Sunday 3 August 2014

Hari Raya 2014

Salam,

Pada hari Isnin yang lepas, umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia baru sahaja menyambut Hari Raya. Pada tahun ni, hari raya kami kurang meriah kerana ibu dan adik saya berada di UK bersama keluarga abang saya untuk berhari raya di sana. Dah agak lama ibu saya berada di sana, sejak bulan 5 tahun ni.

Kami sekeluarga berhari raya pertama di kampung halaman saya di Gombak. Setelah selesai bermaaf-maafan dengan suami dan anak-anak, kami pergi ke kedai gambar untuk mengambil gambar keluarga. Pertama kali lah sepanjang berkahwin sejak tahun 2007, kami mengambil gambar keluarga masa raya pertama.

Selesai bergambar, kami balik ke rumah. Adik-adik saya ada menunggu di rumah, makan makanan yang saya sediakan. Tahun ni saya masak menu yang baru iaitu Lontong Johor dari blog Mat Gebu. Memang menjadilah.. cuma yang kurang, takde tempe. Nak buat macamana dah habis.. mungkin ramai yang borong untuk buat lontong jugak masa hari raya ni. Selain dari lontong, saya ada juga masak rendang.. Tapi rendang ni guna perencah segera Pak Ngah, dan dimasak menggunakan pressure cooker. Memang mudah. Tapi adalah silap sikit dalam penyediaan rendang tu.

Mula-mula, saya setkan pressure cooker untuk masak daging dulu selama 30 minit. Lepas 30 minit, daging dah empuk, saya terus masukkan perencah rendang. Sepatutnya air dikeluarkan dulu, atau buang separuh ke. Tapi saya tak buang dan terus je masukkan perencah. Jadi, memang lama lah masa diambil untuk mengeringkan air tu.. Saya pun masatu terus masukkan santan, jadi kena sentiasa kacau rendang untuk pastikan santan tak pecah. Lagi satu menu istimewa saya, nasi minyak. Cuma ayam masak merah je tak masak sebab dah lama sangat spend masa masak rendang, jadi dah penat nak masak ayam pulak.

Lepas je makan-makan, kami semua pergi beraya ke rumah Mak Usu saya di Kampung Simpang Tiga. Di situ, kami makan nasi minyak jugak, tapi ada ayam masak merah. Jadi saya memang makan lah nasi minyak + ayam masak merah sebab tak dapat makan kat rumah .. hehe.

Habis beraya di rumah Mak Usu, kami menuju ke rumah Mak Ngah di Kampung Changkat. Jalan agak sempit nak masuk ke kampung Changkat. Ada tempat yang cuma muat satu kereta je lalu. Jadi ada kesesakan juga lah di kawasan Changkat haritu.

Selesai di rumah Mak Ngah, kami balik ke rumah ibu saya di Greenwood. Berehat dan solat sekejap. Ada pula budak-budak datang beraya masa tu so layankan aje lah..hehe.. Lepas tu kami cepat-cepat bersiap pergi ke rumah Pak Itam di Greenwood jugak. Borak-borak sekejap je sebab Mak Itam takde kat rumah.

Lepas tu, kami pergi ke kubur di Taman Ibukota, tempat di mana arwah abah disemadikan lebih kurang 19 tahun yang lalu. Lama sangat rasanya arwah pergi meninggalkan kami, tapi ingatan kepadanya masih lagi kekal diingatan.. Kawasan kubur di Taman Ibukota pun dah penuh.. ada kawasan baru pulak sekarang ni berhampiran situ dibuka untuk kubur baru. Alfatihah untuk arwah abah..

Setelah selesai bertahlil ringkas, kami bergerak ke Ampang menuju ke rumah Pak Lang. Pak Lang merupakan satu-satunya adik beradik arwah abah yang masih hidup. Di situ, kami makan ketupat palas, kek batik dan lain-lain. Memang penuh lah meja tu dengan makanan dan kuih raya..Kami di sana pun dah petang. Jadi duduk kat situ lama sikit berborak-borak bertanyakan khabar.

