunyai pengetua yang sentiasa mengambil tahu tentang anak didikan dan juga pekerjanya sama ada guru atau pun pengasuh.

Alhamdulillah, kami berjaya menemukan taska yang kami cari yang memenuhi ciri-ciri tersebut. Jadi bermula dari tahun 2009 - 2010, Khayra tinggal di taska berkenaan.


Bermulalah Era Pembantu Rumah

Pada tahun 2010, saya bertuah apabila bertemu dengan seseorang yang ingin menjadi pembantu rumah saya. Kami mengenali pembantu rumah tersebut melalui pembantu rumah kakak ipar saya. Pada ketika itu, Allah permudahkan kerana pembantu rumah tersebut boleh menjalankan tanggung jawabnya untuk menjaga Khayra seperti mana yang kami harapkan. (Dan harapan kami hanyalah supaya Khayra dimandikan, diberi makan dan susu secukupnya). Keadaan rumah saya pada ketika itu juga agak bersih dan kemas. Setelah tamat tempoh 2 tahun dia bekerja dengan kami, pembantu rumah tersebut berhasrat untuk pulang ke negara asalnya iaitu Indonesia. Kami tidak mahu memaksa, walaupun pada ketika itu, saya telah pun disahkan mengandung buat kali kedua.

Setelah ketiadaan pembantu rumah tersebut, Khayra dihantar semula ke tadika yang sama sebelumnya. Cuma bezanya Khayra kini memasuki tadika di rumah yang berlainan. Perkembangan Khayra pada ketika itu agak baik, walaupun kami agak risau kerana setiap kali ketika kami menjemput Khayra pulang, dia hanyalah duduk di satu tempat sahaja di kawasan ruang tamu rumah berkenaan. (kami melihatnya melalui pintu sliding door rumah tersebut sebelum memanggil guru taska). Pernah juga suatu ketika, kami ingin mengambil Khayra pulang awal pada sebelah tengahari. Kami memberi salam kepada guru taska namun tiada jawapan. Kami lihat, guru-guru sedang nyenyak tidur di kawasan ruang tamu rumah tersebut. Agak lama kami di luar rumah menunggu jawapan dari guru taska berkenaan.

Sebulan sebelum saya melahirkan anak yang kedua, suami sahaja berjaya mendapatkan pembantu rumah baru dari ejen yang tidak bertauliah. Dengan bayaran perkhidmatan sebanyak RM2000, kami mendapat seorang pembantu rumah yang sudah terlebih had umurnya. Suami pada ketika itu juga tidak melakukan pertanyaan yang terperinci sebelum membuat keputusan mengambil pembantu rumah berkenaan. Dia cuma diberi tahun yang pembantu rumah itu berusia dalam lingkungan 40-an, namun hakikatnya, pembantu rumah berkenaan sudah pun berusia 46 tahun. Lebih memburukkan keadaan, pembantu rumah tersebut merupakan PATI (pendatang asing tanpa izin) dan tidak memiliki passport.

Namun, atas keadaan yang agak mendesak pada ketika itu dan suami juga telah membawa pulang pembantu rumah berkenaan, kami terpaksa meneruskan perkhidmatan pembantu rumah tersebut. Suami menghubungi ejen pembantu rumah tersebut, tetapi seperti yang dijangkakan, mereka cuma boleh berjanji untuk mencari pengganti untuk pembantu rumah tersebut. Cuma tempoh menunggu tidak dapat dipastikan untuk berapa lama.


Konflik pembantu rumah

Pembantu rumah kami yang kedua ini, sejajar dengan usianya yang agak lanjut, agak kurang cekap dengan pekerjaan dan kurang mesra dengan Khayra. Oleh itu, Khayra masih lagi meneruskan persekolahannya di tadika. Pembantu rumah cuma perlu membuat kerja rumah dan saya pula pada ketika itu sudah mengambil cuti awal dari majikan saya.

Setelah saya selamat melahirkan anak kedua saya, Qaireen, saya menjalani tempoh berpantang selama 3 bulan. Malangnya pembantu rumah saya terus menghilangkan diri selepas tempoh berpantang saya berakhir dengan alasan suaminya tidak membenarkan dia bekerja lagi. Dipendekkan cerita, saya mendapat tahu yang pembantu rumah tersebut sebenarnya mendapat tawaran pekerjaan di rumah lain dengan gaji sebanyak RM1000 sebulan.

Setelah ketiadaan pembantu rumah, kami berulang alik ke rumah ibu saya untuk menghantar anak. Rumah saya pada ketika itu di Kajang, dan rumah ibu pula di Gombak. Kami menginap di rumah ibu bermula dari Isnin pagi (kami bertolak dari Kajang dalam pukul 5 pagi) dan pulang ke Kajang pada setiap hari Jumaat selepas bekerja. Begitulah rutin kami untuk sebulan dua.

Tidak lama kemudian, kami mendapat pula pembantu rumah yang ketiga, namun atas sebab peribadi dia hanya bekerja di rumah kami selama tiga hari sahaja.

Berhijrah ke kampung halaman

Setelah mempunyai 3 orang pembantu rumah, kami mengambil keputusan untuk tidak lagi mengambil pembantu rumah baru. Saya sebenarnya agak serik dengan masalah yang telah ditimbulkan sepanjang tempoh tersebut. Jadi, kami mengambil keputusan untuk berpindah ke kampong halaman saya di Gombak. Kami menyewa sebuah rumah yang berhampiran dengan rumah ibu saya untuk memudahkan saya menghantar Qaireen ke rumah ibu saya pada hari bekerja. Khayra pula bertukar sekolah di tadika cawangan UIA Sri Gombak. Alhamdulillah, setelah berpindah, kami dapat menyesuaikan diri dan jadual kami untuk menghantar dan mengambil anak-anak setiap hari dan menguruskan rumah.

Beri Masa dan Peluang Kepada Diri Sendiri

Setelah bekerja dan menjalani rutin hidup yang sama selama beberapa tahun kebelakangan ini, saya merasakan yang kehidupan saya agak monotonous. Rutin harian yang saya jalankan membuatkan saya terfikir untuk keluar dari alam pekerjaan yang saya adakala rasakan seperti rat race.  Saya ingin mengejar impian-impian saya, tapi pada masa yang sama saya perlukan lebih masa untuk anak-anak dan menguruskan hal rumahtangga. Setelah berfikir panjang, maka saya mengambil keputusan untuk berhenti mengejar impian orang lain dan mula mengejar impian-impian saya sendiri. Saya juga ingin membuat sesuatu yang saya selalu fikir-fikirkan selama ini dan tidak mempunyai keyakinan untuk membuatnya. Saya akan bina keyakinan dan cuba mencapainya dengan izin Allah.

Dalam perjalanan saya untuk mencapai impian-impian saya, saya harap perkongsian saya ini dapat dimanfaatkan oleh orang lain juga yang mungkin mempunyai impian yang sama seperti saya. Bahkan mungkin kita juga berada di situasi yang sama - ibu beranak dua yang bekerja di syarikat swasta dan tidak mempunyai pembantu rumah  :)

Akhir kata dari saya,
Jangan takut, tapi mulakan!

2014.. Satu perubahan dalam kehidupanku

As salam,

Tahun 2014 menyaksikan perubahan yang drastik dalam kehidupan saya. Setelah puas saya menilik, menilai, memikirkan dan menimbangtara tentang kehidupan yang saya sendiri nak, saya telah membuat keputusan untuk mengambil cuti tanpa gaji selama setahun lamanya.

Ada yang menempelak akan keputusan diri ini, tetapi tak mengapalah. Why? Why? Why? Soal mereka yang kurang yakin dengan keputusan saya.Yang penting diri saya sendiri tahu apa yang saya buat, dan ianya mendapat sokongan padu dari suami dan keluarga saya.

Tak sayang kerjaya ke?
Memang ramai yang bertanyakan saya tentang hal ni. Kerjaya yang saya ada sekarang, saya dah bina lebih dari sepuluh tahun dan saya sejujurnya suka dengan kerja saya. Tetapi.. ada kekurangannya. Terutamanya dari segi masa. Kalau waktu duduk di pejabat, saya selalu rasa rindukan anak-anak. Terutamanya anak saya yang berusia 2 tahun. Masa yang diberikan di pejabat dah dirasakan tak berbaloi dengan waktu berjauhan dengan anak-anak.

Jadi saya mula merangka-rangka untuk kehidupan saya sendiri. Life is a CHOICE kan. Kalau diberi pilihan untuk bekerja di pejabat berbanding dengan meluangkan masa dengan keluarga, pastilah keluarga menjadi pilihan utama saya. Jadi di sini saya sekarang, duduk di rumah dengan anak, sambil memikirkan cara untuk menambahkan pendapatan saya. Saya sebenarnya telah mempunyai beberapa perancangan sepanjang tempoh satu tahun ini, tapi biarlah saya kongsikannya dalam post2 saya yang seterusnya.

Menulis bukan kerna nama
Ya, saya menulis bukanlah untuk mencapai populariti, tetapi saya sememangnya berminat dengan bidang penulisan. Di harap dengan nukilan dari hati saya ini, dapatlah ianya memberi manfaat kepada sesiapa sahaja yang sudi mengunjungi blog saya. Saya juga berharap agar dapat menyimpan liku-liku perjalanan hidup saya sebagai SAHM (Stay At Home Mom) dan berjaya merealisasikan impian saya iaitu mempunyai sebuah perniagaan sendiri yang berjaya.

Kepada Allah kita bertawakkal dan berserah.. sebagai hamba Nya kita hanya mampu berusaha dan terus berusaha tanpa rasa putus asa.