Hampir petang lepas pukul 6, kami balik ke rumah. Solat Asar dan Magrib di rumah sebelum kami hantar adik balik ke rumah. Selesai kami beraya pada hari raya pertama. Memang agak memenatkan tapi demi merapatkan silaturrahim dan ukhuwah antara saudara mara, memanglah kita yang muda ni kena pegi menjenguk yang lebih berusia.. :)

Kenangan Lalu Mengusik Jiwa: Bas Mini 14

Salam,

Untuk warga Gombak terutamanya yang tinggal di sekitar Taman Greenwood pada tahun 80 an - 90 an tentunya mengetahui tentang bas mini 14 yang berhenti di stesen Greenwood. Masa tu, bas 14 ni kami naik untuk ke Chow Kit, Sogo dan stesen akhirnya di Central Market. Rasanya bas ni dulu warnanya merah agaknya, lepas tu ditukar kepada warna merah jambu. Harga tiket bas, rasanya 30 sen untuk kanak-kanak, 50 sen dewasa.

Bas panjang pun ada di Gombak masatu, tapi bas tu cuma lalu di depan Greenwood, dan stesennya di Taman Sri Gombak kalau tak silap la.. Saya agak je sebab bas tu menuju ke arah Sri Gombak. Bas tu nama dia bas Len Seng.

Kenangan saya dengan bas 14 ni memang banyak.. dulu kalau saya naik bas ni, saya takut sangat nak tekan loceng. Sebabnya malu sangat. Takut nanti kalau kita tekan loceng, semua orang tengok kat orang yang menekan loceng tu. Memang konflik dalaman diri la tu, maklumlah, budak sekolah rendah lagi.

Tempat yang saya selalu pergi dulu semestinya area Sogo. Dulu saya juga selalu tengok wayang dengan mak dan adik-adik di pawagam odeon depan Sogo tu. Rasanya masa tu movie Awie- Erra tengah meletup-letup. Filem Pasrah, Maria Mariana.. semuala gi tengok kat wayang masa tu. Naik bas 14 tu lah. Lepas je tengok wayang boleh jalan-jalan ke Sogo sekejap sebelum balik rumah.

Yang ni ada link dari youtube dalam filem Sikit Punya Gila.. haha Bas Mini 14  in action. Yang dalam filem ni versi lagi lama dari yang saya ingat. Yang ni gambar bas dr forum Rapid KL City Shuttle. Bas 14 macam nilah lebih kurang cuma nombornya 14, yang dalam gambar ni nombor 61.





Ada satu kenangan yang agak tragik tentang bas 14 ni. Ada sekali tu, sebuah bas 14 terjunam masuk ke dalam Sungai Gombak dekat dengan masjid Simpang Tiga. Masa tu saya dapat tau pun sebab konduktor bas tu anak jiran rumah saya. Katanya, tak ramai orang dalam bas masatu, dan takde kemalangan jiwa yang berlaku. Tapi, cerita sebenar wallahua'lam lah, cuma mereka yang terlibat je yang tau apa yang berlaku. Maklumlah masa tu takde FB semua, berita tu pun rasanya takde masuk TV atau surat khabar pun..

Bas 14 ni kemudiannya digantikan dengan bas Intrakota. Bas 14 dulu takde aircon, tingkap buka dari tengah. Bas Intrakota tu, ada aircond, jadi lebih selesa. Lepas je bas 14 tu digantikan, dah tak nampak lagi dah kelibat bas tu di mana-mana. Apa agaknya syarikat bas tu buat pada bas tu? Mungkin dijual semula ke pengusaha bas sekolah atau dilupuskan agaknya lah.. Tapi, sememangnya bas 14 tu banyak berjasa, terutamanya kepada penduduk sekitar Taman Greenwood. :)

Wednesday 23 July 2014

Kek Coklat Bakar akhirnya menjadi

Salam,

Alhamdulillah..setelah percubaan beberapa kali nak buat kek coklat moist, akhirnya semalam menjadi juga.. Sebelum ni saya pernah buat kek harijadi yang tak jadi, then 2 minggu lepas sy buat kek coklat moist kukus pun pecah juga kek tu. Semalam saya cuba jaya lagi lagi sekali dan alhamdulillah kalini menjadi walaupun....bhgn bawah melekat mungkin sebab moist sgt saya buat..

Daripada percubaan yang tak menjadi sebelum ni, ada beberapa tips yg saya boleh kongsingkan. Yang pertama, pastikan loyang tu tak diisi lebih daripada separuh bekas. Saya rasa loyang saya walaupun lebar 8 inci setengah, tapi ketinggian dia tak seberapa.. Tu yang tak boleh tuang semua adunan. Sebelum ni saya memang tuang semua, tu yg kek saya mesti pecah, walaupun kek tu dikukus atas dapur. So kalau tak muat loyang tu pandai-pandai lah ya isi kat loyang lain pulak.

Yang kedua, oven kita. Sebelum saya pernah ada orang bagitau saya, suhu oven tu kita kena cuba beberapa kali baru kita boleh agak-agak yang oven kita ni terlebih panas ke terkurang panas ke.. Dari pengalaman saya, saya suka set suhu kurang sikit dari yang dicadangkan. Test dulu. Pastu kalau tak masak juga maksudnya kita boleh la up kan sikit suhu tu then tambah masa sikit2. Orang pro tak buat camni kot..orang newbie mcm saya je yang kena buat camtu..hehehe..

Yang ketiga, baking paper. Saya rasa, next time saya kenal letak baking paper kat dasar tin untuk elakkan lekat. Bahagian tepi tu takpe, letak marjerin pastu bila kek sejuk, dia mengecut sendiri. So tak lekat. Takpe yang ni saya kena eksperimen sendiri dulu next time..

Oklah, kat bawah ada resipi yang saya salin dari warisan bonda resipi. Terima kasih tuan punya resipi ya,, nak tengok resipi asal, boleh klik di sini Resipi kek coklat bakar


BAHAN-BAHAN:

BAHAN A:



2 cawan tepung gandum
1st baking powder
1st soda bikarbonat - sudu teh leper je. saya rs kalau lebih soda bikarbonat, rasa semacam je..
1 cawan serbuk koko



BAHAN B:

4 biji telur - dikeluarkan dari peti ais, suhu bilik

2 cawan gula halus
1 cawan minyak sayur - saya guna minyak jagung
1 cawan susu pekat - saya tambah 3 sudu mcm warisanbonda buat :)
1 1/2  cawan air panas - pastikan air betul2 panas


CARA:

  1. satukan bahan A dan ayak...kemudian ketepikan
  2. Pukul telur dan gula hingga putih guna high speed
  3. Masukkan susu dan minyak pukul dengan low speed
  4. Masukkan bahan A dan gaul sebati
  5. Last masukkan air panas dan kacau sebati - tak perlu guna mixer
  6. Lenserkan loyang dengan mentega - bahagian tepi saya guna mentega. bhgn bawah, sy rs kena guna baking paper kalau kek moist sgt.
  7. Tuang adunan dan bakar selama 1 jam suhu 140 - 150 celsius hingga masak - kalau tak masak, tambah masa lagi
  8. Sejukkan kek dan salut dengan topping
TOPPING COKLAT BIASA:

1/2 cawan susu cair
3sb susu pekat
200gm coklat masakan ~ 1 bar kecil - saya tambah lagi 100gm nak byk lagi coklat
2 sudu besar butter

CARA:
  • cairkan secara double boiled susu cair dan susu pekat
  • masukkan coklat masakan dan kacau hingga cair
  • padamkan api baru masukkan butter dan kacau hingga butter cair
  • curahkan atas kek yang dah disejukkan tadi
  • Boleh juga tambahkan air panas untuk kurang pekat. 
  • Yang topping ni kalau kita biarkan sejuk sikit, dia akan jadi pekat. Saya curahkan atas kek bila topping dah sejuk supaya lebih pekat.


Friday 4 July 2014

Kerja baruku

Salam,

Baru-baru ni saya ada apply kerja sebagai Research Assistant di fakulti pengajian saya. Tujuan saya ada dua, satu untuk mendapatkan duit poket dan satu lagi untuk mendapatkan pengalaman dalam bidang research. Saya cuma memilih RA untuk Sains Komputer sahaja, sebab saya nak kerja dalam bidang yang berkaitan dengan pengajian saya. Ada banyak offer sebenarnya, terutamanya dari Fakulti Medic. Ada yang tak layak apply, ada yang layak. Cuma perlu minta sahaja.

Dalam pemikiran saya, saya ingatkan kalau apply RA di fakulti, saya akan bekerja di fakulti saya. Tapi selepas saya submit je application ke pensyarah, rupa-rupanya research tu adalah kerjasama dengan MIMOS Bhd. Jadi, bila saya dipanggil untuk interview, nak tak nak kena pergi juga. Walaupun agak berat hati sebab ofis MIMOS agak jauh dari rumah saya.

Semasa hari interview tempoh hari, ada 3 orang lain lagi yang datang untuk kerja yang sama. Tapi semuanya student UM. 2 Phd dan seorang lagi tu Master student. Kami semua diarahkan untuk mengisi borang. Macam borang mohon pekerjaan yang sebenar pulak. Macam-macam yang perlu diisi.

Dah siap isi borang semua, kami dipanggil ke bilik interview. Seorang demi seorang dipanggil dan yang menunggu giliran, tunggu di bilik sebelah. Giliran saya adalah yang kedua. Bila sampai giliran saya, saya masuk dan nampak ada 3 orang interviewer. Seorang lecturer UM, dan 2 lagi adalah staff MIMOS. Alhamdulillah, proses interview berjalan lancar dan saya diberitahu yang saya kemungkinan besar akan dipanggil untuk second interview.

Tapi semalam saya ada terima email dari staff MIMOS yang mengatakan saya diterima sebagai RA dan tak perlu datang untuk second interview. Alhamdulillah... saya diberi peluang. :) Memang happy sangat memandangkan saya sekarang pun free je kat rumah. Cuma saya tengah bersiap sedia untuk research paper saya untuk semester depan. Tapi oklah.. pengalaman sebagai RA ni boleh digunakan untuk persediaan research paper saya sendiri.. :)

Tuesday 1 July 2014

Alhamdulillah, dapat biasiswa MyBrain

Salam,

Baru-baru ini saya telah mendapat perkhabaran yang amat menggembirakan hati.. Saya ditawarkan biasiswa MyBrain15 untuk Master program. Yeay Alhamdulillah.. Lega sikit hati ni.. Kalau tak, saya perlu sediakan duit lagi untuk semester depan. Rezeki.. rezeki..

Untuk sesiapa yang tak tahu tentang program MyBrain15 ni, program ni merupakan satu inisiatif dari pihak Kementerian Pengajian Tinggi untuk rakyat Malaysia yang layak melanjutkan pelajaran ke peringkat Master dan Phd. Ada la syarat2 yang dikenakan. Contohnya..

- Warganegara Malaysia sahaja
- Tiada had umur (umur 40-an, 50-an, 60-an pun layak memohon asalkan ada semangat juang yang tinggi untuk belajar)
- Pemohon mestilah:
       - Orang awam yang tidak bekerja atau tidak berpendapatan tetap; atau
      - Kakitangan swasta (tak kisah la gaji berapa layak memohon, tapi mungkin akan di tapis ikut                                       tangga gaji); atau
      - Pensyarah IPTS , atau
      - Kakitangan kerajaan / badan berkanun / IPTA (kontrak, sambilan, sementara), atau
      - Pesara badan kerajaan.

Untuk keterangan lanjut, boleh lah layari website ni https://biasiswa.moe.gov.my/MyBrain15/index.php

lepas tu pilih lah Syarat2 permohonan ikut program pengajian kita.

Pengalaman saya, untuk mengisi borang MyBrain15 buat kali yang pertama, agak susah. Sebabnya saya dah pun on unpaid leave ketika itu. Jadi, untuk berhubung dengan HR syarikat agak lambat prosesnya. Mungkin juga sebab mereka pun tiada pengalaman tentang staff yang apply biasiswa MyBrain15. Lepas tu, saya cuma perlu dapatkan tanda tangan dari bendahari Universiti, kemudian ada lah pihak2 dari Universiti dan kemudian seorang saksi. Proses ni agak mudah, sebabnya saya dah pun mendaftar di Universiti ketika itu. Jadi, yuran untuk semester yang pertama, saya bayar guna duit saya sendiri. Tapi, jangan risau, selepas kita dapat biasiswa, kita boleh minta pihak universiti refund semula duit kita selepas pihak myBrain bayarkan yuran kita.

Pertama kali saya apply, saya perlu menunggu beberapa bulan. Sehinggakan saya sendiri dah terlupa yang saya ada apply biasiswa tu. Sehinggalah satu hari, saya menerima email yang menyuruh saya menyemak email saya. Tapi masa tu, permohonan saya ditolak. Alasannya kerana transkrip akademik saya kurang jelas. (Memang pun kurang jelas, lebih dari 10 tahun usia dia. Memanglah dah kabur). Jadi saya perlu mendapatkan semula transkrip dari pihak universiti. (Kebetulan saya mengambil ijazah dan master di Universiti yang sama. Jadi rekod saya dah ada di universiti). Cuma pada masa tu, saya agak sibuk dengan assignment dan mid semester test. Jadi, apa yang saya buat, saya scan semula transkrip saya, edit contrast, besarkan font dan hantar semula. (Oh ya, proses scanning document agak leceh. Kalau tiada scanner sendiri memang susah. Sebabnya size dokumen yang boleh dimuatnaik ke laman web MyBrain agak kecil. Jadi kita perlu kecilkan size dokumen dulu sebelum hantar). Saya bertawakal dan berharap yang permohonan kali kedua saya akan diterima dan pegawai yang menyemak dokumen akan nampak CGPA saya dengan lebih jelas.

Setelah menunggu beberapa bulan (mungkin sebulan atau dua bulan), saya mendapat jawapan yang positif dari pihak MyBrain15. Alhamdulillah, saya berjaya mendapat tawaran biasiswa. Kali ni, proses yang diperlukan adalah saya perlu mencetak dokumen seperti surat perjanjian, borang permohonan dan surat tawaran biasiswa. Surat tawaran perlu diserahkan kepada pihak bendahari universiti. Kemudian, surat perjanjian memerlukan seorang penjamin. Penjamin boleh dalam kalangan ahli keluarga, tu yang agak mudah. Ibu bapa pun boleh menjadi penjamin anak. Cuma syaratnya penjamin perlulah mempunyai pendapatan RM500.00 ke atas. Surat perjanjian perlu disediakan sebanyak 3 salinan, dan ketiga-tiganya perlu dimatikan dengan stem hasil. Proses ni juga bagi saya agak mudah, cuma masalah untuk mendapatkan tandatangan pegawai kerajaan sebagai saksi dan juga menandatangani salinan perakuan benar beberapa dokumen yang diperlukan. Sejujurnya saya memang tak bersetuju dengan cara ni. Sepatutnya zaman teknologi canggih ni, patut dibuat dengan lebih canggih lagi. Tak perlu diusung ke sana ke mari dokumen dan menagih merayu agar ditandatangani dan disahkan benar. Bukankah maklumat-maklumat kita kebanyakannya ada di LHDN, JPN, KWSP? Lebih senang jika kaunter dibuka setempat di sini untuk urusan pengesahan dokumen dan sebagainya.

Ok, kita tinggalkan cerita hal karenah birokrasi ni. Saya dah pun melalui prosesnya dan dah berjaya menyiapkan dokumen-dokumen yang diperlukan. Tadi saya baru je balik dari kaunter poslaju untuk tujuan pengeposan dokumen. Saya tak pergi sendiri ke Kementerian Pengajian Tinggi sebab tempatnya agak jauh dan dokumen saya pun saya rasa dah lengkap. Tapi perlu follow up semula esok untuk pastikan dokumen dah sampai. Tu kira last step lah tu..

Semoga Allah permudahkan urusan.. Amin..:)




Tuesday 17 June 2014

Mari masuk pertandingan atau contest di Malaysia

Salam,

Dulu saya pernah terbaca (tak ingat kat mana) tentang individu yang tak bekerja tapi menumpukan perhatian kepada pertandingan atau contest2 di Malaysia. Saya sebenarnya agak skeptikal untuk percaya tentang perkara tersebut. "Takkanlah dengan memasuki pertandingan atau contest seseorang tu boleh menampung kehidupan dia? Banyak sangat ke contest di Malaysia ni sehinggakan ada orang mampu untuk tak bekerja dan mendedikasikan seluruh masa dia untuk cuba menang? Kalau tak menang macamana?" Mungkin saya silap. Mungkin yang buat macam tu bukan rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia biasanya taklah terlalu ekstrim untuk berbuat macam tu kan..

Ok berbalik kepada topik masuk pertandingan atau contest di Malaysia. Kalau penyertaan tak berbayar atau tiada produk yang perlu dibeli, apa salahnya jika kita mencuba kan.. Ada beberapa website atau blog yang ada memberi maklumat tentang peraduan di Malaysia. Contohnya seperti:

http://peraduancontest.blogspot.com/
http://my-peraduan.blogspot.com/
https://www.facebook.com/peraduan4me

Pendek kata, maklumat tentang pertandingan-pertandingan di Malaysia ni kita boleh dapati dengan mudah dengan adanya blog-blog dan website yang membantu mengumpulkan maklumat tersebut. Senang kan? Jadi kita cuma perlu baca, teliti syarat-syarat pertandingan dan hantar borang jawapan.

Lagi satu, jika anda pendengar radio, tentu anda perasan yang radio juga seringkali mengadakan peraduan. Macam-macam jenis peraduan yang ada. Yang menarik bagi saya, ada pertandingan bakat Johara di Era.fm. Sebabnya pertandingan ni tak terhad kepada nyanyian sahaja. Bunyi-bunyi mulut pun boleh. Contohnya macam Raja Syahiran ni..

http://www.era.fm/zon-interaktif/interaktif/gosip-mossip-mak-jemah/lihat-gosip.aspx?arc=439&sec=78

Oklah, jom kita sama-sama cuba masuk pertandingan. Ada rezeki insya Allah.. boleh menang :)

Cuti Semester Sudah pun Bermula..

Salam,

Jumaat lepas 13 Jun merupakan tarikh paper akhir untuk semester saya kali ini. Lega rasanya apabila saya dah berjaya menamatkan semester yang pertama, walaupun sebenarnya untuk exam Software Reusability(SR), soalan yang ditanyakan sangat jauh dari apa yang dah diramalkan.. Dan, yang saya pelik, ada satu link dari UM Library untuk past year exam papers. Entah macamana, saya boleh tak jumpa link tu walaupun berkali-kali saya cuba search. Cuma bila peperiksaan dah berakhir, baru lah saya jumpa semula link tersebut. Jadi dapatlah saya tengok past year paper untuk SR yang saya tak jumpa di hardcopy di library tempoh hari. Soalannya pun lebih kurang sama... hm.. nak buat macamana, takde rezeki. Takpelah, semester depan cuba dengan lebih baik lagi.

Tapi, walaupun cuti semester dah bermula, saya dah contact lecturer untuk start tulis research paper untuk semester depan. Tajuk yang diberikan memang banyak, tapi ada satu yang saya paling berminat iaitu tentang "Big Data".

Kenapa saya memilih tajuk Big Data, adalah kerana tajuk ni merupakan salah satu tajuk yang terkini yang hangat dibincangkan oleh computer society. Jadi memang agak banyak lagi perkara yang kita boleh explore dan fahami tentang topik ni. Kalau kita cuba cari research paper tentang Big Data, kebanyakannya ditulis dalam 2-3 tahun kebelakangan ni.

Dari apa yang saya baca beberapa hari yang lepas, ada 3 perkara penting yang dibincangkan dalam Big Data atau lebih dikenali dengan 3V. Volume, Velocity, Variety. Dari mana datangnya istilah Big Data? Ianya adalah merujuk kepada jumlah data yang sangat besar yang disimpan oleh sesebuah sistem. Cuba teka apakah sistem yang menyimpan data yang sangat besar? Apa lagi kalau bukan Facebook, Twitter, Instagram, Pinterest dan lain-lain. Big Data menumpukan kepada jumlah data yang besar yang didapati dari FB, Twitter dan lain-lain untuk dianalisis dan dikaji trend nya. Data yang macam mana yang dianalisis? Yang dianalisis hanyalah data yang bukan privasi sahaja.

Data yang macam mana dikatakan bukan "privasi"? Kalau kita lihat dari Pinterest, mungkin tentang berapa ramai orang yang "interest" atau telah mengunjungi sesebuah restoran, terutamanya jika orang yang mengunjungi restoran tersebut bukan merupakan orang tempatan. Ini mungkin menunjukkan yang restoran tersebut adalah sangat popular sehingga berjaya menarik perhatian dari rakyat Malaysia. Jadi, jika ada pihak yang membuat satu aplikasi tentang cuti-cuti Malaysia di handphone, dia boleh menggunakan informasi ini di dalam sistemnya.

Akan tetapi, Big Data ada beberapa masalah yang perlu kita fikirkan. Sebagai contoh, tentang kesahihan sesuatu data dan juga "data security". Sebagai contoh, bukan semua rakyat Malaysia yang akan berkongsi tentang tempat makan dan sebagainya. Ramai (termasuk saya) yang masih lagi tidak gemar berkongsi tentang perkara-perkara di atas talian. Jadi, sesebuah grup of data tu, sumbernya perlu disemak terlebih dahulu sebelum digunakan atau dianalisis. Data security juga salah satu perkara yang harus difikirkan. Lebih-lebih lagi data sulit yang sepatutnya privasi tetapi tidak disetkan sebagai privasi oleh pengguna.

Oklah, lain kali saya sambung lagi tentang topik Big Data. Saya sebenarnya masih mencari tajuk yang spesifik untuk research paper saya, masih banyak yang perlu saya kaji dan baca :) Insya Allah, lain kali saya akan kongsikan lagi tentang topik Big Data..